KEPADA suami-suami, jangan rasa bersalah jika bohongi isteri. Kata seorang ustaz, bohong isteri tidak salah mengikut hukum.
Tetapi bukan semua bohong dibenarkan! Tidak bolehlah jika keluar
dating, balik rumah tengah malam, kata kepada isteri "Lama pulak tok
guru tu baca kitab Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi malam ni, sampai
tersengguk-sengguk abang..."
"Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi? Tak pernah dengar pun nama kitab tu bang?"
"Awak mana tahu, ke masjid pun setahun sekali. Itu kitab untuk orang yang maqam tinggi macam abang ni, kitab tasawuf!"
Itu bohong yang haram namanya.!
Walaupun Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi itu maknanya 'mempelajari
ilmu-ilmu dunia' dan dari satu segi, anda seolah-olah sudah bercakap
benar kepada isteri, hakikatnya anda tetap bohong.
Bukan itu pembohongan yang dibenarkan dalam Islam. Anda semata-mata
mahu mengaburi mata isteri dengan jubah dan kopiah yang ditukar di
jalanan.
Bohong seperti itu tak boleh!
Dalam satu kuliah baru-baru ini, Ustaz Kazim Elias berkata, bohong yang
dibenarkan adalah yang tidak memudaratkan sebaliknya boleh
menggembirakan hati isteri sekali gus merapatkan keintiman, meningkatkan
kebahagiaan dan memantapkan lagi kasih sayang.
Contohnya, suami sedang tengok rancangan Nona, datang isteri terus
henyak punggung di sebelah sampai terlambung si suami (ayat ini adalah
untuk menggambarkan saiz dan bentuk isteri).
Si isteri kemudian berkata: "Cantik Neelofa tu kan bang..."
Lalu dijawab oleh suami: "Tidaklah secantik mana pun, cantik awak lagi sebab itu saya pilih awak, tak pilih dia ..."
Walaupun si isteri tentunya sedar bahawa suaminya berbohong namun jauh
di lubuk hatinya, dia tetap gembira. Bohong seperti inilah yang
dibenarkan dalam Islam.
Menurut Ustaz Mohamad Surol pula, bohong seperti ini disebut 'kazbul
beidh'. Orang putih sebut white lie. Orang Melayu sebut bohong sunat
walaupun bohong sunat tidak ada dalam hukum.
Nabi SAW tidak pernah bohong. Salah satu sifat Nabi adalah 'siddiq'
atau benar. Nabi SAW pernah dihadap kejadian seorang lelaki Islam
dikejar seorang lelaki Yahudi yang mahu membunuhnya. Lelaki Islam itu kemudian bersembunyi.
Datang lelaki Yahudi itu bertanya kepada Rasulullah, "apakah kamu nampak ada seseorang lari di sini, aku mahu membunuhnya!"
Nabi beralih selangkah, kemudian berkata: "Ketika aku berdiri di sini, aku tidak nampak sesiapa selain kamu!" Nabi tidak berbohong sekadar berhelah kerana tidak mungkin baginda mahu
membiarkan seseorang dibunuh oleh orang yang dalam keadaan begitu
marah. Dan Rasulullah juga bukan seorang yang lurus bendul tetapi
dibekalkan dengan sifat amanah dan 'fathonah'. Amanah untuk melindungi
seseorang yang berharap kepadanya untuk tidak membocorkan rahsia dan
'fathonah' adalah kebijaksanaan untuk berhelah.
Rasulullah sememangnya bercakap benar bahawa ketika berdiri di situ
(setelah beralih selangkah), baginda tidak melihat sesiapa selain lelaki
Yahudi itu!
Berbalik kepada cerita bohong isteri, seseorang suami tidak bolehlah
terlalu jujur untuk berkata: "Ya, memang betul sangat Neelofa tu cantik.
Nak banding dengan awak, huhuhu! Awak tahu tak, awak duduk di sebelah
saya ni saya rasa macam apa? Macam duduk menyandar pada peti surat di
pejabat pos tu awak tahu!"
Kalau jujur sangat macam itu pun tak boleh, bang! Kasihan isteri tu!
Jadi, walaupun dibenarkan, tidak ada bohong sunat. Hukumnya sekadar
harus. Tetapi mengikut hukum Islam, bercakap benar itu lebih baik.
Apa pun, saya tidaklah bermaksud untuk menggalakkan anda terlalu lurus.
Jangan pula dibuat bergurau ketika bersama isteri di dapur,
jeling-jeling tong gas kemudian kata: "Saya tengok tong gas ni ada
iras-iras awaklah!"
Ataupun kalau isteri terlajak kurus, dipegangnya tangan isteri selari
dengan sudip atau senduk. Lebih teruk, bangun dari tidur terus
diberitahu, "tadi saya mimpi almari baju kita tu berjalan!"
Walhal sah-sah dia tahu si isteri baru sahaja keluar dari bilik air.
Daripada berbohong jual nama tok guru itu, tok guru ini, kalau nak
sangat tambah isteri, bercakap benarlah! Itu pun kalau ada 'berann'!
Saya pinjam pantun Ustaz Mohamad Surol:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Cakap bohong,
Tahu tahu sudah kahwin lagi
Siakap senohong
Gelama ikan ketutu
Bercakap bohong
Tahu-tahu sudah ada lagi satu.
sumber...Muhamad Mat Yakim