Inilah hakikat perubahan minda yang mula berlaku dalam masyarakat Malaysia setelah Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke14.
Fokus untuk kali ini tertumpu sedikit kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan agama.Menteri dari Parti AMANAH ini semakin mencuri tumpuan ramai ,jika suatu waktu dulu isu seperti LGBT tiada pihak yang terlalu fokus kepada masalah berkenaan,biar pun JAKIM telah menangani isu itu sejak sekian lama.
Maka benarlah seperti apa yang pernah diucapkan oleh almarhum Dr Burhanuddin al Helmi berkenaan penyakit bangsa Melayu,inilah
penyakit bangsa kita yang Malas Membaca dan Gagal Paham.
Apa kata penulis Dinsman
Tidak tahu siapakah yang mula menyebutnya. Tahu-tahu orang sudah
ramai menyebut Malaysia baharu. Yang dimaksudkan ialah Malaysia selepas
kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9
Mei, dan tumbangnya kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah
Malaysia selama 61 tahun sejak Merdeka 1957.
Satu hal yang paling ketara dengan Malaysia baharu, mengikut
pemerhatian saya, ialah kerajaan baru Pakatan Harapan di bawah pimpinan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini agak terbuka dan membenarkan
kebebasan bersuara, sehingga kita mendapati kritikan-kritikan
disuarakan terhadap pihak kerajaan begitu berleluasa sekali terutamanya
di media sosial fesbuk.
Fenomena kebebasan bersuara ini adalah satu fenomena baru dalam
sejarah Malaysia, yang jelas merupakan satu perubahan besar hasil
kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 itu.
Apakah kebebasan bersuara yang sedang dizahirkan dan dinikmati oleh
rakyat Malaysia baru ini sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia
keseluruhannya kini, masih terlalu awal untuk kita rumuskan.
Namun apa pun, saya perhatikan ledakan kritikan-kritikan itu seperti
suatu permainan baru yang diberikan kepada anak-anak yang sedang belajar
bermain dengan alat-alat mainan baru, yang mereka pun belum kenal benar
apakah jenis permainan itu dan apakah kesan dari permainan itu kepada
mereka dan kepada masyarakat seluruhnya.
Apakah pihak kerajaan Malaysia baharu pimpinan Perdana Menteri 93
tahun Dr Mahathir sekarang memang bersedia untuk menghadapi pelbagai
kemungkinan cabaran daripada dasar kebebasan bersuara ini? (Sedangkan
waktu dia memerintah 23 tahun dulu hal ini tidak dibenarkannya).
Nampaknya di pihak pimpinan khasnya kabinet Pakatan Harapan mereka
memang bersedia dalam keadaan yang terpaksa menghadapi cabaran-cabaran
kritikan itu.
Keadaan ini seperti menimbulkan satu suasana yang agak bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil.
Malah ada suara yang meminta menteri pendidikan dan menteri agama
meletak jawatan pun, dengan hujah, alasan dan kritikan tertentu.
Dan ada yang meminta menteri kewangan dan menteri pengangkutan juga
berbuat demikian. Dan sebelum itu menteri sumber manusia juga.
Demikianlah rakyat Malaysia baharu yang tiba-tiba sahaja menjadi berani bersuara.
Dan setakat ini keberanian bersuara itu masih berkisar di sekitar
mengkritik pihak kerajaan yang dikatakan tidak mematuhi janji manifesto,
menipu rakyat dan sebagainya.
Belum ada keberanian yang membawa nilai-nilai positif ke arah
pembangunan dan kemajuan yang lebih bermakna. (Setakat yang sempat saya
perhatikan).
Keadaan menjadi bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil itu
berbetulan pula dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri
yang baru dan belum berpengalaman, malah ada yang terlalu muda dan
dikatakan masih berperangai kebudak-budakan pun.
Hanya Tun Mahathir yang banyak dan kaya pengalaman mentadbir negara.
Seorang lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi beliau dalam keadaan
kurang sihat.
Di samping itu ada dua orang yang mempunyai pengalaman mentadbir
kerajaan negeri, iaitu Lim Guan Eng bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan
Azmin Ali bekas Menteri Besar Selangor.
Keadaan kurang berpengalaman dalam mentadbir negara ini bagi saya bukanlah suatukelemahan atau kekurangan.
Saya berpendapat itu adalah satu kebaikan untuk Malaysia baharu; agar
menteri-menteri itu tidak terikat dengan cara dan gaya serta
nilai-nilai pentadbiran lama.
Biarlah kita melakukannya dengan cara dan pendekatan yang baru, berdasarkan nilai-nilai yang baru.
Satu lagi isu yang penting untuk diangkat daripada sekian banyak isu
yang timbul dan ditimbulkan dalam tempoh lima bulan Malaysia baru ialah
sikap dan pemikiran agama dalam kalangan orang Melayu, yang nampaknya
mengalami kejutan akibat daripada beberapa kenyataan dan tindakan yang
dibuat oleh menteri berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Saya sebenarnya suka dengan
beberapa kenyataan dan tindakan Dr
Mujahid yang menimbulkan kejutan itu, yang saya melihatnya sebagai satu
permulaan yang baik dan berani, ke arah sikap dan pemikiran Islam yang
lebih wajar dan sesuai dengan tuntutan al-Quran dan sunnah.
Memang ia mengejutkan dan menimbulkan kontroversi, malah
serangan-serangan terhadap menteri berkenaan, yang didakwa dibuat atas
nama kesucian Islam dan sebagainya.
Itu tidak menghairankan, malah memang dijangka, kerana memang itulah masyarakat Islam di negara kita.
Dan masyarakat Islam di negara kita itu perlukan peningkatan
pemahaman terhadap teks Islam yang sahih, yang akan membawa kepada
perubahan pemikiran dan sikap mereka dalam banyak perkara.
Malaysia
baharu yang sebenarnya tidak akan tercapai selagi sikap dan pemikiran
tertentu di kalangan masyarakat Melayu-Islam kita tidak berubah.
Dalam konteks ini saya melihat Dr Mujahid memerlukan satu pasukan ilmuwan Islam yang berwibawa untuk membantunya.
Ini suatu tugas dan tanggungjawab besar, yang tidak mungkin dilaksanakan oleh seorang menteri dengan timbalannya sahaja.
Beliau memerlukan ramai tenaga untuk membantunya.
Seperti terbukti apabila Dr Mujahid menyentuh sedikit soal LGBT dan
soal mencegah maksiat, pelbagai pandangan dan kritikan telah timbul,
yang sebahagiannya menampakkan kurang kefahaman terhadap teks Islam yang
sahih itu.
Dan di sana sebenarnya ada banyak lagi isu atau perkara yang perlu
diangkat untuk ditingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat
Melayu-Islam kita, secara yang bebas daripada fahaman politik kepartian.
Satu masalah yang menjadikan perkara ini sukar untuk dilakukan ialah
sikap dan pemikiran yang taksub dengan kumpulan atau tokoh/pemimpin
tertentu tanpa memahami sendiri ajaran agama berkenaan.
Ketaksuban ini menolak sebarang hujah dan penerangan. Dan inilah
wajah kebanyakan watak dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam kita.
Memang cabaran yang wujud di sekeliling Dr Mujahid (dan lain-lain menteri Malaysia baru) adalah sukar.
Manakala suasana kebebasan bersuara yang dilahirkan oleh Malaysia
baharu pula menggalakkan semua orang mengeluarkan pendapat dan kritikan,
tanpa perlu memikirkan kewajaran dan kesahihannya terlebih dahulu.
Inilah wajah Malaysia baharu yang masih samar-samar.
oleh...Dinsman