Followers

Friday, January 8, 2016

PAS Tak Tolak Kerajaan Campuran Selepas PRU


Agak agak berapa kerusi Pas boleh dapat 

PAS tidak menolak kemungkinan membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana parti, termasuk UMNO seperti mana kerajaan campuran PAS-PKR-DAP sebelum ini, selepas pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, parti siasah itu berpendirian kerajaan campuran tidak semestinya memerlukan gabungan entiti politik, seperti mana PAS bergabung dengan Barisan Nasional (BN) selepas pembentukan kerajaan campuran PAS-UMNO/Perikatan pada tahun 1973.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata PAS memperoleh manfaat dan pengalaman pahit menerusi gabungan politik dengan BN ketika itu. "Kerajaan campuran dengan mana-mana parti politik seperti mana kerajaan campuran PAS, PKR dan DAP boleh berlaku selepas mana-mana pilihan raya umum jika perlu. Ia tidak memerlukan gabungan entiti politik.

Tiada gabungan politik 

"Kerana itu PAS ketika ini menyatakan tiada gabungan politik dengan UMNO atau BN tetapi boleh berlaku sebarang kerjasama untuk kepentingan Islam dan rakyat," katanya kepada BH.

Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang Sabtu lalu bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya. Badan tertinggi PAS itu turut menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN.

Keputusan itu menghasilkan idea pembentukan kerajaan campuran dicadangkan Ketua Kluster Perpaduan Ummah, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu-satunya pilihan terbaik dalam konteks kerjasama antara PAS dan UMNO. 

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata semua pihak perlu menyerahkan isu kerjasama antara UMNO dan PAS kepada pucuk pimpinan supaya dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

Katanya, apa yang lebih penting ialah usaha untuk memperkasakan ummah, sekali gus mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. "Saya ingin lihat Kelantan maju di bawah kerjasama ini (UMNO dan PAS)... tetapi jika terlalu banyak dipolemikkan, ia boleh merosakkan idea kerjasama itu," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/112195