Followers

Saturday, November 19, 2011

Titian Panjang"SEARCH" 30 Tahun

TIDAK dinafikan bahawa sambutan terhadap muzik rock tidaklah sehangat dahulu, namun ia langsung tidak menghalang kumpulan Search untuk terus kukuh bertahan selama tiga dekad dalam industri muzik tempatan.

Bagi yang mengikuti perkembangan kumpulan tersebut, nama-nama seperti Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar irama) dan Yazit (dram) sememangnya sudah cukup sinonim kepada mereka.

Malah, lagu-lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Isabella, Gadisku dan Rozanna adalah antara ratusan lagu-lagu nyanyian mereka yang terus menjadi siulan ramai termasuklah golongan muda pada hari ini.

Sudah berjuang selama 30 tahun dalam arena muzik rock tanah air, pelbagai kenangan manis serta pahit getir yang telah dilalui oleh mereka sepanjang bergelar anak seni.

Selain rentetan kejayaan demi kejayaan yang diraih terutamanya menerusi penjualan album, kumpulan tersebut juga sebenarnya pernah terpalit dengan memori hitam apabila pernah dibubarkan seketika dan kerap bertukar ahli kumpulan.

Namun, segala pengalaman yang pernah dilalui itu telah menjadikan mereka lebih kukuh dan pada hari ini kumpulan Search masih lagi terus berdiri teguh untuk menghiburkan peminat setia mereka.

Menyingkap serba sedikit mengenai sejarah kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu, Yazit selaku pemain dram menceritakan bahawa pada awal kemunculan dahulu mereka belum lagi menggunakan nama Search.

Jelasnya, selama beberapa bulan mengadakan persembahan di merata-rata tempat ketika mula-mula ditubuhkan, mereka langsung tidak menggunakan sebarang nama untuk kumpulan mereka.

"Sebenarnya nama Search ini dipilih adalah hasil daripada perbincangan sesama rakan-rakan. Ketika berkumpul bersama 11 orang rakan di rumah, masing-masing akan memberikan satu nama.

"Kemudian nama-nama yang dipilih itu diletakkan pula di kelab tempat kami sering mengadakan persembahan untuk dipilih oleh pengunjung. Akhirnya majoriti pengunjung yang datang telah memilih nama Search dan ia terus kekal sehingga sekarang," jelasnya.

Vokalis utama Search, Amy yang ditemui sewaktu sidang akhbar kedua Konsert Fenomena 30 Tahun Search baru-baru ini berkata, tempoh 30 tahun dirasakan berlalu dalam masa yang cukup pantas buat mereka.

Jelasnya, kira-kira 10 tahun selepas Search ditubuhkan, dia sendiri sebenarnya pernah terfikir bahawa adakah kumpulannya itu akan dapat bertahan untuk tempoh yang lebih lama lagi.

"Sudah tentu kini saya sangat bersyukur kerana Search masih lagi terus wujud dan sudah tentu ia memberi satu erti yang cukup besar buat kami kerana sudah berusia tiga dekad.

"Apa yang membuatkan kami terharu adalah sokongan yang terus diberikan kepada kami. Bukan sahaja peminat yang membesar bersama lagu-lagu kami, malah kepada golongan muda yang turut mengikuti perkembangan Search selama ini," ujarnya.

Tambah Amy, sebagai menghargai sokongan diberikan kepada peminat, dia berharap agar Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dapat dijadikan hadiah yang paling bermakna.

Ujarnya, dia memberi keyakinan bahawa ketiga-tiga konsert yang akan berlangsung itu akan memberi kepuasan dan kenangan yang tersendiri memandangkan ia adalah sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun Search yang ke-30.

"Kepada mereka yang akan hadir pada konsert itu nanti, mereka bukan sahaja akan dihiburkan dengan lagu-lagu popular kami, malah mereka akan turut mendapat sehelai baju-t eksklusif sebagai cenderamata.

"Lebih menarik lagi, pengunjung yang bertuah pada malam konsert turut berpeluang untuk membawa pulang hadiah lumayan iaitu sebuah kereta Perodua Viva di setiap lokasi," jelasnya.

Menurutnya lagi, buat masa ini persiapan untuk mengadakan konsert sedang berjalan dengan lancar dan mereka sekarang sedang giat berlatih menjelang konsert pertama yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 November ini.

Isabella

Tidak dinafikan lagu berjudul Isabella sebenarnya adalah merupakan lagu yang telah membawa nama Search ke puncak kejayaan sehingga menjadi band rock Malaysia yang cukup terkenal di luar negara.

Menerusi album Fenomena yang dihasilkan pada tahun 1989 serta mengandungi beberapa lagu hit seperti Isabella, Pawana dan Gadis Misteri telah terjual sebanyak 220,000 unit di Malaysia dan 600,000 unit di Indonesia.

Menariknya, berdasarkan lagu berkenaan juga telah terhasilnya dua buah filem berjudul Isabella yang menggandingkan Amy dan Nia Zulkarnaen serta filem Fenomena yang menampilkan Datuk M. Nasir, Amy dan Ramona Rahman sebagai teraju utama pada tahun 1990.

Menurut Amy, dia sendiri mengakui bahawa lagu Isabella memang telah memberi impak yang cukup besar terhadap kumpulannya dan lagu itu juga seolah-olah sudah melekat di hati peminat.

"Boleh dikatakan Isabella adalah satu lagu yang dilihat menjadi kemuncak kepada perjalanan Search untuk berjaya di Malaysia dan dapat mengembangkan lagi sayap di luar negara seperti di Indonesia.

"Sehingga ke hari ini kalau kami diundang untuk membuat persembahan di Indonesia, pasti mereka meminta lagu Isabella untuk dinyanyikan oleh kami dan ia seolah-olah sudah menjadi lagu wajib," jelasnya.

Menurut Amy lagi, mereka juga turut mempunyai keinginan untuk mengadakan konsert secara besar-besaran di negara tersebut setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1993.

Jepun

Mengakui amat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih sepanjang 30 tahun Search berada dalam industri muzik tanah air, Amy menjelaskan sebenarnya masih ada lagi impian yang belum dapat direalisasikan.

Ujarnya, sejak dari dahulu lagi mereka sebenarnya mempunyai impian yang cukup besar iaitu mengadakan satu persembahan istimewa untuk para peminat muzik rock di negara Jepun.

Ditanya tentang apa yang membuat mereka tertarik sehingga berhasrat untuk mengadakan persembahan di negara berkenaan, Amy menjelaskan kebanyakan lagu-lagu yang mereka nyanyikan dapat diterima oleh pendengar di sana.

"Jurutera bunyi yang selalu bekerjasama dengan Search untuk konsert-konsert besar iaitu Yamaguchi pernah membawa beberapa album Search ke negaranya dan ibunya sendiri tertarik apabila mendengar lagu-lagu nyanyian kami.

"Malah, saya mendapat tahu ada peminat muzik rock Jepun yang turut memiliki koleksi album Search. Kalau boleh saya berharap sangat sekiranya dapat membuat persembahan selama lima minit atau sebuah lagu sahaja di hadapan mereka," jelasnya.

Ujarnya lagi, antara lagu yang akan dipersembahkan oleh mereka nanti sekiranya mendapat peluang yang diimpikan itu adalah lagu Isabella atau Fantasia Bulan Madu.

sumber...kosmo OL