Followers

Monday, November 21, 2011

Murtad: 'HIMPUN' Tunjuk Takut Pula

Himpun tolak gesaan Asri Jais dedah nama umat Islam murtad

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Himpunan Sejuta Umat (Himpun) tidak bersetuju dengan gesaan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar nama pihak yang keluar Islam didedahkan kepada umum jika pemurtadan benar-benar berlaku di negeri itu.

Himpun memulakan kempen antimurtad di Stadium Shah Alam, Selangor akhir bulan lalu dan kini ia mahu mengembangkan kempennya di negeri lain mulai bulan depan.

Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu jelasnya bukan satu keperluan dan keputusan untuk mengeluarkan nama mereka bukanlah satu tindakan bijak.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia berkata dengan mengeluarkan senarai nama tersebut, golongan murtad akan terdedah kepada ancaman dan tindakan itu dikhuatiri akan membahayakan keselamatan mereka kerana perkara berkaitan agama adalah satu isu sensitif kepada umat Islam.

“Pada pendapat saya, kita tidak perlu mengeluarkan senarai nama mereka yang murtad ini, bahaya kepada mereka, ini isu agama, masyarakat Islam sensitif berkaitan perkara ini, sekiranya dilaksanakan, saya bimbang mereka akan diapa-apa kan,” katanya.

Minggu lalu, Asri (gambar) menggesa Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan senarai mereka yang meninggalkan Islam untuk memberi gambaran sebenar dan mencari punca-punca yang membawa kepada masalah tersebut.

Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor pada akhir bulan lalu mengetuai kempen Himpun yang membincangkan isu berkaitan murtad, yang didakwa semakin serius di negara ini.

Bagaimanapun tiada angka tepat dikeluarkan mengenai bilangan mereka yang keluar Islam, meskipun penganjur Himpun mendakwa angka itu amat membimbangkan.

Himpun juga meluluskan resolusi 10 perkara antara lain menggesa kerajaan mengadakan akta khusus mengawal gejala pemurtadan.

“Perkara ini memerlukan penelitian mendalam daripada pihak berkuasa agama dan tidak boleh dilakukan sembarangan memandangkan hanya jabatan agama sahaja yang memiliki senarai nama mereka yang telah murtad,” ujar Azmi lagi.

Asri kini Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata pihak berkuasa agama Selangor wajar mengeluarkan nama-nama umat Islam yang murtad jika benar-benar pemurtadan di negeri tersebut benar-benar wujud dan semakin serius agar dapat mengambil tindakan mengatasinya.

Sambil menegaskan tuduhan murtad amatlah besar, Asri berkata, mengatakan sejumlah besar Muslim murtad adalah memalukan umat Islam itu sendiri dan Hasan wajar mengeluarkan senarai mereka yang meninggalkan Islam untuk memberi gambaran sebenar dan mencari punca-punca yang membawa kepada masalah tersebut.

“Perlu tanggungjawab atas dakwaan ini,” kata beliau sambil menambah bahawa “saya mengharapkan pihak beliau boleh mengeluarkan nama-nama mereka berkenaan jika benar wujud.

“Kedua, dengan senarai nama itu, boleh membantu untuk pihak lain membuat kajian tentang punca murtad jika benar berlaku,” katanya lagi.

Minggu lalu, Hasan yang merupakan pengerusi jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal Islam negeri berkata Jais ada mengesan kegiatan di kalangan Kristian menggunakan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan Muslim.

sumber...TMi