(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 16 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu meletak jawatan dalam isu skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) milik keluarga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil
Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ini kerana Muhyiddin menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek itu ketika memegang jawatan menteri pertanian.
“Adakah keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil akan dapat projek itu jika bukan kerana Shahrizat merupakan pemimpin Umno,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa Shahrizat tidak perlu meletak jawatan sebaliknya syarikat yang diterajui anggota keluarga Ketua Wanita Umno itu perlu tampil memberi penjelasan berhubung penyelwengan NFC.
Pakatan Rakyat sebelum ini mendesak supaya Shahrizat meletakkan jawatan atau berundur sehingga siasatan ke atasnya selesai.
Abdullah Sani berkata, pembaziran wang rakyat dalam pentadbiran Umno berlaku kerana mereka tidak menganggap menguruskan wang rakyat sebagai satu amanah yang besar.
“Perkara penting di sini ialah prinsip tata kelola dalam pentadbiran Umno gagal kerana saban tahun ada sahaja wang rakyat dibazir begitu sahaja,’” tegasnya.
Sebelum ini KEADILAN mendedahkan bahawa NFC milik keluarga Shahrizat mendapat dana RM250 juta dari kementerian pertanian yang ketika itu diterajui Muhyiddin.
Dana untuk projek ternakan lembu itu dilulus melalui pinjaman mudah namun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
Malah RM9.8 juta dana dari projek itu disalur pula untuk membeli kondominium mewah di Bangsar dengan pembayaran dibuat dalam masa satu hari sahaja .
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23058