Followers

Wednesday, January 13, 2016

Kerjasama Umno dan Pas,Titik Mula Bersatu

 Ahmad Jazlan menyampaikan makanan kepada penduduk Sungai Hala dalam majlis bersama penduduk di kampung itu, kelmarin.

Kerjasama Umno, Pas titik mula bersatu

MACHANG - Kesediaan Pas bekerjasama dengan Umno dilihat positif malah tidak mustahil menjadi titik permulaan untuk bersatu dalam politik pada masa depan.

Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Pas itu, malah sentiasa terbuka dalam membincangkan pelbagai isu, terutamanya melibatkan kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

Katanya, keputusan tersebut menguntungkan semua umat Islam di negara ini khususnya Kelantan yang mempunyai  lebih 96 peratus penduduk Melayu beragama Islam.

“Keterbukaan dan keputusan yang dibuat pimpinan utama parti itu ternyata disambut baik masyarakat termasuk pimpinan di akar umbinya dan ia dapat dilihat dengan jelas apabila  mereka mula menyertai program yang dilaksanakan Umno.

“Jika dulu mereka membantah malah marah-marah apabila kita buat program di kawasan mereka namun keadaannya berbeza apabila mereka turut sama menjayakannya memandangkan program yang dilaksanakan itu sebenarnya membawa kebaikan kepada seluruh masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepagi Bersama Penduduk di Kampung Sungai Hala, di sini.

Ahmad Jazlan berkata, demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh  dalam sebuah portal berita mengenai tindakan  majlis itu yang memutuskan bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan BN, tetapi tidak akan menyertaimya.

Terdahulu, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang, menziarahi penduduk sekitar yang uzur serta menyampaikan makanan kepada kira-kira 150 ketua isi rumah.

Ahmad Jazlan berkata, kesediaan Pas untuk bekerjasama itu mampu menjadi nadi penting bagi mengukuhkan perpaduan rakyat di negeri ini yang mana terkenal  dengan semangat kepartian termasuk sanggup memutuskan tali persaudaraan demi menegakkan  parti politik masing-masing.

“Bagi saya, perkara yang penting di Kelantan adalah bersetuju untuk berada dalam satu jemaah. Kita berada dalam satu kumpulan untuk membela agama, bangsa dan tanah air tetapi jika berpecah belah kita akan lemah serta rugi. Bersatu bukan bermaksud ditindas, tetapi percayalah bahawa keamanan, kesejahteraan dalam negara akan lebih bertambah kental

“Tujuan dan hala tuju Umno dan Pas adalah sama, tetapi mungkin kaedah sahaja yang berbeza. Bagi saya sekiranya Pas mahu mencari rakan, Umno adalah rakan terbaik, bukan PKR atau DAP. Saya juga tidak fikir bahawa Pas mahu bersendirian di saat parti lain mempunyai gabungan pakatan kerana ia akan merugikan pihak mereka sendiri.

“Walaupun begitu, kita mesti hormati sebarang keputusan yang dibuat oleh mereka. Mungkin mereka tidak mahu sertai buat masa ini, tetapi saya berharap akan sertai pada masa akan datang,” katanya.

Oleh ZUMURNI HAMZAH