Followers

Tuesday, January 26, 2016

Angin Kencang Najib Atau Mukhriz Lebih Kuat di Kedah ?


Analisa Angin Perubahan Makin Kencang Di Kedah

KRISIS Menteri Besar Kedah dijangka selesai dalam masa terdekat kerana Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat sokongan secukupnya, malahan usaha sedang diatur bagi menghadap serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah.

Keceriaan Perdana Menteri ketika berada di Langkawi baru-baru ini jelas menunjukkan ada sesuatu di sebalik senyumannya itu.

Begitu juga dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sebalik apa yang dilaluinya dalam usaha untuk mengekalkan jawatannya selaku Menteri Besar.

Bagaimanapun, jelas kelihatan kedua-dua pemimpin itu tidak membalas senyuman antara satu sama lain.

Malahan, sukar sekali dapat dilihat jika kedua mereka bertentang mata, begitu juga Najib dilihat begitu jarang berbicara dengan anak mantan Perdana Menteri itu.

Ada ketikanya, kelihatan Mukhriz yang ternyata lebih muda itu bagaikan orang kebanyakan walaupun beliau sebenarnya tuan rumah.

Apabila mereka menikmati hidangan makan tengahari di jeti nelayan, Najib kelihatan lebih gemar bersembang dengan hadirin yang lain kecuali Mukhriz di sebelah kirinya.

Setiap ahli politik seharusnya memiliki kemahiran berlakon untuk majlis seperti ini. Hubungan antara keduanya semakin renggang sejak tahun lalu apabila Mukhriz bersama bapanya mengkritik Najib berkaitan isu 1MDB.

Setiap gerak geri dan bahasa tubuh kedua-dua pemimpin itu diperhatikan pihak media yang membuat liputan susulan isu yang menyelubungi Menteri Besar Kedah itu.

"Tak ada chemistry," demikian kata seorang jurugambar mengenai gelagat kedua pemimpin itu.

Najib menghabiskan hujung minggunya di Langkawi dengan menghadiri beberapa majlis dan mengikut protokol Menteri Besar perlu hadir untuk mengiringinya.

Mukhriz telah memaklumkan dia tidak akan meletak jawatan kerana masih mendapat sokongan rakyat. Bagaimanapun, kejadian di Langkawi bagaikan memberi gambaran apa yang akan berlaku jika Menteri Besar itu masih mahu kekal tanpa mendapat sokongan Perdana Menteri.

Langkah untuk menggantikan Mukhriz telah diusulkan dan setakat ini 19 daripada 21 wakil rakyat Barisan Nasional telah menandatangani akuan berkanun untuk menukar Menteri Besar.Hanya Mukhriz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra, Datuk Amiruddin Omar tidak menandatanganinya.

"Majoriti telah tandatangan surat itu. Untuk MB baharu, kami serahkan kepada presiden parti untuk buat keputusan," kata Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Ahmad Lebai yang rapat dengan Najib sejak bersama-sama memimpin Pemuda Umno adalah wakil rakyat yang memulakan usaha untuk menyingkirkan Mukhriz.

Pemimpin terakhir menandatangani akuan berkanun itu adalah Datuk Suraya Yaacob yang juga Adun Sungai Tiang dan Exco Negeri. Suraya dilihat sebagai pemimpin yang setiap bersama Mukhriz dan menolak usaha untuk menjatuhkan Mukhriz.

Bagaimanapun, difahamkan Najib diminta untuk menemui Suraya pada Ahad dan ketika mereka bertemu, Najib telah berkata: "Ah, the elusive lady." (wanita yang sukar difahami).

Seterusnya mereka berbincang dan akhirnya pada kira-kira pukul 6.30 petang, Suraya mengalah dan menandatangani akuan berkanun itu.

Bagaimanapun, ketika ini faktor Istana Anak Bukit yang belum dapat diselesaikan. Kerabat diraja Kedah tiada halangan untuk menukar Menteri Besar tetapi keputusan siapa yang akan diterima untuk menggantikan Mukhriz masih menjadi tanda tanya.

Hal ini juga yang menimbulkan pelbagai spekulasi, malah dikatanya adanya usaha melobi calon yang dikatakan layak untuk menggantikan Mukhriz.

Difahamkan, Najib memilih Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tokoh korporat, Datuk Guntor Tobeng dari Umno Bahagian Alor Setar yang diterajui Ahmad Bashah menganggap ketuanya itu sebagai seorang pemimpin dalam pasukan.

"Menyingkap sejarah MB Kedah, pemimpin yang melaksanakan tugas dengan baik adalah mereka yang ada sentuhan kampung kerana Kedah adalah negeri di mana rakyatnya mahukan MB yang sama seperti mereka," kata Guntor.

Misalnya, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain hanya bertahan selama tiga penggal walaupun dia dikenali sebagai seorang pemimpin yang gemar bersembang dan beramah mesra dengan rakyat. Rumahnya pula sentiasa terbuka untuk semua dan sering kali ada sahaja yang datang untuk menemuinya sejak dari awal pagi. Bagaimanapun, dia akhirnya tidak dapat meneruskan khidmatnya kerana masalah kesihatan.

Ditanya apakah faktor melayakkan Ahmad Bashah menjadi calon sesuai untuk dilantik Menteri Besar, Guntor tanpa teragak-agak menjawab:"Kelebihannya adalah persahabatan, kerana semua orang adalah kawan beliau."

Najib masih perlu menghadap Agong untuk mempersembahkan cadangannya untuk menukar Menteri Besar Kedah dan seterusnya mendapat perkenan untuk melantik yang baharu.

Semuanya perlu bermula dengan pertemuan antara Najib dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar. Bagaimanapun ada prosedur yang perlu diikuti dan ia tidak boleh secara tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi keadaan kesihatan Agong yang juga Sultan Kedah tidak begitu mengizinkan selepas mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun, di kalangan Umno telah adanya ramalan akan ada Menteri Besar baharu selewat-lewatnya minggu depan.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga berada di Langkawi pada Ahad, tetapi tidak bertembung dengan Najib.

Semasa di pulau itu, bekas Perdana Menteri itu kelihatan tidak ceria, malahan tiada senyuman pada wajahnya. Mana tidaknya, anak lelakinya akan menjadi antara Menteri Besar yang berkhidmat dalam tempoh masa yang singkat dan beliau meramalkan tindakan menyingkir Mukhriz akan menyebabkan Kedah tumbang ke tangan pembangkang pada pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, beliau juga menjangkakan BN tidak akan kekal memerintah jika Najib masih kekal sebagai Perdana Menteri.

Pada majlis AirAsia sempena penerbangan pertama ke Guangzhou yang penuh dengan pelancong China, Najib memuji Langkawi sebagai permata yang tidak ternilai buat negara. Mungkin itu juga satu-satunya persamaan antara Najib dan Dr Mahathir ketika ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan kini Mukhriz adalah satu lagi mangsa dalam pergeseran di antara Mahathir-Najib.

sumber...Mstar Online