Kenaikan bil elektrik mungkin faktor usikan meter: TNB
PULAU AMAN (Pulau Pinang): Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menjelaskan caj tenaga yang didakwa keterlaluan selepas pelaksanaan meter baru digital berkemungkinan disebabkan caj kebelakang yang dikenakan kepada pengguna berikutan berlaku usikan pada meter lama.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir Azman Mohd, berkata selepas meter baru digital dipasang, jika TNB mendapati berlakunya usikan meter, syarikat utiliti itu berhak mengenakan caj kebelakang."Mengikut Akta Bekalan Elektrik, TNB boleh mengecaj kebelakang iaitu kita boleh caj setakat mana kita boleh buktikan bahawa penggunaan atau usikan jangka ini telah berlaku sejak sekian lama."Sudah tentu proses yang kita caj kebelakang akan menimbulkan bil elektrik yang tinggi," katanya selepas Majlis Perasmian Set Janakuasa di Pulau Aman, hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia (BMAM) supaya TNB mengkaji isu yang ditimbulkan pengguna berhubung dakwaan caj tenaga yang keterlaluan berikutan penggunaan meter baru digital itu.
Azman berkata, TNB tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan caj kebelakang tanpa bukti kukuh berlaku usikan meter.
"Dalam kes usikan meter, jika mempunyai bukti kukuh baru TNB teruskan untuk ambil balik kerugian yang dialami. Ia dilakukan dengan pertimbangan dan perbincangan dengan pengguna terbabit," katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan dalam keadaan tertentu, bacaan meter baru digital itu mungkin lebih tinggi berbanding meter lama berikutan bacaan meter lama yang tidak begitu tepat.
Bagaimanapun, katanya, bagi masalah itu, kenaikan caj tenaga tidak begitu ketara.
Beliau turut memberi jaminan meter baru itu memberi bacaan yang tepat kerana ia melalui proses penentu ukuran oleh makmal yang mendapat akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005.
Sementara itu, mengenai Set Janakuasa 320kVA yang dipasang di Pulau Aman, Azman berkata, ia dipasang sebagai persediaan jika berlaku masalah bekalan elektrik di pulau itu berikutan kerosakan pada sistem sedia ada.
Sistem bekalan elektrik sedia ada di Pulau Aman adalah dari satu pencawang elektrik berkapasiti 100kVA di mana bekalan diperolehi dari tanah besar melalui kabel dasar laut 11kV sepanjang 2.5km.
Pulau Aman yang mempunyai kehendak maksima tenaga sebanyak 80kW mempunyai kira-kira 250 orang penduduk terdiri daripada 60 pengguna domestik dan 26 pengguna komersil.
sumber...BERNAMA
p/s....Jika meter lama tak ada ISO,itu maknanya dah lama rakyat Malaysia kena tipu.
Puak puak bangang ni perlu ditukar selepas Pru ke 13 nanti.