Followers

Monday, March 4, 2019

Angkat Anwar Jadi PM Secepat Mungkin !



Berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) sebanyak dua kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, saya percaya kerajaan PH perlu bertindak segera untuk memperbetulkan kesilapan yang telah mengundang rasa ketidakpuasan hati rakyat.


Saya yakin bahawa untuk menentukan hala tuju masa depan PH, Anwar Ibrahim perlu diangkat sebagai perdana menteri ke-8 seperti dipersetujui sebelum ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Anwar mahir dalam urusan ekonomi negara.

Pengalaman yang dimiliki oleh beliau sebagai mantan timbalan perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan Malaysia akan menjadi tunjang kekuatan beliau untuk menjadi pemerintah yang berkesan.

Rombakan kabinet

Di samping itu, proses rombakan kabinet perlu dilaksanakan kerana didapati terdapat juga beberapa jemaah menteri tidak memainkan peranan selaras dengan portfolio diberikan.

Pegawai-pegawai tertinggi yang tidak efisien di setiap kementerian juga perlu digantikan bagi melicinkan perjalanan pentadbiran dengan berkesan.

Saya berpendapat kekalahan PH di dua PRK bukan kerana rakyat beralih kepada BN tetapi untuk memberi mesej tersirat kepada PH bahawa hukuman tersebut adalah kerana kegagalan mengotakan janji yang masih menjadi tunggakan kerajaan.

Oleh yang demikian, PH perlu segera bangkit dan memperbetulkan keadaan supaya kerajaan baru ini terus dikekalkan sebagai kerajaan pilihan di PRU15.

Sekiranya PH lewat bertindak kemungkinan besar akan menerima impak yang besar pada PRU15, dengan ini segala usaha yang dilakukan untuk menukar kerajaan yang korup selepas 60 tahun memerintah negara ini menjadi sia-sia dan usaha ke arah membentuk Malaysia Baru tidak tercapai sepenuhnya.

Maka dengan ini saya menyeru agar kerajaan menyegerakan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar di mana ia menjadi satu titik permulaan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap PH semula.

Masih guna polisi BN
 
Seperti dinyatakan di atas pengalaman Anwar ia akan menjadi tunjang kekuataan beliau dan Kerajaan PH. Hubungan baik beliau dengan pemimpin-pemimpin negara luar juga akan membantu negara kita dari segi ekonomi dan memacu negara kita ke arah negara maju.

Di sini saya juga menyarankan kerajaan PH untuk mewujudkan polisi-polisi baru yang relevan dengan keadaan masa kini memandangkan kita masih menggunakan polisi yang sedia ada d imana ia diwujudkan semasa pemerintahan BN.

Sebagai kerajaan pemerintah baru, PH harus memperkenalkan polisi-polisi baru demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat bagi membuktikan PH sebagai kerajaan prihatin yang mempedulikan rakyat.

Dalam konteks ini, polisi yang menjadi keutamaan buat masa sekarang ialah menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin menekankan bukan sahaja golongan B40 namun semua lapisan rakyat.

Janji manifesto
 
Sejajar dengan ini, usaha menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PRU14 perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa memandangkan kewangan negara masih terumbang-ambing disebabkan parti pemerintah yang lalu dan kini masih dalam proses pemulihan, kita tetap perlu berusaha untuk mencari jalan untuk menunaikan janji-janji manifesto contohnya penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN dan penstabilan harga minyak.

Kedua-dua perkara ini perlu diberi keutamaan memandangkan pinjaman PTPTN melibatkan pengundi muda manakala harga minyak membabitkan dari anak muda hingga warga emas.

Kini di media sosial dapat dilihat anak-anak muda sudah mula menunjukkan rasa ketidakpuashatian terhadap kerajaan PH di ruangan komen.

Anwar merupakan individu yang terbaik dimana beliau berwibawa untuk memperkenalkan jalan penyelesaian atau formula baru menangani peningkatan kos sara hidup di samping merancang hala tuju kerajaan PH.

Diharapkan pengumuman proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagai PM ke-8 akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat.

oleh:  KUMARESAN ARAMUGAM adalah Adun Batu Uban, Ketua AMK Bayan Baru dan Naib Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang (MPNPP).