PENUNJUK perasaan Mesir cuba melontar bekas gas pemedih mata ke arah anggota keselamatan ketika perusuh lain cuba mengelak menghidunya dalam pertempuran hari ke-3 di Dataran Tahrir, Kaherah.
KAHERAH: Angka korban pertempuran antara penunjuk perasaan anti pemerintahan tentera dengan anggota keselamatan Mesir sejak tiga hari lalu meningkat kepada 24 orang semalam, perkembangan yang mengancam pilihanraya Parlimen seminggu lagi.
Tentera mendakwa, keganasan terbaru tidak akan menyebabkan pilihan raya ditangguhkan tetapi ia pasti menjejaskan kesahihannya.
Ada pihak tertentu termasuk golongan konservatif menjangka mereka akan mendapat sokongan kuat dalam pengundian 29 November depan dan menuduh pihak tentera sengaja membiarkan keadaan tidak tenteram untuk terus memerintah.
Selain itu, buat kali pertama sejak revolusi menggulingkan Hosni Mubarak, polis Mesir berpakaian seragam hitam. Unit keselamatan seragam itu adalah unit penindasan paling dibenci ketika pemerintahan Mubarak.
Penunjuk perasaan berkata, mereka melihat tiada beza antara jeneral dan presiden yang dijatuhkan.
Seorang penunjuk perasaan menyifatkan keganasan dilakukan kerajaan tentera sama seperti rejim lama.
“Kami cuma mempunyai satu tuntutan: tentera mesti meletak jawatan dan diganti dengan majlis awam. Keganasan menunjukkan Mubarak masih berkuasa,” kata Ahmed Hani.
Selama protes baru meletus, polis berdepan dengan bilangan penunjuk perasaan yang semakin ramai di tengah Kaherah, melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah orang ramai di Dataran Tahrir, pusat revolusi yang menjatuhkan Mubarak.
Penunjuk perasaan membalas dengan balingan batu dan bom petrol dan menjelang tengah hari kelmarin dataran itu kembali dikuasai mereka.
sumber... Agensi/AFP