Followers

Friday, January 29, 2016

Najib Dapat Mandat Istana Kedah, MB Baharu Angkat Sumpah Isnin



Najib dapat mandat Istana Kedah, MB baharu angkat sumpah Isnin, kata laporan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan menerima mandat Istana Kedah untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan majlis angkat sumpah menteri besar baharu dijangka Isnin depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mendapatkan mandat Istana Kedah untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar, lapor Mstar Online.

Sumber memberitahu portal itu, persetujuan Jemaah Pemangku Sultan Kedah menerima kedatangan Najib hari ini bermakna usaha untuk menggantikan Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

"Pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu untuk mendapat perkenan bagi melantik menteri besar yang baharu," kata sumber berkenaan kepada Mstar Online.

Sumber itu turut memaklumkan kepada portal itu, Najib sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menteri besar Kedah yang baharu ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Rabu.

Minggu lalu, Mukhriz menerima tekanan daripada Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah.

Pagi ini, Najib menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Kuala Lumpur.

Kunjungan terhadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah adalah untuk mempersembahkan senarai calon menteri besar Kedah yang baharu bagi menggantikan anak kepada perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mstar Online, difahamkan semua 3 ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berada di ibu negara untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Sultan Kedah.

Tiga ahli jemaah berkenaan ialah pengerusinya, Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah, Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz .

Menurut Mstar Online, sumber itu memberitahu, Ahmad yang juga senator dan timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan adalah calon bagi menduduki kerusi menteri besar Kedah.

Selain Ahmad, seorang lagi pemimpin Umno yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu ialah exco negeri yang juga Adun Guar Chempedak Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, 63.

Ku Rahman berkelulusan iIjazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dari Universiti Loughborough, United Kingdom.

Menurut sumber itu, jika ahli jemaah bersetuju dengan calon yang dikemukakan, difahamkan majlis angkat sumpah jawatan menteri besar yang baharu akan berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah pada Isnin. – 29 Januari, 2016.


sumber...TMi