Followers

Sunday, November 16, 2014

Siasatan: Ada Unsur Salah Guna Peruntukan RM2.5 juta MBI Selangor


Ada unsur salah guna peruntukan RM2.5 juta MBI, kata Azmin

Kemelut pengunduran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan menteri besar Selangor masih belum berakhir apabila kerajaaan negeri mendapati wujudnya unsur salah guna peruntukan RM2.5 juta Perbadanan Menteri Besar (MBI) semasa pengundurannya September lalu, kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata, hasil siasatan Jabatan Audit Negeri mendapati ada beberapa perkara yang tidak dipatuhi Khalid apabila menggunakan jumlah wang itu sebagai pampasan kepada dirinya dan 7 pegawainya yang meletakkan jawatan secara sukarela.

"Hasil siasatan yang dijalankan memang ada beberapa perkara yang tidak dipatuhi dalam pemberian ganjaran tersebut dan sudah tentulah jumlah ganjaran begitu besar luar biasa jumlahnya perlu disemak semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘MB Terjah Kampungku Meriah’ di Kampung Tengah Gombak, pagi tadi.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar mendakwa kerajaaan negeri mengarahkan anak syarikatnya, MBI mendapatkan semula jumlah wang terbabit yang diberikan kepada pembantu Khalid.

Antaranya termasuk kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI Faekah Husin dan bekas Setiausaha Akhbar Arfa'ezaa Abdul Aziz.

Persoalan itu dibangkitkan Xavier dalam akaun Twitter miliknya @xavierjayakumar.

Azmin berkata, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat exco minggu lalu selepas pihak audit selesai membuat siasatan.

Katanya, hasil laporan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MBI minggu ini dan tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana di luar bidang kuasa exco.

"Keputusan yang dibuat Tan Sri Khalid hari itu adalah keputusan yang diambil dalam Lembaga Pengarah MBI.

"Maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dimaklumkan tentang hasil siasatan audit dan kita akan bentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MBI dalam minggu ini untuk melihat langkah yang perlu diambil sekiranya ada sebarang keputusan melanggar peraturan sedia ada," katanya.

Katanya, keputusan mesyuarat itu termasuk membincangkan sama ada Khalid dan bekas pegawainya perlu memulangkan semula wang berkenaan kepada kerajaan negeri.

"Langkah yang perlu ini akan dibincangkan," katanya.

Khalid semalam semasa program turun padang DUN dilaporkan berkata, pampasan itu diberikan mengikut prosedur selepas dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MBI yang kemudiannya dimaklumkan kepada exco kerajaan negeri.

"Ia merupakan pemberhentian secara sukarela di mana kakitangan mahu berhenti pada ketika itu kerana pertukaran kepimpinan menteri besar. Keputusan itu dibuat dan dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MBI, iaitu saya sebagai MB pada ketika itu, setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri," katanya dipetik laporan berita portal AntaraPos.

sumber...TMI