Ibu Syamil, yang mengalirkan air mata ketika hadir di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini cuba ditenangkan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin
Surendran dedahkan laporan forensik kematian Shamil
PETALING JAYA: Remaja mangsa tembakan Polis, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei dibunuh dari jarak dekat, kata Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran.
Bukti itu katanya, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Menurut Surendran, berasaskan laporan itu juga, besar kemungkinan Syamil berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung, ketika remaja itu ditembak.
“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak,” kata Surendran.
“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm.
“Terdapat lebam dan luka lelas mengelilinginya, kawasan berukuran 1×1.5 cm. Arah tembakan 45 darjah ke belakang ke kanan dan tembus.
“Manakala pada bahagian sebelah kanan dada, 2.5 cm dari puting kanan, dari tulang tengah dada 7.5 cm berdiameter 0.5 cm,” kata Surendran memetik laporan itu.
Justeru KEADILAN menuntut Peguam Negara mendakwa mereka yang terlibat untuk dihadapkan ke mahkamah.
Muhammad Syamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak polis dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.
Pihak polis sebelum ini mendakwa kesemua remaja itu sebagai ‘penjenayah tegar ‘ yang kononnya dikenali sebagai ‘geng minyak’.
sumber..
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15026