Followers

Friday, March 1, 2019

Abim: Kenyataan Ketua Umno Puchong Biadab pada Tuhan


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam kenyataan Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman sebagai biadab bukan saja terhadap waris wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang meninggal dunia, tapi juga terhadap Tuhan.

Abim berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Mohamed Satim yang mengaitkan kematian wakil rakyat PH di Selangor sebagai amaran daripada Allah.

"Abim beranggapan kenyataan sedemikian adalah satu kenyataan yang bersifat mempersenda dan mempermainkan agama bagi memuaskan kepentingan politik.

"Sesungguhnya, soal takdir, ajal dan maut tidak wajar diperlekeh dan direndah-rendahkan.

"Tindakan seperti ini bukan sahaja biadab kepada waris, bahkan kepada Tuhan, seolah-olah wakil Tuhan menurunkan hukum," kata Abim dalam kenyataan media hari ini.

Mohamed Satim yang pernah menjadi ketua pembangkang Selangor dalam ceramahnya di pusat daerah mengundi (PDM) Bandar Tasik Kesuma semalam juga berkata, Allah telah memberikan amaran sejak Sungai Kandis lagi agar rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat Tuhan itu.

“Jadi di situ sebenarnya Dia (Allah) memberikan amaran yang pertama, BN kalah di Sungai Kandir. Tak apalah, pasal belum nampak. Lepas tu ke Seri Setia pun kalah juga, tak apa.

“Allah kata agak-agaknya orang Islam di Malaysia ni tak faham lagi ke? Dia meninggalkan (mematikan) dekat Balakong. Pun tak faham lagi.

“Kau tak faham tak apa, aku bagi dekat Semenyih. [...] Kalau itu tak faham (lagi), tak tahulah apa nak kata. Agaknya dunia dah nak kiamat kot,” kata Mohamed Satim.

Gesa mohon maaf
 
Setakat ini, enam PRK telah diadakan selepas pertukaran kerajaan. Empat daripadanya diadakan susulan kematian wakil rakyat di kawasan tersebut.

Empat wakil rakyat PH yang meninggal dunia baru-baru ini ialah Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin (Sungai Kandis), Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor (Semenyih), Allahyarham Mat Suhaimi Shafiei (Seri Setia), dan mendiang Ng Tien Chee (Balakong).

Sementara itu, Abim menggesa Mohamed Satim menarik semula kenyataannya dan memohon maaf kepada keluarga wakil rakyat PH yang meninggal dunia, selain kepada seluruh rakyat Malaysia, dan seterusnya bertaubat memohon keampunan Allah.

"Pihak ABIM juga menuntut semua pihak sentiasa menjaga batasan sensitiviti masyarakat termasuk agama yang tidak seharusnya mudah diperolok, dipersenda dan ditunggang hanya semata-mata untuk meraih sokongan politik," katanya.

sumber...mKini