Followers

Friday, January 15, 2016

Letupan di Jakarta, 5 Suspek Pengganas, 2 Orang Awam Maut


Letupan di Jakarta, 5 suspek pengganas, 2 orang awam maut

Tujuh orang disahkan maut dalam kejadian serangan bom di luar kawasan Gedung Sarinah di Jakarta, hari ini.

Menteri Koodinator Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Pandjaitan berkata daripada 7 mangsa itu, 5 adalah penjenayah yang terbabit menyerang dan mengebom pondok polis di Jalan MH Thamrin itu manakala 2 lagi orang awam termasuk seorang warga asing.

Pihak berkuasa mengesahkan warga asing itu adalah rakyat Kanada dan terkorban ketika berada di dalam restoran Starbucks.

Tiga belas orang lagi dilaporkan parah termasuk 5 anggota polis.

Luhut berkata daripada 5 suspek penjenayah yang mati itu, 3 ditembak polis manakala 2 lagi membunuh diri di dalam dan di depan restoran Starbucks di bangunan Gedung Cakerawala yang terletak di seberang jalan Gedung Sarinah.

"Masyarakat awam yang meninggal dunia ialah seorang warga Indonesia dan seorang warga asing, ramai yang luka dan sekarang dimasukkan ke hospital," katanya ketika melawat tempat kejadian.

Dalam kejadian 10.50 pagi, sekumpulan lelaki memakai baju putih dan berseluar 'kargo' membawa bom dan senjata api menyerang pondok polis di Jalan MH Thamrin.

Polis kemudiannya membalas tembakan dan berjaya menembak 3 daripada mereka manakala 2 lagi yang cuba melarikan diri kemudiannya membunuh diri.

Setakat ini polis masih belum mengesahkan sama ada kumpulan penyerang terbabit adalah kumpulan pengganas atau kumpulan ajaran sesat.

Presiden Indonesia Joko Widodo turut meluangkan masa melawat tempat kejadian jam 4 petang tadi dan menggesa polis menyiasat kes itu secara mendalam bagi membanteras segala kegiatan pengganas di negara itu.

Tinjauan mendapati keadaan di Gedung Sarinah kembali aman dan laluan di depan gedung itu mula dibuka kepada kenderaan awam.

Walaupun masih terdapat pasukan khas polis mengawal sekitar kawasan kejadian namun orang ramai dibenarkan melalui kawasan jalan utama di pusat bandar itu.

Bagaimanapun masih terdapat pasar raya, kedai dan restoran terus menutup kedai masing-masing atas alasan keselamatan.

Seorang pekerja restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Deena berkata majikannya membenarkan mereka pulang setelah perniagaan ditutup sejak 11 pagi ekoran kejadian serangan bom berkenaan. – Bernama, 14 Januari, 2016.

sumber...TMi