Wanita lemah lembut suka ramai anak
KEPADA kaum Adam, jika anda berfikir sama ada wanita idaman anda mahukan keluarga yang besar, jawapannya ada pada wajah wanita itu.
Menurut kajian, perempuan dengan wajah kewanitaan lebih cenderung mahukan anak yang ramai dan lebih lembut wajah mereka, lebih banyak anak yang mereka inginkan.
Kajian itu menyarankan lelaki yang terdesak untuk menjadi bapa perlu mencari perempuan berhidung kecil, bermata besar dan bibir tebal kerana mereka cenderung untuk memiliki sekurang-kurangnya empat anak.
Namun, bagi lelaki yang kurang berminat menjadi bapa, mereka perlu mencari wanita yang kurang lemah-lembut kerana mereka mungkin cenderung untuk memiliki seorang anak saja.
Saintis di Universiti St Andrews percaya penemuan itu dapat dijelaskan melalui hormon estrogen wanita apabila tahap hormon yang tinggi menghasilkan penampilan lemah lembut dan memupuk naluri keibuan.
Penemuan kaitan antara wajah yang lembut dengan kesuburan seseorang dapat menjelaskan naluri keibuan jelitawan Hollywood, Angelina Jolie yang mempunyai tiga anak sendiri dan tiga anak angkat.
Bekas model, Jools Oliver juga mempunyai empat anak bersama suami tukang masaknya, Jamie, manakala aktres Reese Witherspoon sudah mendapat dua anak pada usia 27 tahun.
Penyelidik menyoal 25 wanita muda berapa ramai anak yang mereka inginkan dan mengukur tahap estrogen mereka.
Pakar dalam penyelidikan wajah manusia, Dr Miriam Law Smith dari Makmal Psikologi Universiti St Andrews berkata: “Lebih banyak estrogen dimiliki seseorang wanita itu, lebih ramai anak yang mereka inginkan. Kami terkejut mendapat hasil kajian yang amat berkesan.”
Tahap estrogen didapati tidak berkaitan dengan usia sesuai bagi wanita memulakan kehidupan berkeluarga tetapi penyelidik percaya disebabkan mereka adalah pelajar universiti, maka wanita terbabit lebih fokus terhadap karier.
Dalam uji kaji kedua, kumpulan wanita muda berlainan ditanya mengenai keinginan mereka untuk mendapat anak selepas gambar mereka diambil.
Dr Miriam kemudian menghasilkan imej komposit wajah wanita dengan naluri keibuan yang paling kuat dan satu kumpulan lagi berdasarkan kepada wanita yang kurang berminat untuk berkeluarga.
Wajah wanita yang mempunyai naluri keibuan paling kuat dipilih mempunyai lebih perawakan kewanitaan oleh sekumpulan lelaki dan sukarelawan wanita.
Secara purata, wanita yang mempunyai naluri keibuan paling kuat mahukan 4.3 anak - lebih tiga orang berbanding mereka yang kurang berperawakan kewanitaan, lapor jurnal hormon dan tingkah laku.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati bentuk wajah hanya mengambil kira sebanyak 20 peratus dalam pelan merancang keluarga oleh wanita.
Faktor sosial termasuk cara didikan dan wang turut mempengaruhi kecenderungan untuk memiliki lebih ramai anak.
p/s...gambar diatas hanya hiasan sajer
Hmetro