Followers

Monday, November 14, 2011

Bil Air Kedah: SADA diminta lebih prihatin

Oleh Rahmat Othman

SIK: Kira-kira 60 penduduk daripada 10 keluarga miskin di Kampung Sungai Semiar, di sini terpaksa menggunakan air kolam ikan dan tali air untuk kegunaan harian sejak minggu lalu apabila air paip yang disalurkan ke rumah mereka dipotong kerana gagal melunaskan tunggakan sejak lebih dua tahun lalu.

Penghuni rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu mendakwa, tidak mampu melunaskan tunggakan antara RM200 dan RM1,160 kerana kos sara hidup semakin meningkat, manakala pendapatan pula tidak seberapa.
Difahamkan penduduk sudah berbincang dengan pegawai Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd (SADA) untuk membayar secara ansuran tetapi mereka diarah syarikat itu membuat ansuran sebanyak satu pertiga daripada tunggakan itu yang dianggap tinggi oleh penduduk.
Bekalan air paip itu dipotong Selasa lalu selepas notis tunggakan dihantar oleh petugas SADA pada 11 Oktober lalu.

Penduduk, Abdul Khalid Abd Rani, berkata bil air di rumahnya tertunggak sebanyak RM466.40 apabila dia tidak mampu menjelaskan bil berkenaan sejak dua tahun lalu.

Katanya, walaupun bil air tidak sampai RM30 sebulan, dia tidak mampu menjelaskannya kerana pendapatan hasil menoreh getah hanya kira-kira RM650 sebulan dan terpaksa menanggung lima anak serta isteri menyebabkan ia tertunggak.

“Saya hanya mampu membayar tunggakan itu antara RM30 dan RM40 sebulan, tetapi SADA meminta saya menjelaskan tunggakan secara ansuran sekurang-kurangnya RM100 sebulan dan jumlah itu bagi saya amat besar. Ia menyebabkan bekalan air dipotong syarikat itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Noryana Ibrahim, berkata, dia tidak mampu melunaskan tunggakan bil air rumahnya yang kini mencecah RM1,157 kerana sering kesempitan kewangan.

“Pada Februari lalu saya membayar tunggakan itu sebanyak RM700 tetapi baru-baru ini bekalan air dipotong dan kami berharap SADA lebih prihatin dalam membantu penduduk miskin seperti kami,” katanya yang memperoleh pendapatan RM700 sebulan hasil menoreh getah.

Noryana dan suami yang menanggung lima anak, termasuk empat yang masih bersekolah berkata, dia berharap SADA dapat menerima permohonan mereka membuat bayaran ansuran mengikut kemampuan bagi melangsaikan tunggakan itu supaya bekalan air dapat disambung semula demi keselesaan mereka.

Ketua kampung berkenaan, Ismail Osman berkata, pihaknya berharap SADA dapat menerima rayuan penduduk supaya dibenarkan membuat bayaran ansuran mengikut kemampuan memandangkan mereka adalah penduduk miskin.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam SADA, Rofedi Sulaiman ketika dihubungi berkata, penduduk sepatutnya berjumpa pegawai SADA di Sik sebaik menerima notis pemotongan supaya masalah itu dapat dibincangkan.

“Jika pengguna terbabit berjumpa dengan pegawai SADA, masalah itu boleh dibincangkan dan diberi sedikit kelonggaran,” katanya.