Followers

Tuesday, November 22, 2011

"Aku Pun Nak Jugak Projek Lembu"

Penternak lembu: Beri kami dana RM250 juta juga

Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor mencabar kerajaan BN menyediakan dana RM250 juta kepada ahli-ahlinya bagi membuktikan bahawa mereka mampu memanfatkan wang itu lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menurut persatuan itu, jika dana berkenaan dibekalkan kepada 500 ahlinya, mereka jamin mampu meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi persatuan itu, Samad Kassim yang dipetik akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian hari ini, berkata kebanyakan ahlinya yang adalah penternak lembu tenusu, lembu fidlot, kerbau dan kambing sukar mendapatkan kemudahan pinjaman daripada kerajaan dan sistem perbankan untuk memajukan ternakan masing-masing.

Menurutnya, ia berbeza dengan apa yang diberikan kerajaan kepada NFC sedangkan penternak tidak diberikan kemudahan yang sama.

"Ahli PPRNS memerlukan dana untuk memajukan lagi industri dan kita menjamin 30 peratus peningkatan pengeluaran produktiviti industri ternakan termasuk susu segar, daging, susu kerbau sapi, daging kambing dan baja organik selepas tiga tahun,” katanya kepada akhbar itu.

Menurut Samad lagi, dengan kemudahan dana itu, Malaysia mampu menjadi negara pengeksport produk lembu.

"Kita mempersoalkan mengapa kerajaan memberi dana kepada syarikat baru seperti NFC sedangkan ia sepatutnya diberikan kepada penternak yang sudah lama dalam industri ini.

"Persatuan memohon kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap permintaan ahli-ahli bagi menjamin peningkatan industri ternakan di negara ini," katanya.

sumber...malaysiaKini