Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Sunday, November 3, 2019
Satu Dua 'Ngok Ngek' dalam PKR Sudah Tak Relevan - Anwar
Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu anggota parti itu agar mengabaikan segeintir pihak dalam parti itu yang disifatkan sudah tidak relevan.
Berucap pada Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan hari ini, Anwar berkata parti itu sebaliknya perlu menumpukan kepada agenda rakyat.
"Tumpu kepada agenda rakyat, satu dua ni ngok-ngek ngok-ngek ni biarlah, not relevant," katanya.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, beliau dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya.
Menyentuh konvensyen di empat negeri di Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan yang dihadirinya, Anwar merumuskan beliau mendapat 90 peratus sokongan akar umbi.
"Di Johor semalam semua cabang hadir, saya ke Pulau Pinang, Sabah, sambutan baik.
"Mana boleh (Sokongan) 100 percent, you ketua cabang, you pun tak 100 percent sokong, samalah saya presiden," katanya diiringi tepukan.
"Adakah ini satu masalah? Kamu ada 90 peratus sokongan (ahli akar umbi) parti dan pimpinan. Jadi sebab itu saya nak minta 90 percent tetapkan suara rakyat, suara Keadilan (PKR)," katanya.
Tanpa menyebutkan nama, Anwar juga mengingatkan pemimpin parti itu agar tidak lupa bahawa mereka dikenali dalam politik disebabkan PKR.
Pada sidang media kemudiannya, Anwar menjelaskan bahawa beliau hanya membuat peringatan itu secara umum kepada semua pemimpin parti.
"Itu peringatan, saya sendiri jadi presiden kerana dukungan ahli, bila saya pimpin kena fikir. Satu peringatan umum yang perlu difahami oleh semua pemimpin," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata terdapat menteri atau timbalan menteri dari PKR bertindak seperti menteri-menteri Umno.
"Menang (PRU) ini mulanya pelaksanaan tanggungjawab rakyat, tapi sesetengah kita fikir dah menang semua betul, kadang-kadang tengok jawapan-jawapan ni, aku tengok ish, macam menteri Umno.
"(Mereka kata) Kita semua faham dan perkara ni dah kita laksanakan, rakyat semua memang faham dan senang hati, rakyat mana yang senang hati?
"Patut kita dengar, ada rasa rendah diri untuk mengakui masalah," katanya.
Beliau juga berkata kerajaan perlu memastikan keputusannya berhubung projek perumahan memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya pemaju perumahan.
[Baca berita asal]
sumber...mKini
Label:
anwar ibrahim,
Pkr
Monday, October 28, 2019
Siapa Tentukan Peralihan Kuasa PM dari Tun M Kepada Anwar ?
Kedudukan PM kekal hingga PRU hanya pandangan pembangkang
Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa hanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan menentukan kedudukannya sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir berkata cadangan daripada anggota parlimen pembangkang supaya beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang adalah pandangan mereka sahaja.
“Itu pendapat dia orang, yang akan menentukan (saya sebagai perdana menteri) ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang akan putuskan.
“Kalau dulu dia (pembangkang) cadang saya jadi perdana menteri sebelum adakan PRU ke-14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Ashgabat pada Ahad, sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan pada Isnin.
Khamis lepas, enam ahli Parlimen Umno pada satu sidang media di lobi Parlimen, tampil memberi sokongan agar Dr Mahathir meneruskan mandat sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.
Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).
Sementara itu, sewaktu sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat pada hari sama, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan semua anggota parlimen parti itu seramai 18 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Dr Mahathir yang berada di sana untuk lawatan rasmi dua hari bermula Ahad, mengulangi bahawa beliau tidak dapat meletakkan tempoh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.
“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Najib (Razak).
“Apabila saya berpuas hati, saya tidak akan teruskan (jadi perdana menteri) tetapi saya tidak dapat memberi masa tertentu kerana masalah negara ini (Malaysia) amat besar dan tidak mudah untuk kita selesaikan. Hutang kita banyak dan jentera kerajaan telah dirosakkan oleh Najib.
“Itu perlu dibetulkan lagi dan macam-macam masalah yang ditinggalkan oleh Najib. Sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman dalam menyelesaikan perkara-perkara ini,” katanya.
Manifesto PRU14 Pakatan Harapan menyatakan tempoh 2 tahun untuk Tun M menjadi PM seterusnya menyerahkan kepimpinan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.Itulah maksud PM interim Pakatan Harapan.
sumber...edit dari mKini
Label:
anwar ibrahim,
Pakatan Harapan,
Tun M
Tuesday, October 22, 2019
Nasharudin Mat Isa Berdepan 30 Tuduhan Pecah Amanah RM3.6 juta
Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa didakwa atas 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3.6 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM302,069.60.
Tuduhan pecah amanah jenayah itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan yang dilakukan sejak 2015.
Pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Semua pertuduhan terhadap Nasharudin dibacakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertubuhan yang dihadapinya.
Hakim Rozilah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM330,000 dengan seorang penjamin terhadap Nasharudin, manakala pasport antarabangsa beliau diperintah diserahkan kepada mahkamah.
Nasharudin ditahan sepasukan pegawai SPRM, petang semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
sumber... bhnews@bh.com.my
Friday, October 11, 2019
Bila Ustaz Azhar Idrus Kena Tibai
Gelar ‘menteri iblis’: Ustaz Ali Muda bidas Ustaz Azhar Idrus
Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ali Muda membidas gelaran ‘menteri iblis’ yang digunakan penceramah Ustaz Azhar Idrus ketika berada dalam masjid.
Menurutnya, politik Pas dalam masjid itu menganggap seolah-olah apa yang Pas lakukan sebagai suruhan dan kehendak Allah.
“Ustaz yang terkenal dengan kata-kata ‘bodo..’ ini mendakwa ada orang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam (maksudnya sesama orang Pas dan Umno). Dia menyifatkan orang itu sebagai iblis.
“Dia juga mendakwa ada seorang menteri kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung (sesama Pas dan Umno) dan dia mengatakan menteri itu adalah menteri iblis.
“Kita nak tanya ustaz ini siapa orang yang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam itu? Dan kita juga mahu tanya dia siapakah menteri iblis yang kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung sesama Islam?
“Nampaknya ustaz ini hanya mengajar ikut arus politik Pas dalam masjid. Kononnya apa yang Pas buat itu adalah suruhan Allah dan kehendak Allah semuanya,” bidasnya dipetik dari Facebook beliau.
Beliau mengulas rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan ceramah Ustaz Azhar.
Ustaz Ali berkata, Pas hanya menganggap semua yang pihak lain lakukan untuk kemajuan Islam dan umat Islam adalah tidak betul dan tidak Islamik.
“Yang betul dan Islamik hanyalah yang Pas buat iaitu dasar Membangun Bersama Islam. Jika dulu mengkafirkan Umno itu kehendak Allah atau kerana mencari redha Allah, kini bergabung dengan Umno pula kehendak Allah.
“Mengkafirkan atau memunafikkan Amanah (yang mereka suka sebut Pan) serta menyifatkannya sebagai khadam musuh Allah pula adalah kehendak Allah.
“Dulu Pas kata dasar Penerapan Nilai-nilai Islam (PNI) itu tidak Islam kerana ia cuma kosmetik. Selepas itu, dasar Wawasan 2020 pun tidak Islam kerana ia juga kosmetik dan was-was syaitan (saya masih ingat seorang cikgu kuat Pas mengajar kami tentang hal ini dalam kelas Tingkatan 6 Atas 1991),” katanya.
Selepas itu, jelasnya, Pas turut menganggap Islam Hadhari tidak betul kerana yang betul ialah Hadharah Islamiyah disusuli kemudiannya Islam Wasatiyah juga tidak betul.
“Kini dasar atau gagasan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah pun tidak betul kerana kononnya ia rahmatan lil kafirin dan hendak buat maqasid tetapi tidak mahu syariah,” ulasnya.
Pijak kepala
Dalam klip video itu, Ustaz Azhar berkata penggabungan tanpa menyebut nama parti adalah bukan kerana politik.
“Tetapi kerana Allah kerana hendak menyelamatkan agama Islam. Kewajipan kita membela bumi umat Islam daripada dirampas oleh musuh-musuh Allah.
“Bukan untuk tujuan politik tetapi untuk mempertahankan hak kita. Ini termasuk jihad. Islam sama Islam hendak bergabung, dia kata haram.
“Itu iblisnya namanya. Ada seorang menteri kata tidak boleh gabung, kekalkan dengan perpecahan. Itu menteri iblis namanya,” tohmahnya.
Selanjutnya, Ustaz Azhar menyebut, “kita redha selama ini kita berpecah belah, Allah ajar kita orang kafir naik, pijak kepala kita”.
Sehubungan itu, serunya lagi, bergabung semulalah bukan kerana hendak undi semata-mata kerana tambahnya, “keranaMu Ya Allah dengan kita bergabung walau mengundi atau tidak, turun pertolongan Allah, itu pasti.”
Mengulas lanjut, Ustaz Ali berharap akan ada khalayak pendengar untuk berani tampil bertanya Ustaz Azhar secara berdepan.
“Jangan angguk-angguk dan ketawa sahaja dengan lawak bohongnya itu,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan terjemahan kepada makna Membangun Bersama Islam yang menjadi slogan kerajaan negeri Kelantan.
“Cuma kita nak tanya apa yang membangunnya Islam di negeri pentadbiran Pas? Apakah kualiti umat Islam di negeri Pas lebih baik daripada umat Islam di negeri-negeri lain?
“Dari segi kebersihan, kecekapan pentadbiran, peluang pekerjaan untuk orang Islam adakah negeri Pas lebih baik? Semua orang tahu jawapan kepada persoalan itu,” tambahnya lagi.
sumber...malaysia dateline
Label:
Pas,
takfiri,
ustaz azhar idrus
Sunday, September 22, 2019
Umno dan Pas Dalam Gaung Pemikiran Orang Kalah
Sebaik sahaja runtuhnya tembok Berlin pada 9 November 1989, Francis Fukuyama telah mengisytiharkan The End of History , merujuk kepada pertembungan di antara sosialisme komunisme dengan demokrasi kapitalis.
Bagi Fukuyama runtuhnya tembok Berlin adalah kejayaan mutlak demokrasi kapitalisme. Jadi dengan itu berakhirlah sejarah.
Bagaimana pun tarikh 9 Mei 2018, bukanlah pengakhir kepada sejarah politik Malaysia, tidak juga boleh dikatakan sebagai permulaan kepada satu sejarah yang baru, meski pun pada tarikh tersebut Umno telah tercabut akar kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Pakatan Harapan memancakkan paksi kuasa serta memperkukuhkan tunjang cengkamannya.
Bermakna sejarah politik baru, merupakan dimensi politik yang berlangsung di atas real politik yang sama sebelum 9 Mei 2018, apa yang bertukar adalah kuasa baru dalam politik pemerintahan.
Pakatan Harapan (PH) telah berjaya menakluk pusat kuasa dengan menyingkirkan UMNO-Barisan Nasional (Umno-BN). Watak politik yang menguasai pentas politik adalah kelompok yang sama, apa yang berbeza adalah baju politik.
Pemikiran politik serta ideologi politik juga adalah sama, atomisme politik masih tetap berlegar sekitar isu-isu agama dan bangsa, jelasnya politik perkauman dan sektorian agama masih tetap mendominasi persekitaran politik Malaysia.
Bagaimana pun, satu fenomena baru yang wujud dalam konteks Malaysia mutakhir ini, adalah begitu menonjolnya apa yang boleh diklaskan sebagai real politik “pemikiran orang kalah.”
Dalam konteks pemikiran Stephen Covey dinamakan minda kekurangan. Menyorot novel yang dihasilkan Rohani Deraman, dijudulkan sebagai Jogho Yang Tewas .
Apa pun konsepsi yang digunakan, maka rujukannya adalah terhadap pemikiran orang kalah, boleh juga diistilahkan sebagai minda orang kalah.
Minda orang kalah, merupakan konteks pemikiran yang sentiasa menafikan hakikat bahawa mereka sebenarnya kalah, sebaliknya sentiasa meletakkan dirinya sebagai orang yang menang.
Maka daripada sudut inilah akan timbulnya istilah “kemenangan yang tertangguh.” Sering kali dipopularkan oleh para pemimpin Pas.
Golongan ini akan sentiasa meletakkan diri mereka sebagai pejuang, pembela dan akan sentiasa menafikan apa sahaja tindakan-tindakan atau dasar-dasar konstruktif yang berteraskan faedah bersama, terutamanya apabila dasar atau tindakan perubahan sosial, politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan.Apa pun realitinya golongan ini akan patuh melutut kepada ketua mereka, meski pun wujud salah laku serta penyelewengan moral.
Pemikiran orang kalah akan mengkesampingkan fakta, sebaliknya akan memperbesarkan aspek manipulasi situasi, berdasarkan kepada andaian serta kepercayaan yang dibina atas realiti bayangan atau pun unverified assumptions .
Berdasar unverified assumptions inilah mereka akan membina rantaian isu untuk memperlihat bahawa mereka mengetahui segala-galanya sehingga ada yang mengaku begitu rapat dengan agen CIA.
Beberapa isu yang dicipta dalam konteks prinsip andaian, seumpama Islam terancam, lebih bercorak kepada motif mengecilkan pengaruh positif, sebaliknya memperbesarkan pengaruh negatif, bagi membolehkan matlamat untuk membina keserabutan dalam kalangan masyarakat dapat digerakkan.
Bagi golongan yang terperangkap dengan pemikiran orang kalah, ini dianggap peluang sebagai pejuang.
Islam terancam, hakikatnya penceritaan yang dihidupkan untuk membina sokongan masyarakat Melayu Islam khususnya, terhadap PAS.
PAS pada setiap ketika akan menjadikan Islam sebagai umpan untuk memancing dan menambat masyarakat Melayu Islam terhadap perjuangannya, jadi adalah tidak menghairankan apabila ada dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS mendakwa keluar daripada Pas adalah haram.
Ini sebenarnya konteks pemikiran orang kalah yang sentiasa menekankan kepada ugutan dan ancaman dalam konteks untuk mengekalkan sokongan.
Islam terancam juga merupakan satu metos yang dicipta untuk dijadikan detterant , bagi menghalang masyarakat Melayu Islam menjarakkan diri daripada PAS.
Para pemimpin Pas sering kali mendakwa bahawa perjuangan Pas adalah perjuangan Islam. Perjuangan PAS adalah jihad, kesannya peristiwa Memali menjadi taruhan.
Setelah gagal untuk berhujah secara berfakta dalam usaha memperkukuh ideologi bagi membina keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan para pengikutnya. Maka naratif Islam terancam adalah perangkap yang boleh menjerat masyarakat Melayu Islam untuk terus menyokong PAS.
Hakikatnya Amanat Banggol Peradong itu, merupakan amanat yang lahir daripada pemikiran orang kalah.
Detik 9 Mei 2018, memperlihatkan politik PAS dan UMNO berusaha untuk kembali memperkukuh kedudukan. Ekoran daripada situasi inilah PAS dan UMNO terperangkap dalam konteks pemikiran orang kalah, amat ketara tindakan-tindakan serta pemikiran tidak produktif telah diketengahkan yang memberikan kesan kepada kestabilan sosial.
Kempen boikot barangan bukan Islam (kemudian ditukarkan kepada mengutamakan produk muslim), merupakan unsur yang menjurus kepada usaha membina kelompok terasing (sub-set) daripada kelompok yang besar, iaitu menafikan kekuatan hubungan sinergistik, satu ciri utama dalam konteks pemikiran orang kalah.
Secara analitikalnya, timbul persoalan bagaimana proses dan prosedur yang digunakan untuk menentukan kemutlakan produk muslim, bagaimana kaedahnya bagi menentukan unsur-unsur komposit dalam mendefinisikan produk muslim.
Dalam kedua-dua unsur teras ini, hakikatnya perlu diberikan pembuktian yang boleh ditentusahkan Umdan mempunyai standard kalibrasi.
Hakikatnya ini adalah jelas menggambarkan wujudnya unsur pemikiran orang kalah dalam isu berkait dengan pemboikotan produk non muslim, kerana jelas memperlihatkan wujudnya tingkah laku reaktif yang berteraskan pemikiran prejudis.
Pemikiran orang kalah, umumnya menjurus kepada tingkah laku serta pemikiran bercorak reaktif dan spekulatif.
Kekalahan Umno 9 Mei 2018 dan dalam usaha untuk menghidupkan sisa-sisa nafasnya, maka diputarkan pelbagai isu non-produktif bagi menimbulkan kecelaruan emosi serta pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu.
Naratifnya; hak Melayu tergugat, kedudukan keistimewaan Melayu sudah terhakis, kedaulatan Raja-raja Melayu sedang terancam dan Cina sudah menguasai Malaysia; walhal pada masa yang sama institusi-institusi Melayu dan Islam masih kukuh dan teguh, tidak terusik catatannya dalam Perlembagaan negara serta masih tetap utuh operasinya.
Kitaran isu-isu ini, hakikatnya wujud hasil daripada kemusnahan intelektualiti, menjadikan hilangnya konteks pemikiran dalam skala gambaran luas, wujudnya pembonsaian perspektif.
Realiti inilah yang menjadikan Pas dan Umno gagal untuk memahami isu disebalik kes Najib Razak dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.
Pas dan Umno daripada awal isu ini diperkatakan, menyimpulkan sebagai wujudnya usaha untuk menfitnah Najib Razak dan mereka dengan mudah, tanpa analytical view menganggap IMDB tidak ada pelanggaran integriti dan akauntabiliti, pelan rasionalisasi adalah betul dan tepat.
Hakikatnya pemikiran orang kalah begitu kuat mendominasi pemikiran, tingkah laku dan perspektif pemimpin Pas dan Umno, mengakibatkan hilangnya sifat nasionaliti, sebaliknya membataskan tindak tanduk dalam persekitaran lokaliti kedaerahan.
Pada masa yang sama lebih cenderung kepada penyebaran sentimen provokatif yang menyisihkan, apa yang diistilahkan oleh Stephen Covey sebagai the judgement of smart trust .
oleh: Dr Kamarudin Musa UPSI
DR KAMARUDIN MUSA
Berita penuh https://malaysiadateline.com/umno-dan-pas-dalam-gaung-pemikiran-orang-kalah/
Berita penuh https://malaysiadateline.com/umno-dan-pas-dalam-gaung-pemikiran-orang-kalah/
DR KAMARUDIN MUSA
Berita penuh https://malaysiadateline.com/umno-dan-pas-dalam-gaung-pemikiran-orang-kalah/
Berita penuh https://malaysiadateline.com/umno-dan-pas-dalam-gaung-pemikiran-orang-kalah/
Label:
Pakatan Harapan,
Pas,
Umno/bn
Thursday, September 19, 2019
Bagaimana Jika China Batuk?
ULASAN | “China berbeza daripada negara lain”. Mantera ini diguna pakai oleh Sinophiles berulang kali dengan semangat keagamaan yang tinggi.
Bank-bank di China boleh terus berkembang tanpa memikirkan hutang yang lapuk; dengan Renminbi (RMB) boleh disokong secara langsung oleh permintaan domestik, PetroYuan akan mencabar Petrodollar, dan banyak lagi mitos kewangan yang lain.
Sepanjang 20 tahun yang lalu, secara metaforanya, walaupun para penggembala mengumpul banyak kambing di dalam kawanannya, akhirnya kambing-kambing ini akan bertemu pisau juga suatu hari nanti.
Kita mungkin dapat menyaksikan halangan di dalam “keajaiban” ekonomi China, disebabkan oleh bintang realiti terbesar di dunia yang memainkan peranan utama sebagai musuh kepada China.
“Perang Dagangan” Trump telah mencetuskan sesuatu yang berbeza dan menyebabkan China tidak dapat menjangka apa yang bakal terjadi.
20 tahun yang lalu, AS hanya menutup mata terhadap China dan membolehkan mereka berkelebihan dan berdaya saing. Bush dan Obama mengekalkan polisi yang selaras, di mana mereka memudahkan eksport berasaskan pembuatan yang menyokong pertumbuhan China.
Kini, China telah memperluas ekonomi mereka pada kadar AS$12-13 trilion, manakala AS pada kadar AS$21 trilion. Sementara itu, penduduk di China telah mengeluarkan sejumlah AS$23 trilion RMB dengan hanya 1 peratus daripada global settlements, manakala dollar AS free-float pada kadar AS$19 trilion sebagai pertukaran de facto di dunia.
Ini telah mewujudkan modal yang berlebihan daripada lebihan perkadaran. Ia juga menjadikan kuantitatif lebih mudah oleh Persekutuan AS selepas Krisis Kewangan Global (GFC) pada tahun 2008.
Jika kawalan modal dinaikkan pada hari ini, mata wang China pasti akan jatuh menjunam, dan soalan yang akan timbul adalah berapa dalam ia terjunam.
Hutang lapuk AS dianggarkan kira-kira 2.6 peratus deposit bank, tetapi China, angka rasmi mencecah 9 peratus - sama ada betul atau tidak - diumumkan oleh Parti Komunis China (CPC); angka sebenar Non Performing Liam (NPL) tidak disangkal lagi, lebih tinggi.
Antara bank-bank utama di China, hanya beberapa sahaja bank yang telus mengenai angka ini, dan disebabkan itu, institusi kewangan global dengan sengaja menghadkan pendedahan kewangan mereka di China.
Apa yang diketahui, terdapat beberapa pengguna Renminbi di luar China dan juga inisiatif-inisiatif seperti Belt and Road (BRI) direka untuk menggunakan lebihan RMB di dalam projek-projek besar yang tidak penting, yang mana syarikat-syarikat Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) milik kerajaan China memberi pinjaman dan membelanjakan dana tersebut dikalangan mereka sahaja.
Memang benar, tidak ada pasaran kewangan digelar RMB yang lebih besar di tempat lain.
Meskipun usaha keras telah dilaksanakan, China terpaksa membeli sumber utama mereka seperti minyak, keluli, tembaga dan lain-lain dalam jumlah matawang Dollar AS.
Dengan matawang Yuan yang bernilai serendah 12 tahun kebelakang dan kos perang dagangan menelan belanja lebih kurang AS$200 bilion mengikut kos tarif yang melambung, China berada dalam situasi yang teruk walaupun dengan rizab AS$2 trilion di dalam simpanan mereka.
Hakikatnya, China telah menyedari bahawa mereka perlu melancarkan “Peperangan Tanpa Batas” bagi menghapuskan “Penghinaan Berabad Lamanya” oleh Barat.
Ini adalah berdasarkan strategi yang telah ditulis oleh dua orang profesor dari China, Qiao Liang dan Wang Xiangsui pada 1999 dan strategi tersebut telah digunapakai hingga kini.
Intipati strategi itu mengatakan mereka hanya boleh mencabar Amerika Syarikat dengan hanya menggunakan data maklumat dan juga ekonomi, bukanlah ketenteraan.
“Kepulauan Reef” China di Laut China Selatan merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kedudukan yang sama rata, dengan cubaan untuk mengawal Selatan China di mana kebanyakan barangan mereka diambil. Sekali lagi, Trump membelakangi perkara ini, di mana Bush dan Obama tidak pernah lakukannya, sama ada dia berada di pejabat ataupun tidak, dasar Amerika Syarikat ketika ini tidak mungkin dilonggarkan.
Ketepikan segala implikasi politik - ulasan ini semata-mata merujuk kepada skop ekonomi - jelas bahawa konvergensi anomalis menunjukkan pertumbuhan eksport yang semakin meningkat perlu didamaikan dengan pantas dan cepat, dan pergolakan di Hong Kong, walaupun tidak terancam kepada pucuk pimpinannya, cabaran yang lebih mendalam hanya akan diburukkan lagi oleh kemelesetan ekonomi.
Daripada perspektif Malaysia, sementara perang dagangan ini sekali lagi telah menggantikan China kepada Amerika Syarikat sebagai rakan perdagangan Malaysia yang terbesar, implikasi pergolakan di China pasti akan mengakibatkan implikasi global.
Boleh dikatakan seluruh dunia akan demam apabila Amerika bersin. Hari ni, kita semua akan selesema apabila China batuk. Adakah kita telah bersedia?
oleh: Dr Rais Husin ,Presiden dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir berfokuskan penyelidikan dasar berteraskan data, Emir Research. Ia ditunjangi nilai-nilai konsultansi, kesederhanaan dan kerapian.
Label:
amerika syarikat,
China,
ekonomi,
global
Tuesday, September 17, 2019
PAS Jangan Dipatuk UMNO Lagi
Habis madu sepah dibuang
Lima puluh tahun lalu, selepas peristiwa 13 Mei dan kekalahan besar pada pilihan raya 1969, UMNO di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein memujuk PAS supaya bersama dengan parti berkenaan. Ketika itu, agendanya adalah untuk menjaga kepentingan Melayu selepas apa yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei.
Lalu PAS di bawah pimpinan Datuk Mohamad Asri Muda memanggil satu Muktamar Khas untuk menentukan sikap, apakah PAS sedia atau tidak menyertai UMNO.
Lalu majoriti ahli muktamar khas itu mengambil keputusan menyokong menyertai UMNO dan membentuk Barisan Nasional (BN) kemudiannya. Sebahagian ahli PAS tidak bersetuju dengan langkah itu, termasuk Allahyarham Amaluddin Darus yang terus meninggalkan PAS.
Selepas menyertai BN, beberapa pimpinan kanan PAS, termasuk Asri dilantik menjadi menteri. Asri sendiri menjaga hal ehwal tanah.
Namun, selepas UMNO stabil dan PAS mula kuat dalam BN, UMNO mula mencari pasal. Ia berakhir dengan tindakan PAS ditendang keluar daripada BN pada 1977 selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan di Kelantan.
PAS kehilangan segala-galanya selepas itu, termasuk Kelantan. Mulai 1978 PAS dibina semula dengan brand baharu, kepemimpinan ulama yang dipelopori Tuan Guru Nik Aziz, Yusof Rawa, Datuk Fadzil Mohd Nor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada pilihan raya 2018, PAS sampai kemuncaknya. Lima pemimpin dalam PAS yang membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) menjadi menteri, lima lagi menjadi timbalan menteri dalam Kerajaan Pusat. Dua negeri pula jatuh ke tangan PAS iaitu Terengganu selepas menawan Kelantan sejak 1990.
UMNO pula, seperti 1969, jatuh terperosok. Kali ini lebih teruk lagi, hilang Kerajaan Pusat dan menjadi pembangkang di hampir semua negeri kecuali Pahang dan Perlis.
Hari ini, seperti yang berlaku pada 1969, PAS sekali lagi diajak UMNO untuk bersatu. Majlis memeterai perjanjian Penyatuan UMNO berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bangunan kebanggaan UMNO.
Kali ini dengan moto yang lebih menarik, Penyatuan Ummah. Buat kali pertama, PAS berbangga benderanya berkibar megah di atas PWTC yang menjadi kebanggaan itu.
Apakah sikap ahli bawahan PAS dengan isu ini? Pelbagai. Sebahagian mereka teringat kata-kata Nik Aziz, pemimpin PAS yang mereka sayangi. Orang Islam tidak boleh dipatuk oleh ular dua kali dari lubang sama.
Ada juga yang melemparkan kata-kata, jangan sesekali melepaskan buaya yang tersepit. Ia banyak dilemparkan oleh golongan tua dalam PAS yang masih merasai bagaimana peritnya dimainkan UMNO pada 1977.
Antaranya ialah Abdul Fatah Harun, Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Kelantan. Saban hari penulis menerima mesej beliau yang berupa video bagaimana penentangan dan penafian pemimpin PAS sebelum ini apabila dikatakan UMNO dan PAS akan bersatu.
Bagi golongan ini, ketika UMNO sudah kuat, PAS akan ditendang kembali. Ketika UMNO kalah teruk, PAS yang dicari seperti pada 1969 dahulu.
Bagi mereka, apa yang UMNO buat dahulu adalah selaras dengan perumpamaan ‘selepas madu disedut, sepah dibuang’.
Kini, melalui putaran waktu, apabila UMNO kalah, PAS sekali lagi dicari.
Bagi mencari sebab dan memujuk PAS, pelbagai isu perkauman dan keagamaan disebarkan. Perkara yang sukar untuk dilakukan oleh penyokong PAS dahulu (kerana dididik dengan Islam), kini sudah boleh dilakukan.
Apabila dikatakan ini menyebarkan fitnah, mereka akan jawab kita tidak boleh terlepas daripada fitnah sebab ini zaman fitnah.
Saya percaya sebahagian besar pemimpin PAS, terutama orang lama dalam parti itu tidak setuju bersama UMNO. Tetapi dengan apa yang berlaku dalam politik negara sekarang, terutama ketepatan strategi yang diambil bekas rakan mereka dalam AMANAH, apa lagi pilihan yang mereka ada melainkan bersama UMNO.
oleh: Zulkifli Sulong
Penulis adalah Bekas Ketua Pengarang Harakah, kini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan
Label:
kleptokrat,
Pas,
takfiri,
umno
Tuesday, September 10, 2019
Warga China Mudah Sangat Dapat Mykad ?
JPN Buat Aduan Polis isu Beri Kerakyatan pada Warga China
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis ke
atas beberapa akaun Facebook yang menyebarkan khabar kononnya ada rakyat
China diberikan MyKad.
Katanya, beberapa akaun di media sosial menuduh JPN mengeluarkan kad pengenalan Malaysia kepada warga asing.
"Apa yang kita mahu (melalui aduan tersebut) ialah agar polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan yang dibuat kerana maklumat yang disebarkan tidak benar sama sekali," katanya.
Menurut Ruslin, sekeping gambar yang tular itu merujuk kepada wanita China yang berkahwin dengan rakyat negara ini sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, wanita terbabit sebelum ini memiliki kad pengenalan merah dan memohon untuk mendapatkan kerakyatan mengikut Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan.
"Dia diberikan kerakyatan pada 2017," katanya.
Dengan adanya laporan polis tersebut, kata Ruslin, JPN berharap tidak ada mana-mana pihak menuduh agensi itu mengeluarkan dokumen terbabit dengan sewenang-wenangnya.
Katanya, JPN tidak memilih permohonan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia berdasarkan kepada keturunan atau kerakyatan tertentu.
"Sebenarnya JPN dipandu oleh peraturan mengikut perlembagaan dan Akta Pendaftaran Negara 1959.
"Justeru, tidak ada sebarang isu JPN dituduh memberikan kerakyatan kepada mana-mana warga asing dengan mudah," katanya.
Sementara itu Ruslin menjelaskan satu lagi gambar tular memaparkan lima keping MyKad yang didakwa diberi kepada rakyat China sebenarnya imej dirampas pihak berkuasa daripada sindiket pemalsuan dokumen yang dibongkar pada 2015.
Katanya, kejadian itu berlaku di Sabah.
sumber...mKini
Label:
facebook,
fitnah,
JPN,
laporan polis
Saturday, September 7, 2019
Kes 1MDB: Bekas Pegawai Najib Londeh 10 Perkara
Kes 1MDB: 10 Perkara Didedah Bekas Pegawai Khas Najib
KES 1MDB | Lima hari pertama perbicaraan kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak setakat ini telah menyaksikan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin tampil sebagai saksi penting pendakwaan.
Amhari, 43, yang berkhidmat untuk Najib selama 10 tahun, memberi butiran mengenai kerja-kerja pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan urusan mereka dengan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Amhari memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia selepas tamat pengajian pada 1999, sebelum dipindahkan ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sebagai pegawai khas Effendi Norwawi, yang merupakan menteri yang bertanggungjawab memantau EPU di bawah PMO pada tahun 2006.
Dua tahun kemudian, Amhari kembali ke BNM sebagai pengurus Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia dan sempat berkhidmat selama dua bulan ketika ditawarkan untuk menjadi pegawai khas Najib.
Amhari diletakkan di bawah pengawasan Azlin. Apabila Najib menjadi perdana menteri keenam pada April 2009, Azlin menjadi pengarah Bahagian Ekonomi PMO, dan Amhari telah ditugaskan menjadi pegawai khas kepada PM yang turut berada di jabatan yang sama.
Selepas kematian Azlin dalam nahas helikopter pada tahun 2015, Amhari kemudian diberikan tugas Azlin, termasuk urusan yang sangat sulit bagi mewakili pihak perdana menteri.
Pada 2016, Amhari dipindahkan dari Bank Negara ke Khazanah Nasional Bhd, dan menerima gaji bulanan sebanyak RM55,000. DIa memperoleh RM25,000 sebulan ketika berada di bawah BNM.
Menurut keterangannya di mahkamah, sejak pemindahannya ke Khazanah Nasional, Amhari memperoleh RM75,000 sebulan, termasuk RM20,000 lagi sebagai pengarah Orb Solutions Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2010 untuk membantu mempromosi Najib dalam talian.
Antara perkara penting dari keterangannya adalah seperti berikut:
1) Pegawai Najib mengadakan pertemuan rahsia dengan Jho Low
Amhari memberi keterangan mendakwa bahawa dian dan pegawai atasannya di PMO, Allahyarham Azlin Alias, telah bertemu Jho Low secara rahsia berhubung 1MDB tetapi hanya menyedari ia merupakan satu skandal apabila nama syarikat tersebut mula timbul dalam berita.
Menurutnya, ini kerana kerja-kerja mereka dibahagikan secara berasingan, dan hanya Najib dan Jho Low "mempunyai gambaran keseluruhan mengenai apa yang dirancang".
Amhari memberi keterangan bahawa pertemuan dengan Jho Low dilakukan pada waktu malam di Prince Hotel di Kuala Lumpur di mana projek dan keputusan utama dibincangkan.
2) Amhari mendakwa Jho Low berada dalam lingkungan keluarga Najib
Amhari pertama kali berjumpa dengan Jho Low pada tahun 2007 ketika menjadi pegawai khas kepada Mohd Effendi Norwawi, kemudian Menteri yang bertanggungjawab memantau EPU.
Menurutnya, sejak pertama kali bertemu dengan Jho Low, ahli perniagaan itu banyak bercakap tentang keluarga Najib seolah-olah dia berada di dalam keluarga keluarga timbalan perdana menteri itu.
Jho Low juga kemudian memberitahu Amhari bahawa dia rapat dengan Najib, dan Jho Low mengenali ahli parlimen Pekan itu melalui anak Najib, Riza Aziz memandangkan Jho Low sudah mengenali Riza sejak zaman remaja mereka.
"Banyak kali Jho bercakap tentang kekerapan pertemuannya dengan keluarga Najib dan kadang-kadang dia tahu lebih banyak mengenai rancangan yang telah dibuat oleh keluarga Najib walhal saya sendiri, sebagai pegawai khasnya, tidak tahu mengenainya," kata Amhari.
Amhari juga mendakwa bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor sering menerima panggilan daripada Jho Low.
3) Jho Low tahu lebih banyak maklumat daripada pegawai Najib sendiri
Menurut Amhari, Najib sering berjumpa dengan Jho Low untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk hal-hal sulit.
Amhari yang menggambarkan Jho Low sebagai 'penasihat penting' kepada Najib berkata ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu telah mengenali Najib sebelum Amhari menjadi pegawai khasnya.
Amhari turut menggambarkan Jho Low 'sangat rapat’ dengan Najib dan isterinya, Rosmah.
Menurutnya, terdapat juga situasi ketika arahan khusus yang melibatkan perkara sulit diberikan kepadanya atau Azlin oleh Jho Low.
Dia percaya bahawa Najib telah meluluskan arahan ini kerana ketika mereka mengesahkan perkara tersebut dengan Najib, Najib mengetahuinya dan mengarahkan Amhari dan Azlin untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh Jho Low.
Amhari juga memberi keterangan bahawa dia percaya yang Jho Low adalah “pakar manipulasi”, yang dapat memperoleh perkara yang diinginkan.
"Sepanjang pengalaman saya berurusan dengan Jho Low, saya mendapati dia pandai dan manipulatif ketika berurusan dengan pegawai dari pelbagai peringkat dan pangkat, dari Malaysia atau luar negara, yang kebanyakannya diketahui Najib," katanya.
4) Jho Low menggunakan pembantu Najib untuk membuka akaun bank
Pada 2012, Amhari dan Azlin membuka akaun bank di luar negara atas arahan Jho Low, dan Jho Low mendakwa ia sebagai akaun ‘standby’ dan ‘just in case’ yang akan dikendalikan olehnya.
Walaupun kedua-dua mereka menyatakan kebimbangan, Amhari berkata mereka terpaksa mengikut perintah Jho Low kerana mereka takut sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka atau kerjaya mereka jika mereka memilih untuk melawannya.
Amhari kemudian mendapat tahu pada tahun 2016 bahawa akaunnya dengan BSI Switzerland mempunyai lebih dari AS$800,000 ketika dia menerima panggilan daripada bank. Bagaimanapun, akaun itu terpaksa ditutup atas arahan BSI dan dia terpaksa membuka akaun lain di Bangkok.
Dia mendakwa kedua-dua akaun itu berada di bawah kawalan Low dan tidak tahu apa yang berlaku kepada wang itu.
5) Jho Low mengarahkan pembantu Najib untuk hapuskan dokumen, tetapi Amhari tidak melupuskan kesemuanya
Amhari di mahkmah juga mendakwa bahawa Jho Low sentiasa mengingatkan dia dan Azlin untuk menghapuskan dokumen yang mereka miliki selepas setiap mesyuarat.
Selain dokumen, pegawai-pegawai juga dimaklumkan untuk memadamkan setiap e-mel dan mesej Blackberry Messenger yang Jho Low telah hantar kepada mereka.
Menurut Amhari, ketika menghapuskan dokumen dari perbincangan mereka, ada beberapa yang dia terlepas pandang.
Amhari bagaimanapun percaya bahawa Azlin mungkin telah menghapuskan semua dokumen dalam simpanannya kerana menurutnya Azlin merupakan seseorang yang pandai menyimpan rahsia.
6) Jho Low bertemu dengan Agong terdahulu mengenai 1MDB
Amhari pertama kali menyertai mesyuarat berhubung rancangan untuk menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), (nama sebelum ditukarkan kepada 1MDB), atas perintah Jho Low, yang mendakwa bahawa dia mendapat kelulusan Najib untuk meyakinkan Amhari.
Sekitar akhir 2008, pertemuan itu diadakan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur, dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Menurut Amhari, Jho Low telah membangkitkan rancangan untuk menubuhkan TIA kepada Agong ketika itu, tetapi Tuanku Mizan tidak memberikan sebarang keputusan.
Amhari berkata dia mula mengetahui tentang rancangan untuk menubuhkan TIA menerusi kutipan dana apabila Jho Low menjelaskan kepadanya tentang idea menggunakan papan putih di dapur rumah Jho Low di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa rancangan TIA mengambil model dana kekayaan Mubadala di Abu Dhabi, dan TIA adalah projek Najib.
Amhari juga memberi keterangan bahawa Jho Low terlibat dalam perancangan kerjasama 1MDB dengan IPIC dan Aabar. Bagaimanapun, Amhari berkata dia tidak mempunyai banyak maklumat kerana kebanyakan perbincangan telah dikendalikan oleh Azlin.
7) Jho Low arahkan naratif mengenai kawalan kerosakan 1MDB
Selepas skandal 1MDB mendapat tumpuan, PMO terutamanya Azlin yang merupakan ketua setiausaha sulit Najib perlu mendapatkan penyelesaian untuk melindungi imej Najib sebagai perdana menteri.
Amhari berkata, Jho Low telah memainkan peranan dalam usaha menangani kesan skandal 1MDB, dengan beliau telah menyediakan kandungan ucapan dan pelan tindakan untuk PMO.
Ahli perniagaan tersebut juga telah memberikan soalan-soalan lazim (FAQ) kepada PMO untuk digunakan apabila menjawab soalan 1MDB.
Menurut keterangan Amhari, pada satu tahap, Jho Low juga menyediakan dokumen yang menyangkal dirinya sendiri mempunyai sebarang peranan dalam 1MDB.
Amhari berkata apabila pihak berkuasa Malaysia menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat isu 1MDB, Jho Low menyerahkan dokumen kepadanya dan Azlin untuk membuktikan, antara lain, tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Petrosaudi.
8) Pelan rasionalisasi 1MDB datang dari Jho Low
Antara lewat tahun 2014 dan awal 2015, Amhari menerima dokumen yang disediakan oleh Jho Low, yang memperinci rancangannya untuk menyelesaikan hutang 1MDB.
Menurut saksi, dokumen yang bertajuk '1MDB Rationalisation Plan Overview: Accompanying Notes' menerangkan pelan rasionalisasi untuk 1MDB.
"Dokumen ini adalah rancangan Jho Low untuk menyelesaikan hutang 1MDB. Nota ini adalah untuk menjelaskan pelan rasionalisasi untuk 1MDB. Pelan ini merupakan isu hangat ketika itu.
"Oleh kerana isu 1MDB tersebut tidak begitu baik, rancangannya adalah untuk menjual semua aset dan liabiliti 1MDB, dan untuk menutup 1MDB.
"Jho Low mahu menjual semua aset dan liabiliti 1MDB untuk menampung masalah hutang yang dihadapi oleh 1MDB."
9) Najib mengarahkan Amhari untuk berunding penyelesaian IPIC
Apabila Abu Dhabi berhasrat membawa Malaysia ke mahkamah antarabangsa berikutan hutang 1MDB kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) pada tahun 2016, Najib kemudian mengarahkan Amhari untuk mengadakan misi rundingan.
Dia diminta berunding dengan ketua pegawai eksekutif Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi.
"Najib menjelaskan jika Abu Dhabi mengheret Malaysia ke mahkamah antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin oleh IPIC, ia akan menjejaskan hubungan dua hala antara negara, dan juuga mencetuskan risiko politik dalam pilihan raya umum akan datang.
"Pada masa itu, isu 1MDB masih menjadi topik hangat di seluruh dunia," katanya.
Menurut Amhari, satu siri rundingan kemudiannya dijalankan, termasuk antara 1MDB dan IPIC dan peguam kedua-dua syarikat tersebut, sebelum perjanjian penyelesaian akhirnya ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada pertengahan 2017.
10) Tiga rundingan dengan China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB
Sekitar masa yang sama ketika rundingan dengan Abu Dhabi sedang berjalan untuk mencapai penyelesaian hutang 1MDB, Amhari juga telah dihantar untuk misi lain ke China - bagi membincangkan projek-projek yang akan menyelamatkan 1MDB.
Amhari berkata dia diarahkan oleh Najib untuk terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB.
"Seperti yang ditunjukkan oleh (ahli perniagaan itu) Low Taek Jho menerusi kandungan ucapan dan pelan tindakan kepada saya, perjanjian dan usaha (antara Malaysia dan China) bertujuan untuk menjadi pelaburan yang akan membantu membayar hutang 1MDB (bailout) seperti hutang kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
"Saya juga boleh mengesahkan bahawa lawatan saya ke China (pada tahun 2016) hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib," kata Amhari.
Projek-projek yang Amhari maksudkan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP).
Merujuk kepada dokumen yang bertajuk 'Action Point: China-Malaysia Economic Programme' yang dihantar melalui e-mel kepada Amhari oleh Jho Low, Amhari berkata e-mel itu bertujuan untuk memastikan Najib memberi Terence Geh, rakan sekutu Jho Low, peranan penyelaras untuk 1MDB dan program penyelesaian hutang SRC yang dikaitkan dengan rundingan pelaburan Malaysia-China.
Saksi itu berkata dokumen menyatakan cadangan projek yang boleh menyelamatkan 1MDB.
"Dokumen tersebut memiliki nota pada maklumat (talking points) untuk mengemas kini status projek itu dan juga susulan kerja kepada tiga projek iaitu TSGP, MPP dan ECRL," kata Amhari.
Pada Nov 2016, Najib mengunjungi China untuk membuat beberapa perjanjian dengan negara tersebut dan syarikat-syarikat di negara itu.
Menurut Amhari, perjanjian tersebut merupakan:
1. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan di antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd, dan CPP dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER)
2. Perjanjian pembiayaan penuh antara China Exim dan ECRL dan antara China Exim dan SSER.
3. Perjanjian penuh Bon Renminbi antara China dan ECRL, dan antara SSER dan pihak China.
sumber...mKini
Label:
1MDB,
jho low,
Mahkamah,
najib rosmah
Friday, September 6, 2019
Penyatuan Ummah atau Hipokrit ?
Satu ketika dulu apabila bekas pemimpin Pas mendakwa bahawa ada kumpulan dalam Pas sedang berusaha untuk bergabung dengan partai kleptokrat Umno, mereka itu telah ditendang keluar parti.
Hari ini dakwaan bekas pemimpin Pas itu benar terjadi.
Benar kata pepatah melayu,bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru.
Takjub ada keris dan bulan di dada,kata Mahfuz
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menyifatkan gambar pemimpin-pemimpin PAS yang menyarungkan baju-T dengan lambang bendera PAS-Umno tersebar di media sosial baru-baru ini satu yang menakjubkan.
Kata anggota parlimen Pokok Sena itu, ketika kedua-dua parti pernah saling membenci suatu ketika dulu, kini di dada masing-masing terpampang lambang Umno dan PAS.
Mahfuz berkata suatu ketika dulu PAS melabel Umno sebagai tidak Islamik, manakala Umno pula mempersenda PAS sebagai ‘parti ajaran sesat.’
“Menakjubkan, telah tersemat di dada - bendera dan keris Umno pada dada pemimpin PAS yang dahulu membakar semangat ahli-ahli parti untuk membenci.
"Hari ini mereka sematkan di dada masing-masing lambang tersebut kononnya atas semangat penyatuan namun ia tidak lebih daripada hipokrasi politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sesi bergambar pemimpin PAS dan Umno yang duduk bersama memakai baju-T putih dengan bendera kedua-dua parti sambil melemparkan senyuman.
Ia merupakan sesi bergambar dirakam pada ketika sidang media mengenai Himpunan Penyatuan Ummah peringkat Kedah pada 4 Sep lalu.
Ia diadakan menjelang termeterainya piagam yang menjadikan kerjasama Umno dan PAS berlangsung secara rasmi di PWTC, Kuala Lumpur pada 14 Sept ini.
Antara pemimpin utama yang dilihat dalam gambar tersebut ialah Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa; Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Mahfuz yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia menggambarkan Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai di antara Pas dengan Umno nanti bukannya demi penyatuan ummah.
Katanya hal itu dapat dilihat melalui ceramah kedua-dua parti sebelum ini yang sering menyebut tentang hasrat untuk memenangi pilihan raya akan datang menerusi kerjasama tersebut.
“Jadi, saya ucapkan terima kasih dan tahniahlah kepada mereka, sebab mereka beritahu tentang hipokrasi politik mereka kepada umum.
"Jadi orang ramai tak payah fikir banyak-banyak.
“Tahniah juga saya ucapkan kerana dapat terima parti kleptokrat dan pemimpin kleptokrat untuk bersama berganding bahu, berpimpin tangan dalam politik negara.
“Selamat pengantin baru didoakan moga berbahagia hingga ke anak cucu,” katanya secara sinis.
sumber...mKini
Monday, July 15, 2019
Audit: Rumah Mampu Milik Kelantan Tak Capai Objektif
Jabatan Audit Negara menegur tiga agensi kerajaan di Kelantan membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang menguruskan Program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan (Pengurusan Skim Bantuan Am Al-Musa'adah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sawit Sdn Bhd).
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 mendapati secara keseluruhan mendapati RMMK tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana sasaran bagi menyedia dan menawarkan 5,000 unit RMMK dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak tercapai.
"Didapati prestasi program dari segi pencapaian output fizikal dan pencapaian 'outcome' hanya 160 unit (3.2 peratus) RMMK yang dapat disedia dan ditawarkan," menurut laporan itu.
Justeru, laporan itu mengemukakan beberapa syor antaranya kuota RMMK bagi projek swasta perlu dilaksanakan bagi membantu mencapai sasaran 'output' dan 'outcome' program dan penilaian semula tahap keberkesanan dan sasaran RMMK perlu dilakukan bagi memastikan objektif program dapat dicapai.
"Selain itu, pengurusan program RMMK perlu dilaksanakan dengan cekap di mana peruntukan kewangan untuk RMMK digunakan secara optimum bagi memastikan lebih banyak RMMK dapat dibina, pelaksanaan kuota dan levi perlu diberi pendedahan kepada agensi pelaksana dan syarat moratorium perlu dilaksanakan sebagaimana dasar," menurut laporan itu.
Sementara itu, laporan itu turut menegur Pengurusan Skim Bantuan (SBA) Am Al-Musa'adah belum mencapai tahap kecekapan yang optimum kerana berlaku kelewatan penamatan bayaran kepada penerima bantuan yang telah meninggal dunia walaupun prestasi SBA Al-Musa’adah telah mencapai objektif ditetapkan untuk membantu individu yang tidak berkemampuan mendapatkan keperluan asas mereka.
Laporan itu menyebut JKM Kelantan mengagihkan bantuan kepada penerima bantuan masing-masing seramai 7,529 orang pada 2016, 7,641 orang (2017) dan 7,911 orang (2018). Bantuan yang diagihkan ini telah mencapai 82.2 peratus hingga 101.7 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.
Bagaimanapun penemuan utama Audit yang perlu diberikan perhatian oleh JKM Kelantan adalah 167 (45.6 peratus) kes bayaran SBA Al-Musa’adah lewat diberhentikan antara satu hingga tujuh bulan dari tarikh kematian menyebabkan berlakunya lebihan bayaran berjumlah RM26,640.
"Selain itu, semakan turut menemui 50 penerima bantuan yang ditukar skim, 22 penerima bantuan (44.0 peratus) telah diberi kelulusan skim baharu dan bayaran dibuat sebaik sahaja SBA Al-Musa’adah ditamatkan. Bagaimanapun, 12 penerima bantuan (24.0 peratus) tidak diberikan kelulusan skim baharu secara serentak selepas SBA Al-Musa’adah ditamatkan.
"Sementara itu, 16 penerima bantuan (32.0 peratus) masih belum diberi bantuan skim baharu walaupun telah ditamatkan bantuan menyebabkan 28 penerima bantuan (56.0 peratus) tidak mendapat sebarang bantuan dalam tempoh satu bulan hingga 35 bulan," menurut laporan itu.
Antara syor bagi penambahbaikan yang dikemukakan ialah kerjasama antara jabatan dan agensi perlu ditingkatkan dalam menyediakan program atau suntikan modal untuk membantu penerima bantuan.
"Bagi penerima bantuan SBA Al-Musa’adah yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk berdikari, program atau suntikan modal hendaklah diperuntukkan bagi membantu penerima bantuan meningkatkan sumber pendapatan dan seterusnya mampu berdikari," menurut laporan itu.
Dalam perkembangan sama, laporan menegur amalan tadbir urus PMBK Sawit Sdn Bhd (PMBKSSB) yang kurang memuaskan kerana terdapat keperluan penambahbaikan berkaitan peranan dan fungsi Lembaga Pengarah, Setiausaha Syarikat, Pengurus Besar, Jawatankuasa Audit dan Audit Dalaman, pelaksanaan Rancangan Korporat/Pelan Strategik, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Selain itu, kedudukan kewangan PMBKSSB adalah lemah. PMBKSSB mengalami kerugian berterusan sejak 2012 dan kerugian bersih sejumlah RM5.66 juta pada 2015, RM3.24 juta (2016) dan RM5.52 juta (2017) dan sehingga 31 Dis 2017, kerugian terkumpul syarikat berjumlah RM21.30 juta.
"Tahap kecairan aset semasa berbanding liabiliti semasa pada kadar 0.04:1 menunjukkan syarikat tidak berupaya menampung obligasi jangka pendek menggunakan sumber dalaman. Pada akhir 2017, baki tunai dan kesetaraan tunai PMBKSSB adalah defisit berjumlah RM1.45 juta. Analisis yang dijalankan juga menunjukkan wujudnya risiko 'going concern'," menurut laporan itu.
Justeru, laporan mengesyorkan PMBKSSB meningkatkan tadbir urus syarikat selaras dengan amalan terbaik dengan menentukan aspek peranan dan tanggungjawab Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Audit bermesyuarat mengikut keperluan dan SOP yang disediakan mendapat kelulusan.
"Ini termasuk memastikan keputusan Lembaga Pengarah dipantau dan diletakkan tempoh pelaksanaan supaya ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, menilai semula kedudukan syarikat dan membuat keputusan berhubung hala tuju syarikat dengan mengambil kira keupayaan menjana keuntungan pada masa hadapan kerana wujudnya risiko 'going concern'," menurut laporan itu.
sumber...Bernama
Label:
Kelantan,
laporan audit
Friday, July 12, 2019
Naratif Baru Politik Malaysia
Pandangan supaya semua parti politik Melayu bergabung dan
menyertai Bersatu yang dilontarkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad
perlu dilihat secara serius.
Namun, adakah ia bermakna Malaysia akan kembali kepada wacana hegemoni politik etnik Melayu yang dijuarai oleh Umno? Saya tidak fikir begitu.
Pertama, kejayaan PKR - kini parti terbesar di parlimen - sebagai sebuah parti pelbagai kaum membuktikan adanya aliran politik inklusif yang kuat dalam kalangan orang Melayu.
Kedua, hegemoni etnik akan membawa politik Malaysia mundur dan bertentangan dengan arus nasional setelah 9 Mei 2018.
Namun begitu, politik identiti dan naratif politik etnik tidak akan hilang. Setiap kaum punya kebimbangan tersendiri dan memerlukan juara dan jurucakapnya.
Justeru, parti-parti besar adalah berteraskan etnik tertentu meskipun ada yang mengungkapkan dasar pelbagai kaum. Satu-satunya pengecualian adalah PKR, sebuah parti politik yang ditubuhkan sebagai parti berbilang kaum dan mempunyai struktur dan tapak sokongan akar umbi pelbagai kaum.
Punya kedudukan kuat
Sebagai seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia, saya dapat menyelami psikologi dalam benak masyarakat Melayu berpendidikan dan profesional tentang kepimpinan nasional.
Mereka yang memahami sejarah Malaysia sebelum merdeka dapat menghargai peranan institusi raja-raja Melayu sebagai pengasas kerajaan dan pemerintahan sebelum kedatangan penjajah Barat.
Setelah dijajah masyarakat Melayu memainkan peranan utama dalam gerakan nasionalisme sehingga tercapainya kemerdekaan.
Faktor utama dalam politik adalah demografi. Parti politik yang ingin melawan aspek demografi ibarat sampan yang cuba melawan arus deras.
Dari segi demografi, politik mempunyai kedudukan yang kuat. Tetapi potensi kekuatan tersebut dihakis oleh perpecahan. Pada pandangan saya di sinilah letaknya asas gagasan perpaduan politik Melayu yang dilontar oleh Mahathir yang juga pengerusi PH.
Beliau bukan sekadar pemimpin Malaysia tetapi seorang grand strategist. Ini dapat kita saksikan menerusi pendirian beliau dalam isu perang perdagangan, persaingan teknologi dan kemunculan kuasa-kuasa besar baru: China, Rusia dan India.
Untuk Malaysia berperanan dalam perang dingin baru dan penjajaran semula kuasa-kuasa besar, politik dalaman perlu stabil.
Untuk mengemudi politik dalam negara, Mahathir adalah seorang realist. Demi kestabilan, PH perlu berpijak kepada realiti demografi dalam negara. Justeru, pemimpin PH bukan Melayu dan penyokong-penyokong PH tidak perlu bimbang terhadap seruan perdana menteri.
Dasar pertama sosioekonomi yang dikemukakan dalam tempoh empat bulan pertama pemerintahan PH - iaitu Kajian Separuh Penggal RMK-11 - bersifat sangat progresif.
Dokumen tersebut bukan saja mengandungi inisiatif reformasi institusi, malah melibatkan komitmen terhadap keadilan sosial yang merangkumi pembenterasan peminggiran dan jurang ekonomi antara kelas sosial dan wilayah.
Abaikan kaum minoriti
Meskipun media kini lebih banyak memberikan sensasi tentang kerjasama Umno-PAS, hubungan tersebut sebenarnya tercabut dari realiti Malaysia. Masyarakat Malaysia bukan sahaja majmuk dan bersifat sederhana, bahkan juga propembangunan dan kemajuan.
Rakyat Malaysia bukan sekadar mahukan ekonomi terus tumbuh dengan dinamik, mereka juga mahukan ekonomi yang adil dan kekayaan dibahagi dengan saksama kepada semua kaum dan kelas.
Sebaliknya gabungan Umno-PAS bersifat eksklusif satu untuk kumpulan etnik. Ramai kalangan rakyat bukan Melayu melihat kerjasama tersebut mengabaikan terus kaum minoriti.
Ramai juga yang menganggap sudah tiada apa yang Melayu dapat harapkan lagi daripada Umno yang bergelumang dengan skandal rasuah 1MDB dan salah guna kuasa.
Besar kemungkinan ramai pimpinan parti itu - jika didapati bersalah nanti - akan merengkok dalam penjara tidak lama lagi.
Ada juga sekumpulan besar orang Melayu tertanya-tanya: apa yang dapat diharapkan daripada PAS? Negeri yang diperintah parti itu terus mundur dan rakyatnya terpaksa ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.
Pada Umno pula, rakyat hanya menyaksikan gelagat sebuah parti politik yang dahulunya kuat - tapi sombong - kini menagih pertolongan daripada parti yang pernah mereka musuhi dan keji siang malam.
Kemenangan Umno dalam dalam tiga pilihan raya kecil berturut-turut tidak bermakna pengundi pengundi Melayu akan kembali kepada Umno. Lagi pun ianya bukanlah kayu pengukur yang baik dan tepat untuk menentukan sokongan orang Melayu kepada kerjasama Umno-PAS.
Ianya hanya sekadar peringatan orang Melayu kepada pemimpin Melayu dalam PH supaya jangan lupa dari mana mereka datang dan jangan abaikan tanggungjawab mereka.
Pada masyarakat minoriti pula, mereka hanya mahukan suasana politik yang stabil dan sistem ekonomi yang adil dengan mereka turut mendapat peluang untuk turut serta dalam usaha untuk memajukan negara.
Mereka tidak mahu kesetiaan mereka kepada negara ini dipersoalkan. Meskipun berbangsa India, Cina atau etnik-etnik lain, mereka akan tetap berbangga memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, sebuah negara demokrasi dan bukan kleptokrasi.
oleh: Dr R Santhara Kumar MP Segamat
Label:
anwar ibrahim,
Pakatan Harapan,
Tun M
Monday, July 1, 2019
Tuan Ibrahim Guna Hadis Palsu Tolak Isytihar Harta?
Pada asasnya Islam amat menekankan isu integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam berpolitik. Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi Muhammad SAW ialah al-amin.
Zaman kini, ia disebut integriti.
Tidak bersedia mengisytihar harta adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti yang sepatutnya. Apabila bercanggah dengan integriti, sudah pasti ia tidak selaras dengan sifat al-amin bagi nabi.
Dengan sebab itu, tidak wajar bagi mana-mana anggota parlimen yang beragama Islam menolak amalan mengisytiharkan harta.
Lebih-lebih lagi, amalan isytihar harta itu dapat mengelak daripada sebarang amalan rasuah membabitkan pihak yang berurusan dengan politik secara langsung.
Ia sudah pasti selaras dengan kaedah fikah yang berbunyi: "Tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara itu, maka melakukan perkara itu adalah wajib".
Dalam kata lain, jika tidak sempurna proses melawan rasuah kecuali dengan melakukan amalan isytihar harta, maka isytihar harta juga boleh dianggap sebagai wajib juga.
Ada perawi ditolak
Hal itu kerana, dengan pengisytiharan harta ia akan membantu lagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang diragui akan hartannya.
Amalan sebegitu sebenarnya sudah berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, iaitu ketika beliau melantik Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain.
Dengan sebab itu, dakwaan bahawa Islam melarang isytihar harta itu adalah satu fitnah jahat dilakukan terhadap agama Islam yang mementingkan integriti.
Pun begitu, dalam laporan berita dinyatakan bahawa Timbalan Presiden PAS ada berkata: "Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki."
Sebenarnya, hadis yang dinukilkan oleh Tuan Ibrahim itu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi.
Ia dianggap daif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti, manakala Imam Ibn Abi Hatim menganggapnya sebagai mungkar.
Ia kerana dalam sanad hadis itu ada seorang perawi - Sa'id bin Salam al-Attar - yang ditolak. Dia juga ditolak oleh ramai ilmuan hadis, malah Imam Ahmad bin Hanbal menganggap dia sebagai pendusta.
Dari sudut sanad juga dicatatkan bahawa, perawi hadis daripada Muaz bin Jabal yang beliau diambil daripada Khalid bin Ma'dan.
Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa Khalid tidak pernah mendengar hadis itu daripada Muaz. Apabila tidak mendengar, lebih mengukuhkan lagi dakwaan bahawa hadis berkenaan adalah palsu.
Dari sudut matan pula, dikatakan bahawa tidak boleh diberitahu kepada orang berkenaan nikmat yang kita dapat. Ini sudah pasti bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyatakan: "Adapun dengan nikmat Tuhan kamu, hendaklah kamu ceritakan" (Surah al-Dhuha 93:11).
Dengan ini jelas bahawa 'fatwa' timbalan presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam, ia boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam.
Ia akan menyebabkan Islam seakan-akan agama yang tidak cenderung kepada integriti.
Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS sama sekali tidak mewakili ajaran Islam.
Sekian, wallahu 'alam.
Oleh: Wan Ji Wan Hussin
Label:
dewan rakyat,
Pas,
tuan ibrahim tuan man
Saturday, June 15, 2019
Video Lucah: Polis Tahan Lokman Adam
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan, semasa siasatan dijalankan pihak polis telah mengarahkan Lokman menyerahkan telefon bimbitnya untuk diperiksa, namun beliau enggan memberikan kerjasama.
"Dia telah menjerit memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugasnya," katanya.Tambahnya, seorang lagi yang turut ditahan bersama Lokman ialah bekas Ahli Parlimen Padang Serai yang juga ahli MIC, N. Gobalakrishnan.
Fadzil berkata, Gobalakrishnan ditahan atas sebab menghalang tugas polis, mengherdik serta melakukan beberapa provokasi lain.
"Kedua-dua mereka telah ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata kata kesat," tambahnya.
Jelas Fadzil, Lokman dan Gobalakrishnan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Lokman, pada Selasa lalu telah membuat laporan polis di IPD Kajang berhubung klip video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii mirip seorang Menteri Kabinet.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat turut membuat satu laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan bahawa menteri Kabinet berkenaan telah menerima sejumlah AS$741,440 (RM3.08 juta) daripada satu konglomerat pada Disember 2017.
sumber... Astro Awani
Label:
lokman adam,
Polis,
video lucah
Friday, May 31, 2019
Waris Dato' Bentara Luar Tuntut RM300 Bilion dari Kerajaan Johor
Waris keturunan Mohammed Salleh Perang menuntut tanah di
Bukit Chagar yang terletak di bawah nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tambahnya, ada banyak lagi tanah di seluruh Johor diberikan kepada Mohammed Salleh sebagai tanda penghargaan atas khidmatnya sebagai Datuk Bentara Luar dan ketua jabatan tanah dan ukur di negeri itu.
Zaini, dalam pertemuannya dengan Malaysiakini baru-baru ini, berkata dia menyerahkan satu salinan geran dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor sebagai bukti pemilikan keluarga Mohammed Salleh ke atas Lot 204 di Bukit Chagar - yang merangkumi tanah yang dipertikaikan.
Geran tersebut dilihat ditulis dalam bahasa jawi lama. Antara terjemahannya ialah seperti berikut:
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor yang dikurniakan Allah bagi kerajaan di atas tanah Johor serta segala jajahan daerah takluknya mudah-mudahan dilanjutkan Allah esanya serta bertambah-tambah daulatnya dan memperolehkan kemenangan dunia akhirat amin.
“Ketahui olehmu dengan fikiran yang sempurna kita dan keturunan waris-waris ganti kita dengan sebenarnya mengurniakan kepada Mohd Salleh bin Perang, Dato Bentara Johor.
“Hingga menurun kepada waris-waris gantinya mempunyai sekeping tanah yang ada di dalam daerah bandar Johor selama-lamanya.”
Mengikut pemerhatian Malaysiakini, geran itu ditulis pada 11 Rabiul Awal 1333 Hijrah bersamaan bertarikh 27 Jan 1915.
"Jadi bagaimana pihak sultan Johor kata tanah itu dia punya, kerajaan pusat pula kata dia punya sedangkan dalam geran tanah itu Mohamed Salleh bin Perang punya," katanya.
Kata Zaini, geran itu menjadi bukti bahawa tanah yang dituntut mereka memang menjadi milik Datuk Bentara Luar Johor.
“Jadi bagaimanakah pihak Sultan Johor mengatakan bahawa tanah itu adalah milik mereka? Pemberian itu mengatakan bahawa ia adalah milik Mohamad Salleh Perang,” katanya.
Mengapa Bukit Chagar penting?
Tanah yang beralamat di Lot 204 itu meliputi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor serta lot PTB 23354.
Lot PTB 23354 ialah laluan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang seharusnya dimiliki oleh Putrajaya selepas perjanjian pertukaran tanah bersama Johor pada 2010 lalu.
Bagaimanapun, ia telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 November 2017, iaitu dua hari selepas baginda bersetuju untuk menyusun semula projek RTS.
Sultan Ibrahim menjelaskan beliau tidak menyedari tanah itu diperuntukkan untuk projek RTS.
Sejak itu, baginda berjanji akan mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan dengan syarat projek tersebut dibina dengan segera.
Tidak dapat dipastikan sama ada Putrajaya bersetuju dengan penyelesaian itu kerana projek RTS yang dimaksudnya ditangguh selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan meneroka pilihan lain.
Pampasan RM 300 billion.
Sementara itu, Zaini berkata waris Mohamed Salleh - yang dianggarkan seramai 4,000 orang - menjelaskan mereka tidak berminat untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan.
Sebaliknya, kata Zaini, mereka mahu supaya diberikan pampasan dalam bentuk kewangan.
Zaini juga mendakwa Lot 204 serta lot-lot lain lain di sekitar Bukit Chagar kini bernilai kira-kira RM3 bilion.
Kadar itu adalah sebahagian daripada pampasan sebanyak RM300 bilion yang dituntut keluarga Mohamed Salleh daripada kerajaan Johor untuk tanah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Gunung Pulai, Sungai Tiram dan Iskandar Puteri.
Tambah Zaini lagi, bekas menteri besar Johor, Osman Sapian, sebelum ini berkata beliau akan meneliti tuntutan keluarga itu terbabit.
Namun begitu, Zaini menjelaskan, bahawa pihaknya belum berjaya mengadakan pertemuan bersama menteri besar baru, Dr Sahruddin Jamal.
Pada 2017 yang lalu, keluarga terbabit memulakan tuntutan ke atas tanah tersebut di mahkamah.
Bagaimanapun mereka berdepan beberapa halangan dalam kes mahkamah itu. Antaranya terdapat dokumen yang menyatakan Mohamed Salleh menyerahkan semula Lot 204 berkenaan kepada istana Johor.
Dokumen itu bertarikh April 1915, iaitu tiga bulan selepas Mohamed Salleh mendapat tanah terbabit.
Zaini bagaimanapun mendakwa dokumen itu dipalsukan kerana tandatangan Mohammed Salleh serta saksi dilihat tidak sepadan dengan dokumen asli lain yang dimilikinya.
Atas alasan tersebut, Zaini melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang berkenaan.
Keluarga itu juga berdepan masalah melantik seorang pentadbir berikutan pertikaian pada sijil kematian birokrat tersebut yang melibatkan umur Datuk Bentara Luar berkenaan.
Pada sijil kematian berkenaan, katanya, Mohammed Salleh didakwa berusia 67 tahun semasa menghembus nafas terakhirnya pada 2 Julai 1915.
Sepupu Zaini, Diah Khalid, menjelaskan jika mengikut umur yang dinyatakan pada sijil kematian berkenaan, bermakna Mohamed Salleh berusia 11 tahun semasa dia mendapat anak pertama pada 1859.
“Ini tidak masuk akal,” katanya.
Keluarga itu juga memaklumkan bahawa mereka menyaman Jabatan Pendaftaran Negara untuk mencabar kesahihan sijil kematian tersebut.
Malaysiakini sudah menghubungi pihak PTG Johor, pejabat menteri besar dan sekreteriat Johor untuk mendapatkan kenyataan mereka namun setakat ini tidak mendapat apa-apa reaksi.
Untuk rekod, Mohamad Salleh adalah tokoh terkenal atas jasanya yang telah membuat peta lengkap pertama Johor serta ditugaskan oleh sultan pertama Johor moden, Sultan Abu Bakar, untuk membangunkan Batu Pahat.
oleh:Ramieza Wahid dan Zikri Kamarulzaman mKini
Label:
johor,
RTS,
sultan johor
Thursday, May 30, 2019
Jaguh Media Sosial Kecut di Dewan Rakyat
Pemimpin pembangkang, Najib Razak bukanlah jenis orang yang berani.
Bekas perdana menteri itu hanya berani "menembak curi" menggunakan akaun media sosial, akan tetapi tidak berani berdepan dengan musuh-musuh politiknya.
Sejak menghancurkan BN yang diasaskan bapanya, Abdul Razak Hussein dengan kekalahan
gabungan itu di tangan Pakatan Harapan pada 9 Mei, 2018, sudah beberapa kali sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Akan tetapi, Najib tidak menggunakan peluang yang ada di Dewan Rakyat untuk menjelaskan pendiriannya. Beliau lebih berani di Facebook, Twitter dan Instagram.
Berbeza dengan ketika Anwar Ibrahim menjadi ketua pembangkang dahulu.
Anwar
akan menggunakan segala ruang yang ada di Dewan Rakyat untuk berdebat
dan mempersoalkan tindakan-tindakan kerajaan pada ketika itu yang
dirasakan tidak baik untuk negara.
Mereka ini juga tidak berani berdebat dengan pemimpin kerajaan di Dewan Rakyat.
Cuba imbas kembali sejarah ketika pemimpin-pemimpin Umno ini berkuasa dahulu. Karektor mereka amat berbeza berbanding sekarang.
Nasib baiklah Umno masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang berani seperti Ismail Sabri, Mahdzir Khalid, Noh Omar dan Bung Mokhtar Radin.
Walaupun hujah-hujah yang dilontarkan tidaklah begitu berkualiti, sekurang-kurangnya ruang demokrasi dihidupkan.
Tidak perlu layan Najib
Lim Kit Siang melakukan kesilapan besar apabila melayan dan bersetuju untuk berdebat dengan Najib.
Beliau sepatutnya lebih memahami ke mana Najib mahu membawa "isu debat" ini.
Debat ini akan menjadi debat antara Melayu-Cina.
Sekiranya terjadi, sudah pasti Najib akan berjaya terus menipu rakyat dan naratif "PH menindas Melayu" ciptaan penulis blog upahannya berjaya.
Nasib baiklah Lim berani untuk menarik diri.
Biarlah dikecam "pencacai-pencacai" Najib, sekurang-kurangnya "semarak api perkauman" dapat dipadamkan.
Untuk mendepani Najib, PH bolehlah menugaskan pemimpin-pemimpin Pemuda untuk menguruskannya.
Ahli-ahli Parlimen muda seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Fahmi Fadzil, Akmal Nasir dan ramai lagi boleh dihantar untuk berdebat dengan Najib, sekiranya pemimpin pembangkang itu benar-benar berani berdebat.
Yang lebih baik, PH tidak perlu membuang masa untuk melayan Najib. Biarlah Najib ketawa sebelum dia melangkah ke "penjara".
Lagipun, Najib ini jenis manusia yang "terkejut" apabila wang masuk ke dalam akaun dia.
oleh: Amin Iskandar
Label:
dewan rakyat,
najib razak,
rasis
Thursday, May 23, 2019
UG: Bukti Perselingkuhan Pas-Umno Benar Berlaku...
Semua penafian termasuk dari Presiden Pas ostat Hadi Awang sebelum ini hanyalah bohong belaka.
Tidak hairanlah budaya bohong dibenarkan dalam Pas.
Inilah contoh terbaik bagaimana politik mempergunakan ugama dan perkauman demi kuasa ,sanggup membohongi ahli partai dan penyokong.
Kenapa sebelum PRU14 semua ini tidak didedahkan ? hinggakan kumpulan Jebon dalam partai Pas disingkirkan secara berjamaah.
Kenapa pemimpin Pas termasuk Presiden tidak berani mengakui hubungan sulit dan perselingkuhan dalam gelap bersama umno sebelum PRU14 ?.Jawabnya jika kes ini didedahkan sebelum pilihanraya umum Pas akan kehilangan hampir 80% kerusi yang ada ketika itu.
Kini semuanya sudah terang dan jelas namun persoalan menarik seperti kata kata almarhum Tok Guru Nik Aziz ,kenapa ketika umno sedang karam Pas kena pergi tolong?
Umno,Pas wujudkan piagam lepas raya - mKini
Kerjasama Umno dan PAS bakal diperkukuhkan lagi dengan bentuk yang lebih rasmi selepas mementerai satu piagam kerjasama, tidak lama lagi.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa yang menjangkakan piagam tersebut akan terlaksana selepas hari raya Aidil Fitri nanti.
Menurut beliau, pembentukan piagam tersebut kini dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti.
"Selepas hari raya ini dijangkakan Umno dan PAS akan mementerai piagam bersama yang sekarang ini sedang dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi Umno dan PAS.
"Sekarang taawun, kita kena secara berperingkat-peringkat. Mula-mula kerjasama tak bertulis, kemudian datang tiga empat pilihan raya kita nampak (kerjasama) berjalan dengan baik.
"Jadi sekarang pimpinan Umno dan PAS merasakan elok dibuat secara lebih rasmi. Jadi presiden kedua-dua parti minta ditubuhkan jawatankuasa induk untuk bekerjasama dan membentuk jawatankuasa teknikal yang diusetia oleh saya dan setiausaha agung PAS telah buat pengesyoran draf satu bentuk piagam bersama," katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pemuda dan Puteri Cakna Asnaf peringkat parlimen Ketereh di Kota Bharu, hari ini.
Sebagai rekod, Umno dan PAS mejalinkan kerjasama (taawun) secara terbuka khususnya dalam menghadapi pilihan raya kecil selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.
Malah, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini turut memberi gambaran bahawa kedua-dua parti itu kemungkinan akan bergabung bagi mengahapi PRU15.
Sementara itu Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, draf piagam bersama itu kini sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing untuk tindakan selanjutnya.
"Dengan adanya kerangka taawun secara bertulis ini ia (kerjasama) akan jadi lebih teratur, bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan bahagian.
"Dalam dokumen itu, yang agak panjang bersama satu piagam. Ini untuk memberi gambaran bahawa Umno dan PAS serius.
"Tetapi itu hanya permulaan iaitu bermula dengan Umno dan PAS (bekerjasama) untuk mengembalikan solidariti politik orang Melayu dan Islam.
"Tetapi ia tidak boleh terhenti di situ kerana politik kita adalah politik majmuk, ini satu muafakat nasional besar yang diperlukan, cuma dimulakan oleh Umno dan PAS," katanya.
Tambah beliau, pada peringkat seterusnya kerjasama sama dengan pihak-pihak lain juga akan diperkukuhkan masa ada melibatkan parti boleh atau badan bukan kerajaan (NGO)
"Kita mahu membentuk satu kerangka yang besar yang benar-benar boleh menyelamatkan negara, ini penting kerana kegagalan PH tidak boleh dibiarkan rakyat yang menanggung, jadi kita kena ambil tanggungjawab," kata Annuar.
sumber...N Faizal Ghazali mKini
Tuesday, May 21, 2019
Apa Kaitan Bakar Kereta Doktor Hatta dan Doktor Asri ?
Peristiwa pertama berlaku kepada doktor Hatta Ramli yang digelar geng Jebon dan Anwarinas dalam Pas,kereta beliau dibakar diluar rumahnya ketika menjelang Muktamar Pas untuk pemilihan jawatan penting dalam partai tersebut.
Kejadian sama juga berlaku kepada doktor Asri selaku Mufti Perlis,kereta rasmi beliau juga dibakar diluar kediaman beliau.
Semacam ada sesuatu yang tidak kena dalam kedua dua kejadian tersebut.Adakah kerana ketaksuban kepada pemimpin dan partai atau kerana apa?.Benarkah dakwaan budaya Taliban dan DAESH/ISIS telah mempengaruhi Pas ?
Tangkapan suspek yang juga ahli Jabatan Amal Malaysia Pas itu biarlah pihak Polis membuat penyiasatan.
Lalu sekarang benarkah islam dibawah PH terancam atau siapa yang sebenarnya terancam. Mungkinkah ini juga antara agenda deep state.
Suspek Bakar Kereta Mufti Perlis Diberkas
Suspek yang membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya pada 22 Mac lalu berjaya diberkas awal pagi semalam di Jelempok, Arau.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata susulan itu suspek lelaki yang juga penganggur berusia 36 tahun direman empat hari sehingga Selasa ini bermula semalam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian bakar berkenaan.
“Tangkapan dilakukan pada jam 2.45 pagi semalam dan lelaki itu yang juga duda mengaku terbabit dalam membakar kereta Mohd Asri kerana bermotifkan dendam berhubung pemecatan imam di negeri ini beberapa bulan lalu.
“Malah dia juga memberitahu terdapat seorang lagi suspek yang membantunya membakar kereta Mohd Asri dan mereka menerima upah sebanyak RM500 daripada seorang lelaki bernama Zaini.
“Jadi polis kini sedang memburu rakan lelaki yang digelar sebagai Mie Tomoi dan Zaini bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mushar berkata, dua lagi suspek masih belum dikenal pasti pihaknya namun dia percaya dengan penangkapan suspek semalam bakal merungkai identiti mereka yang dipercayai menjadi dalang utama kes berkenaan.
“Kita percaya suspek bersama rakannya yang digelar Mie Tomoi hanya menerima upah daripada Zaini dan dua lagi suspek lelaki bagi membakar kereta Mohd Asri.
“Malah hasil pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan dadah dan jenayah lain,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.
Dalam kejadian yang berlaku pada 22 Mac lalu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak tertentu.
Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk bersolat Subuh kira-kira jam 6.05 pagi pada hari kejadian itu berlaku.
sumber...
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Label:
kes khianat,
Pas,
Polis,
siasatan jenayah
Thursday, May 16, 2019
Fahaman Komunis Mula Meresap Dalam Pas ?
Konon DAP mewarisi partai komunis malaya tetapi ruang demokrasi dalam DAP semakin baik,kenapa partai yang konon memperjuangkan islam semakin menyempitkan ruang demokrasi dalam partai sendiri ?
Sedikit demi sedikit kamu akan mengikuti jejak langkah mereka...kerana kamu telah gugur dari medan dakwah.(langkah zionist yahudi dan musuh islam yang lain).itulah kata kata almarhum al Alamah Hassan al Banna kepada puak Assobiah perkauman dan Assobiah ugama.
PAS hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap semua ahlinya daripada membawa, membincang dan membahasakan sebarang isu membabitkan urusan parti di media mahupun media sosial.Bermakna ruang demokrasi dalam partai itu telah dinafikan untuk ahli ahli mereka.Inilah unsur fahaman Komunis yang jelas mula meresap dalam Pas.Bolehkan ahli partai Pas terus membiarkan unsur unsur yang datang bukan dari islam itu bermaharaja lela dalam partai ?.
Kartel Dedak: Menjelaskan pemimpin Pas ambil duit Umno
Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan mengingatkan ahli parti itu sebarang pandangan, pendapat, cadangan mahupun kritikan mesti disampaikan melalui saluran parti pelbagai peringkat.
Takiyuddin berkata perintah larangan itu adalah berkuatkuasa serta merta.
"Ini merupakan disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara di samping pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi.
"PAS juga mengingatkan ahli-ahli parti bahawa menjadi kesalahan tatatertib sekiranya seseorang ahli melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.
"Adalah juga menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti yang berdasarkan kepada perlembagaan serta aturan dan peraturannya," katanya.
Tambah Takiyuddin, ahli yang mengingkari perintah larangan boleh dihadapkan jawatankuasa tatatertib parti itu.
Ironinya larangan berkenaan dikeluarkan selang beberapa hari selepas menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad membangkitkan isu "kartel dedak" dalam parti itu.
Beliau mendedahkan bahawa lima pemimpin parti itu terbabit dalam penerimaan wang jutaan ringgit daripada Umno.
Bagaimanapun, lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas oleh Zaharudin, sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama pemimpin berkenaan.
Zaharudin mendakwa pendedahannya berhubung isu dedak mendapat restu Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun Abdul Hadi ketika ditemui media semalam, menafikan yang beliau memberi restu kepada menantunya berbuat demikian.
Label:
dedak,
Din Ayam,
kes 90juta,
Pas,
takiyudin hassan
Subscribe to:
Posts (Atom)