Followers

Thursday, January 14, 2016

Kerana Dominan, Pas Berdamping Dengan Umno



Pas didakwa mahu kekal mendominasi pengundi Melayu Islam dengan cara ‘mendampingi’ Umno selepas hasrat menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Pas terpaksa mencari kaedah lain dan Umno adalah rakan politik terbaik kerana parti Islam itu sendiri mahu menjadi dominan seperti Umno dalam BN.

“Antara dilema yang dihadapi Pas ialah mereka menginginkan satu keadaan seperti mana dalam BN, di mana Umno mendominasi BN. Bila Pas dapati itu tidak mungkin berlaku kerana kita bercakap soal kepimpinan melalui konsensus, kepimpinan kolektif, atas prinsip keadilan, pembelaan untuk semua dan sebagainya.

“Oleh kerana itu Pas mencari kaedah lain untuk mengekalkan dominasi Melayu Islam dalam kerangka BN dan mungkin itu antara caranya dengan berdamping dengan Umno menjadi penasihat atau rakan,” katanya pada Forum bertajuk 'Mampukah Parti Pembangkang Memenangi Undi Melayu Pada PRU14' di sini, malam semalam.

Minggu lalu, Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Umno selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam dan ia merangkumi semua aspek demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

Sebelum ini juga, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi dilaporkan sebuah portal bahawa Pas pernah bercita-cita menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat apabila menyatakan hasrat untuk bertanding lebih satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU13 lalu.

PRU13 lalu menyaksikan Pas mengalami kemerosotan berbanding 2008 apabila parti Islam itu kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan hanya peroleh 21 kerusi Parlimen.

Manakala pada 2008, Pas kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Mengulas lanjut, Khalid juga mendakwa Pas tidak senang dengan pendekatan Pakatan Rakyat sebelum ini bukan berasaskan dominasi, sebaliknya kepada kepimpinan kolektif.

“Pas tak mahu pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan), malah Amanah juga tidak bersetuju dengan hasrat Pas itu.

Kita merasakan parti politik Islam mampu berperanan dalam suasana padang yang sama rata dan kita cukup yakin, prinsip keadilan, kesaksamaan yang dituntut dalam Islam boleh diterima semua,” katanya lagi.

oleh Nizam Zain