Followers

Thursday, November 17, 2011

Koh Tsu Koon tunai janji ‘korban’, tak tanding PRU-13

Koh Tsu Koon ketika mengumumkan strategi pengorbanan beliau pada sidang media pagi tadi. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pagi ini mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 — mengakhiri spekulasi pelbagai pihaknya mengenai langkah pengorbanan yang beliau bakal lakukan demi menyelamatkan parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Ketua BN Pulau Pinang ini berkata langkah beliau umumkan hari ini adalah “keputusan peribadi” semata-mata.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang berkata beliau sudah pun memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang keputusannya.

Bagaimanapun Koh mengesahkan yang beliau akan terus memegang jawatan-jawatan politik termasuk kedudukan sebagai Presiden Gerakan, ketua Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dan naib pengerusi BN pusat.

Khabar angin sebelum ini menyebut beliau akan melepaskan jawatan ketua BN Pulau Pinang hari ini dan menamakan penggantinya.

Ketika menjelaskan “pengorbanan utama”, Koh berkata apa yang dimaksudkan ialah beliau akan terus menyumbang masa dan tenaganya untuk berkempen bagi calon-calon Gerakan ketika pilihan raya umum ke-13.

“Apabila saya bercakap mengenai pengorbanan, saya bercakap mengenai masa dan tenaga bagi parti,” kata beliau.

“Saya mahu berkempen bagi calon-calon kami untuk menang berbanding hanya memfokus ke atas kemenangan kerusi diri saya,” kata Koh pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai jawatan-jawatan politik, Koh menjelaskan bahawa beliau hanya akan membuat keputusan sama ada akan meletakkan jawatan terbabit ataupun sebaliknya selepas pilihan raya umum ke-13.

Selari dengan kedudukannya sebagai presiden parti, kata Koh, beliau akan memegang jawatan sebagai naib pengerusi BN peringkat pusat.

Koh juga berkata, di bawah Artikel 23.2(A) Perlembagaan Persekutuan, jawatan ketua BN Pulau Pinang adalah pelantikan oleh pengerusi BN menerusi perundingan dalam Dewan Tertinggi perikatan.

“Baik ikut prosedur,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Katanya, kedudukan dalam Kabinet adalah keputusan Najib selaku Perdana Menteri dan menegaskan bahawa beliau tidak memegang jawatan kerana kepentingan peribadi.

Katanya lagi, keputusan hari ini adalah langkah pertama agenda pembaharuan dan pemulihan yang bertemakan “Gerak Bersama Rakyat”, yang menyasarkan kesediaan Gerakan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya sendiri akan memimpin berdasarkan teladan dan mengambil langkah awal ke arah pembaharuan,” katanya.

Koh juga menolak tanggapan bahawa keputusan hari ini menandakan beliau sudah menyerah kalah sebelum turun gelanggang.

“Anda tahu, saya sudah bertanding dalam tujuh pilihan raya? Kebanyakan adalah pertarungan sengit. Balik kepada sejarah dan baca tentang (pilihan raya umum) 1982, 1986, 1990, 1995 . . . apa terjadi. Saya kemungkinan satu-satunya orang berhadapan dengan Lim Kit Siang dua kali,” katanya lagi.

Koh juga menolak gesaan daripada ahli-ahli parti agar berhadapan dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di kerusi Parlimen Bagan pada pilihan raya umu ke-13 bagi membuktikan kekuatan kepimpinannya.

“Apakah ada keperluan (untuk berbuat demikian). Saya sudah lawan bapa dia dua kali. Pada 1986 dan 1995,” katanya.

Ketika berucap menutup Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan 16 Oktober lalu, Koh berkata beliau bersedia untuk melakukan pengorbanan demi parti.

Ketika itu katanya, terdapat beberapa opsyen mengenai maksud pengorbanan.

Kata Koh, beliau akan mengambil satu keputusan hanya selepas membuat penilaian akhir mengenai apa yang terbaik bagi parti dan rakyat.

Malah ketika itu juga, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe menggesa Koh agar tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Koh berhadapan dengan kritikan ahli-ahli Gerakan dan pemimpin yang mendakwa kepimpinan beliau terlalu lemah.

sumber...TMi