Followers

Sunday, January 3, 2016

Meterai Kerjasama Umno - Pas


Kerjasama UMNO-Pas yang semakin hangat dibincangkan ketika ini perlu ‘dimeterai’ secepat mungkin, memandangkan kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu tidak mempunyai masa yang lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sekarang merupakan masa paling sesuai bagi UMNO serta Pas menamatkan perseteruan sesama parti itu dan memberi fokus kepada kerjasama yang menguntungkan orang Islam.

Katanya, tiada alasan kedua-dua parti Islam itu untuk tidak bekerjasama kerana apa yang membezakan keduanya hanyalah kaedah pelaksanaan agenda Islam sahaja.

“Kaum Aus dan Khazraj yang selama 200 tahun bermusuh, tanpa mengetahui sebab sebenar permusuhan mereka pun boleh bersatu selepas kedatangan Rasulullah SAW serta penyebaran Islam. Apa masalah UMNO-Pas? Adakah permusuhan UMNO-Pas lebih teruk daripada Aus dan Khazraj ketika zaman jahiliyah?

“Kedua-duanya hanya salah faham sedikit sahaja dari segi politik, sudah tiba masanya buang yang keruh, ambil yang jernih. Penyatuan UMNO-Pas boleh mencipta sejarah baharu kepada politik negara, ke­tepikanlah kumpulan yang menentang kepada perpaduan ini, mereka tidak akan berjaya.

“Penyatuan UMNO-Pas juga boleh menjadi contoh teladan kepada umat Islam serata dunia, ketika kebanyakan negara Islam berbalah sesama sendiri. Penyatuan ini bakal memberi nikmat kepada negara, pelbagai masalah boleh diselesaikan, boleh rintis kepada jalan perpaduan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menjelaskan bahawa sudah tiba masanya kerjasama UMNO dan Pas dicapai.

Bagi pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Ismail Sualman pula, beliau tanpa berselindung optimis bahawa penyatuan antara UMNO-Pas pasti menjadi kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa usa­ha itu bukannya baru, tetapi telah digerakkan sebelum pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, di atas dasar kemaslahatan Islam setelah timbulnya beberapa isu seperti murtad, kalimah Allah dan juga pelaksanaan hukum hudud.

“Perlu wujud kerjasama antara keduanya, perlu ada keselarasan dari aspek pemikiran. Pendekatan mungkin berbeza, Pas kini bersendirian, mereka lebih berpeluang sekiranya bekerjasama dengan UMNO.

“Siapa yang menghulurkan salam bukannya persoalan. Sekiranya sebelum ini Pas boleh bertahaluf siyasi dengan DAP, kenapa tidak boleh menjalin ukhuwah dengan UMNO sekarang? Kedua-duanya perlu ke­tepikan kepentingan diri dan jangan diungkit perkara lalu demi umat Islam,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat menjelaskan, kerjasama antara UMNO dan Pas boleh bermula dari sekarang, kerana pilihan raya umum akan datang lebih kurang dua tahun sahaja lagi.

“Penyatuan ini penting untuk survival politik Islam. Jadi, kedua-duanya perlu membuat keputusan sekarang, supaya tidak berhadapan sebarang masalah menjelang pilihan raya umum akan datang kerana persefahaman telah dibentuk dari awal lagi,” ujar beliau.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/meterai-kerjasama-umno-pas-1.175717#sthash.