Followers

Wednesday, November 23, 2011

Tantawi Diseru Letak Jawatan


PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.

Husin Tantawi diseru meletakkan jawatan

“Letak jawatan!” kata ribuan penunjuk perasaan Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir di bandar raya ini, kepada pemerintah tentera, Hussein Tantawi.

Gesaan serupa 10 bulan lalu berjaya menggulingkan bekas ketuanya, Hosni Mubarak. 

Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri dataran berkenaan semalam untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) yang mengambil alih kuasa Februari lalu selepas Hosni disingkirkan.

“Rakyat mahu ketua majlis tentera dijatuhkan,” laung mereka, merujuk kepada Hussein, bekas Menteri Pertahanan Hosni yang kini memerintah negara itu.

Seorang penunjuk perasaan dilihat menggantung patung seorang lelaki pada tiang lampu dengan kata-kata berbunyi ‘hukuman gantung terhadap Ketua Majlis Tentera.’

Perhimpunan besar-besaran di Tahrir diadakan selepas pertempuran selama tiga hari antara polis dengan penunjuk perasaan yang menuntut perubahan demokratik.

Pertempuran masih berterusan di pinggir dataran berkenaan dengan polis menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyurai penunjuk perasaan.

Dalam usaha meredakan krisis berkenaan, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) mempelawa semua parti politik menghadiri mesyuarat tergempar, semalam.
Ikwanul Muslimin, badan politik yang paling tersusun di Mesir berkata, ia akan mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda menunjukkan mereka yang berada di belakang tunjuk perasaan itu akan menghadirinya.

Sebelum itu, penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat revolusi Mesir yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak Februari lalu, berarak sambil melaungkan slogan menyelar SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri ialah penjahat,” laung penunjuk perasaan itu ketika berarak untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pasukan perubatan berkata, dua lagi terbunuh awal semalam, menjadikan angka kematian akibat pertempuran di antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu kepada 36.

Kabinet Mesir yang terdiri daripada pegawai awam yang dilantik SCAF mengumumumkan perletakan jawatannya lewat kelmarin.

Bagaimanapun, laporan televisyen milik kerajaan memetik sumber SCAF sebagai berkata, perletakan jawatan itu ditolak.

“Kerajaan Perdana Menteri Essam Sharaf mengemukakan perletakan jawatannya kep kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata jurucakap Kabinet, Mohammed Hegazy dalam satu kenyataan. 

sumber... AFP