Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia.
Sumber dari semua capaian internet.
email greenblacks8@gmail.com
Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad mengulangi
pendiriannya untuk berpegang pada janji menyerahkan jawatan perdana
menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang perwakilan daripada Kelantan, Zulkifli Zakaria pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini mencadangkan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.
"Macam-macam orang ada pendapat, mereka ada pendapat masing-masing.
"Itu
pendapat mereka tapi kena pegang kepada janji,” katanya kepada
pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sumber memaklumkan cadangan itu dibangkitkan ketika perwakilan berkenaan membahas ucapan dasar presiden, Muhyiddin Yassin.
Sesi perbahasan berkenaan diadakan secara tertutup.
Untuk rekod, Anwar sebelum ini dinamakan sebagai individu yang akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Cadangan
agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya
juga pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Bersatu Setiawangsa.
Pada 3 Nov lalu, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.
Sementara itu, diminta mengulas reaksi perwakilan yang bersetuju dengan usul itu, sambil tersenyum Mahathir berkata: "Mana saya tahu, tapi ramai yang berdiri.”
Dr Mahathir juga dijangka akan mengulas isu tersebut ketika ucapan penggulungan persidangan itu, petang ini.
Laporan ini disediakan oleh Anne Muhammad, Alyaa Alhadjri dan Norman Goh.mKini
Jika berlaku perpisahan etnik yang terlalu jauh antara yang miskin dan
kaya, sejarah melaporkan rusuhan dan perang saudara tercetus, sekali gus
membawa kepada kehancuran negara.
Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini akan membawa
malapetaka kepada semua rakyat di negara ini.
Apatah lagi,
katanya, jika perpisahan antara miskin dan kaya ini ditambah dengan
perpisahan antara kaum, di mana sesuatu kaum itu lebih miskin daripada
kaum lain.
Tambah beliau, walaupun rusuhan mungkin tidak berlaku, namun kemungkinan ia terjadi tidak boleh diketepikan.
"Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan
Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat
kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.
"Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.
"Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain.
Pemulihan berada di tangan kita," katanya katanya dalam ucapan dasar
Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada
Sabtu.
Kata Perdana Menteri, walaupun kaum tidak dapat ditukar, namun jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan atau dihapuskan.
Dr Mahathir berkata, kesalahan yang dilakukan pemimpin UMNO tidak bermakna semua orang Melayu turut dipersalahkan.
“Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua
tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh
bangsa Melayu?,” katanya.
Mengulas mengenai kemasukan bekas
pemimpin UMNO ke Bersatu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan partinya
tidak akan mudah menerima mereka.
Mengulangi pendiriannya, Dr
Mahathir berkata bekas pemimpin UMNO perlu menjadi bebas dan seterusnya
menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan secara ikhlas.
“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas
UMNO. Mereka hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod mereka
akan dikaji dengan teliti,” tambahnya.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berpantun untuk
menjelaskan fitnah pihak pembangkang terhadap pentadbiran Pakatan
Harapan (PH).
"Racun ikan akar beluru,
ikan dimakan matilah rasa,
fitnah pembangkang bagai peluru,
membunuh umat hingga binasa," kata beliau ketika berucap merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.
Beliau menyuarakan keyakinan orang Melayu dapat melihat pendekatan berbahaya politik perkauman dan agama.
"Selepas
Umno dan PAS kalah dalam Pilihanraya Umum ke-14, kedua-dua parti ini
mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem
semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
"Melayu sudah kenal siapa Umno, siapa PAS. Kedua-duanya dua kali lima sahaja.
"Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak.
Raih laba
"Orang
Melayu akan tetap ingat sewaktu Umno berkuasa dahulu, kedua-dua parti
ini sanggup bermain kayu tiga dan berkhalwat semata-mata untuk meraih
laba politik.
"Bermacam-macam hujah dan istilah Islamik digunakan
untuk mewajarkan perbuatan khalwat mereka," kata beliau ketika berucap
merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.
Muhyiddin
berkata Umno dan PAS telah menjalin hubungan antara satu sama lain
selama bertahun-tahun tetapi percantuman dua parti itu masih belum
menjadi kenyataan.
"Cerita Umno berpakat dengan PAS ini
dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata. Baru
beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran
Merdeka," jelasnya.
Beliau memberi contoh jalinan hubungan Umno
dan PAS dalam perhimpunan membantah konvensyen PBB mengenai keadilan dan
kesaksamaan kaum (Icerd).
"Terujalah ahli-ahli Umno, kononnya inilah masanya kesatuan politik
orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina. Ini satu detik yang
amat bersejarah bagi mereka.
"Seolah-olahnya, kalau pilihanraya diadakan esok, Umno dan PAS akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baru.
"Tak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli Umno keluar parti.
"Lebih
menyedihkan lagi buat Umno, Presiden PAS beberapa hari yang lalu buat
satu kenyataan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana
bahtera Umno sedang bocor katanya. PAS takut bahtera partinya juga akan
karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno," katanya lagi.
Muhyiddin berkata kedua parti itu tidak akan dapat bekerjasama kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.
Bersatu tak guna slogan Islam
"Maknanya
tiada harapan untuk Umno berpakat dengan PAS, dan PAS bukanlah sebuah
parti yang boleh dipercayai. PAS hanya mementingkan partinya sendiri.
Menurut Muhyiddin lagi, Bersatu tidak akan menyalahgunakan nama Islam seperti PAS dan Umno.
"Kepada umat Islam, saya ingin menyebutkan bahawa Bersatu tidak menggunakan slogan Islam, tetapi kita melaksanakan Islam.
"Kita
mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah,
meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan
umat Islam. Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim.
"Malah
perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang
termaktub di dalam perlembagaan parti kita," jelasnya lagi.
Muhyiddin
yang juga menteri dalam negeri mencadangkan pembentukan Majlis
Permuafakatan Ummah yang dianggotai wakil kerajaan dan badan-badan
Islam.
"Untuk itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah Majlis
Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan dan
badan-badan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah
di Malaysia," katanya.
Rafizi Ramli - yang tewas dalam pemilihan PKR yang lalu - dilantik sebagai naib presiden parti itu.Ia diumumkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini bermesyuarat bagi memutuskan jawatan lantikan bagi parti itu.
"Antara
yang dibincangkan adalah perlantikan jawatan-jawatan MPP selepas
pemilihan MPP dan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN)
sebelum ini.
"Diharapkan mereka dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat dalam era Malaysia baru ini," katanya.
Berikut adalah senarai penuh jawatan lantikan bagi penggal 2018-2021:
Naib presiden: Rafizi Ramli
Naib presiden: Chang Lih Kang
Naib Presiden (Sabah/Sarawak): Ali Biju
Setiausaha Agung: Saifuddin Nasution Ismail
Bendahari Agung: Lee Chean Chung
Ketua penerangan: Shamsul Iskandar Md Akin
Setiausaha pengelola: Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli MPP (lantikan): Lee Khai Loon
Ahli MPP (lantikan): Faisal Sanusi
Ahli MPP (lantikan): Syed Ibrahim Syed Noh
Ahli MPP (lantikan): Rayyan Abdul Rahim
Ahli MPP (lantikan): Raymond Ahuar
Ahli MPP (lantikan): S Kesavan
Pengarah strategi: Dr Mansor Othman
Pengarah komunikasi: Fahmi Fadzil
Timbalan setiausaha agung: Dr R Santhara Kumar
Timbalan ketua penerangan: Sim Tze Tzin
Timbalan ketua penerangan: S Manivanan
Ketua jawatankuasa keanggotaan: Tian Chua
Ketua jawatankuasa sistem pemilihan parti: Dr Lee Boon Chye
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
dilapor akan membuat pemeriksaan terhadap KFC selepas dakwaan tular
mendakwa harga makananya naik.
Satu lagi rangkaian restoran makanan segera McDonalds akan turut disiasat selepas Astro Awani melaporkan tinjauannya turut mendapati harga makanan di restoran itu juga meningkat.
Timbalan
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman
berkata, bermula hari ini pegawainya telah mulakan pemeriksaan terhadap
restoran KFC.
“Kita dah mulakan siasatan dan pagi ini, pegawai
saya telah mula mendapatkan maklumat daripada KFC, kenapa naik harga,”
beliau dipetik berkata ketika dihubungi Astro Awani hari ini.
Menjawab soalan Malaysiakini,
QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemilik KFC, semalam berkata sejak bulan
ini, harga yang dipaparkan mereka termasuk enam peratus SST.
KFC
juga menjelaskan penyelarasan harga dibuat untuk memastikan mereka terus
memberikan kualiti yang sama tanpa perlu berkompromi.
Dalam
kenyataan lain hari ini, QSR Brands bagaimanapun berkata kenyataannya
berhubung penyelarasan harga produk jualannya telah disalah tafsir.
Kata
KFC, penyelarasan harga tidak mempunyai kaitan dengan SST, kerana kadar
enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini juga
dikenakan pada pelanggan mereka.
SEBUAHmasjid pada abad ke-15 di Turki telah dibahagikan kepada tiga bahagian dan dialihkan oleh sebuah robot ke lokasi baharu.
Pekerja pembinaan terpaksa memecahkan dinding yang mencantumkan
masjid tersebut selama beratus-ratus tahun supaya mereka boleh
mengangkat bahagian masjid itu ke atas platform untuk dialihkan.
Bahagian terakhir Masjid Eyyubi seberat 2,500 tan dibawa keluar dari
bandar purba Hasankeyf di wilayah Batman Turki pada Jumaat selepas dua
bahagian lain dipindahkan awal tahun ini.
Pemindahan itu dilakukan kerana empangan keempat terbesar di Turki,
Ilısu dijangka akan menenggelamkan bandar purba Hasankeyf di bawah paras
air banjir, menurut Hurriyet Daily News.
Robot gergasi digunakan untuk membawa struktur masjid purba tersebut ke lokasi baharu.
Gambar yang diambil menunjukkan bahagian akhir masjid tersebut diangkut menggunakan robot dengan lebih 300 roda.
Masjid seberat 4,600 tan berkenaan telah dipindahkan ke Padang Taman
Kebudayaan Hasankeyf Baharu, iaitu tapak khas ditetapkan untuk struktur
yang dilindungi.
Selain masjid berusia 610 tahun itu, artifak-artifak kebudayaan lain
turut dipindahkan ke tapak berkenaan sejak ia dibuka pada 2017.
Walikota Hasankeyf Abdulvahap Kusen berkata: "Kerja-kerja pemindahan diteruskan agar artifak tersebut tidak rosak akibat banjir.
"Artifak kuno akan dihimpunkan di Taman Budaya berdekatan kawasan kediaman baharu," lapor akhbar harian Turki.
Bandar Hasankeyf diberi status 'dilindungi' pada 1981 dan merupakan lokasi kepada hampir 6,000 gua.
Kekanda
kini dalam perjalanan darat tiga jam dari bandar bersejarah Cordova ke
Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda
setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga adinda berada dalam keadaan
sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku 'Puteri Reformasi'.
Gelaran
itu bukanlah mudah untuk dikalungkan kepada sesiapa walaupun ramai
wanita muda era reformasi bangkit bersama, ini adalah kerana adinda
ialah lambangnya dan simbol yang sinonim dengan gelombang reformasi.
Kekanda amat bangga dengan gelaran itu malah kekanda sering
menjadikannya inspirasi kepada anak-anak dan golongan muda lain agar
mencontohi susuk tubuh 'puteri' ini.
Adinda,
Kekanda pernah
menasihati adinda bahawa jalan untuk adinda masih panjang dan jauh dan
pastinya adinda akan sampai jua dihujungnya. Kekanda cuba menyelami
perasaan anak muda seperta adinda dalam politik kepartian yang penuh
dengan persaingan individu dan kekelompokan.
Percayalah, kekanda
telah melaluinya sehingga kekanda terpaksa membuat tindakan yang sukar
lagi berisiko, semuanya gara-gara tabiat politik kepartian. Kekanda
tidak mahu adinda tumpas dengan medan politik dalaman yang kadang-kadang
tidak berhati perut.
Beberapa
kali kekanda menangis sendirian antara meneruskan atau pasrah sahaja
malah ada ketika mahu sahaja kekanda mengucapkan selamat tinggal kepada
politik kepartian. Kekanda pernah dinasihati sifu-sifu parti agar
senantiasa fokus dan buktikan nilai diri kita kepada perjuangan parti.
Sehingga
kini, di telinga kekanda masih teriang kata-kata penuh hikmah ayahanda
kekanda Tuan Haji Yusof Rawa ketika kekanda mengadu padanya tentang
persaingan dalam kepimpinan semasa kekanda dalam Pemuda PAS satu ketika
dahulu. Ayahanda yang sudah agak uzur ketika itu tersenyum sambil
berkata:
"Anakandaku Mujahid, di mana kamu berada bukan masalah
kamu, jika Allah kehendaki kamu akan sampai di kemuncak, sampailah kamu,
walaupun ramai tangan manusia yang menyekat kamu, tapi ingat jika belum
sampai masanya dan Allah belum menetapkan, walaupun seribu tangan
manusia ingin membawamu ke sana kamu tak akan sampai."
Yusof Rawa
terus berpesan dengan penuh kebaikan: "...buktikan dengan kerja kamu,
buatlah kebaikan kerana Allah, bersabar dan biarkan yang lain di
tanganNya"
Sudilah apa kiranya dikongsikan nasihat ini untuk
adinda jua semoga dipanjangkan kebaikan nasihat ayahanda Yusof Rawa yang
amat dikasihi oleh ayahanda Anwar Ibrahim.
Adindaku Nurul Izzah,
Nama
adinda ialah cahaya (Nur) yang penuh dengan kemuliaan (Izzah). Ayahanda
adinda tinggi peradabannya malah kekanda yakin setiap nama yang
diberikan kepada zuriat yang dikasihi adalah doa agar kekal nama itu
sepadan dengan tuannya.
Kita dilahirkan dalam rumah yang tidak
terpisah dengan kerjaya ayahanda kita iaitu ahli dan tokoh siasah
(politik). Sememangnya benar kata pepatah orang tua-tua kita : "ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?"
Adinda mewarisi ketokohan
siasah itu sama ada dengan pilihan atau warisan. Memang sukar untuk
selalu diperbandingkan kita dengan ayahanda-ayahanda kita oleh manusia
yang memerhatikan kita.
Kekanda selalu berkias tidak layak
perbandingan tersebut dengan berkata, kuku pun tak sama dengan ayahanda
kekanda, apatah lagi ketokohannya.
Namun kita juga harus
berbangga bahawa ayahanda kita mendidik kita sebaiknya untuk kita
menabur bakti, berbuat baik tanpa syarat dan mementingkan perjuangan
daripada diri sendiri. Kekanda yakin adinda telahpun menghadamnya sejak
bergelumang di alam politik.
Menanggung kata keji manusia
Adindaku,
Sejak
kekanda mengenali adinda, adinda masih remaja dan amatlah kekanda
bersedih dan bersimpati betapa remaja seperti adinda terpaksa melalui
saat-saat duka menanggung kepedihan fitnah ke atas ayahanda yang
dikasihi.
Bukan mudah penderitaan tersebut, terpaksa menanggung
kata keji manusia yang memfitnah sedangkan kita ada kawan, sekolah dan
masa depan yang kita harus tempuhi. Bukan calang-calang manusia yang
mampu berhadapan dengannya apatah lagi sebagai anak sulung, adinda
terpaksa membebani jua penderitaan adik-adik yang masih kebingungan.
Kekanda
ada melihat wajah adinda semasa dalam salah satu siri ceramah di Melaka
hujung tahun 90an. Kekanda berada di atas pentas ketika itu, betapa
hati kekanda berbisik :
"Ya Allah, mengapakah anak ini harus
menanggung semua ini? Lihatlah wajahnya masih remaja dan mentah terpaksa
berada di atas pentas membela ayahnya yang difitnah dan diaibkan, Ya
Allah kukuhkan jiwa anak ini."
Itulah bisikan doa kekanda waktu
itu. Alhamdulillah era reformasi hujung 1990-an membawa kekanda berada
di atas pentas politik sehingga kekanda memutuskan untuk bertanding pada
PRU 1999.
Alhamdulillah
juga kita diketemukan usai PRU 2008 sebagai ahli parlimen hingga kini.
Anak 'remaja mentah' yang kekanda pernah doakan agar jiwanya cekal kini
menjadi rakan seperjuangan kekanda yang kental, sama-sama melalui detik
suka dan duka demi harga sebuah perjuangan, demi Malaysia baru. Kekanda
amat menghargai persahabatan kita disimpulkan dengan satu cita-cita dan
satu harapan.
Adinda Nurul Izzah,
Kekanda amat yakin
kebolehan adinda bukanlah kerana 'menumpang' nama besar Anwar Ibrahim. Pepatah Arab ada mengatakan: "bukanlah anak muda hebat itu yang
berbangga tentang kegemilangan ayahnya tetapi anak muda hebat ialah yang
berkata aku adalah aku".
Kekanda akan berkata, "adinda adalah adinda dari sudut kehebatan dan kemampuan".
Manusia
akan terus berkata, janganlah adinda menjangkakan manusia akan diam
dengan kebolehan kita dan kemampuan kita. Sehebat manapun seseorang, dia
akan lebih hebat jika manusia terus mempertikaikannya maka terserlah
lagi kehebatannya.
Pencacai hilang ditelan zaman
Para
ulama dan ilmuwan yang namanya terukir dibibir orang yang membaca
pandangannya tidak dihargai pandangannya begitu sahaja, mereka dikritik
malah dicerca dan dicaci sebagai 'sesat' dan sebagainya.
Lihat
siapa mereka hari ini, di mana pencacinya berakhir? Pencaci dan pencacai
akan hilang ditelan zaman, yang terserlah adalah kehebatan kepada yang
dicaci dan dikritik.
Kekanda tidak tahu tentang adinda tetapi
kekanda yakin dengan 'sunnah' ini selagi ada kekuatan hujah dan
kejelasan pemikiran apa yang kita perjuangkan. Biarkan pengkritik
lakukan apa yang mereka pakar lakukan, kita lakukan apa yang kita perlu
lakukan iaitu membawa gelombang Malaysia baru! Kekanda perlukan adinda
bersama memimpin gelombang besar ini.
Bukan mudah berada dalam
parti yang dikatakan kononnya 'parti anak beranak'. Mereka juga
menggunakan istilah yang lebih sofistikated seperti 'nepotism'.
Kekanda
tidak pandai guna istilah-istilah ini, apa yang kekanda tahu ialah
abaikan semua itu (persetankan, maaf bahasa kasar) kerana adinda bukan
apa yang diperkatakan, adinda ada kelayakan tersendiri, amat tidak adil
untuk kelayakan ini 'dimandulkan' hanya kerana kata-kata sinis seorang,
dua.
Tiada yang lebih baik dibuat kayu pengukur melainkan dengan istilah al-Quran iaitu 'al-qawwi' 'al-amin'.
Pesanan sifu politik
Adindaku
Kekanda
pernah bertanya pada sifu-sifu kekanda dalam politik. Anehnya sifu-sifu
kekanda bukan semuanya dari mana-mana parti tertentu tetapi sebahagian
mereka hanya pemerhati yang mengamati sepanjang pengalaman hidupnya
bagaimana potensi digilap dan potensi 'dimalap'.
Hanya satu pesanan sifu-sifu ini: "Dalam
perjuangan tak boleh 'merajuk' dan kecil hati sebab musuh kita akan
melihat itu satu kekalahan awal, mereka akan lebih berani ke hadapan
hendak menjatuhkan kita".
Namun satu kata nasihat yang kekanda
tak akan lupa dari seorang sifu kekanda yang telah pun meninggalkan
dunia fana ini. Sifu dari Pulau Pinang ini memetik dari kata-kata
semangat seorang pemimpin besar di Barat: "Jangan salahkan musuh kamu
kerana menjatuhkan kamu, salahkan diri kamu sendiri kenapa kamu enggan
berdiri semula".
Kekanda pernah dijemput ke rumah seorang sifu
satu ketika di Kelantan. Waktu itu kekanda berumur 30-an dan penuh
semangat anak muda. Sifu ini yang sekian lama berdiam diri setelah
pernah menjadi manusia yang digelar 'paling bekeng' dalam politik
Kelantan.
Beliau jadi juara 'gedebe' setelah menewaskan dalam
satu pergaduhan dengan 'ketua gangsta' paling digeruni, sejak itu
gelaran kepada beliau sebagai tokoh gedebe tidak pernah dipertikai dan
disangsikan.
Dengan latarbelakang sifu ini, kekanda menjangkakan
nasihatnya 'keras' dan 'tegas' namun kata nasihatnya penuh kesufian dan
kelembutan.
Katanya: "Mujahid akan muncul jadi pemimpin satu hari
nanti, lagi tinggi Mujahid naik, mesti lebih kukuh asas tempat
bertapak, jika tidak, pasti akan bergoyang di atas nanti, bina tapak
dari sekarang pasti Mujahid akan memerlukannya".
Dua puluh tahun
lebih berlalu, kenyataan kata-kata nasihat dari sifu paling 'gedebe' ini
kanda ingin kongsikan dengan dinda. Sudilah apa kiranya adinda
mendengarnya buat bekalan perjalanan panjang kita.
Adinda Nurul Izzah,
Kekanda
hanya mahukan kebaikan untuk masa depan politik adinda, maaf kerana
warkah ini ditulis cara terbuka tetapi kekanda rasa adinda adalah
'Puteri Reformasi' milik generasi baru yang akan mencorakkan Malaysia
baru.
Mereka perlukan 'puteri' mereka terus memimpin langkah awal
ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi. Para
pengkritik juga ingin menguji apakah kekentalan 'Puteri Reformasi' masih
utuh?
Jangan biarkan ujian ini menjadi satu kebenaran dan jangan
biarkan mereka yang tidak ada bersama kita sebelumnya menentukan nasib
Malaysia baru, kita perlu tentukannya bersama.
Adinda tidak perlu
bimbang kebanjiran mereka yang mahu berada dalam Pakatan kita, kita
punya kerangka besar yang mereka harus berada dalamnya biar apa parti
pun yang mereka pilih di kalangan kita.
Adinda mesti teruskan perjalanan
Kita
ada Malaysia baru yang kita perjuangkan bersama, Puteri Reformasi perlu
perkukuhkan Malaysia baru bagi menjawab kebimbangan ini. Janganlah
berundur setelah beribu tapak perjalanan kita, jalan kita masih jauh,
Malaysia baru memerlukan adinda.
Adinda Nurul Izzah,
Akhir
kalam terimalah salam kekanda dari hati yang merindui Malaysia Baru
tanpa kebencian kaum dan agama, Malaysia baru yang melimpahkan
kekayaannya buat golongan mustadafin dan Malaysia baru yang melahirkan
generasi baru yang progresif dan inklusif. Alangkah bahagianya saat
Malaysia baru jadi kenyataan ketika itu.
Kekanda tidak tahu apakah
kekanda akan berada di situ nanti tetapi sekurangnya adinda Nurul Izzah
mesti teruskan perjalanan ini.
Kekanda menghormati keputusan
adinda namun kekanda harap adinda membaca warkah ini sehingga habis
bukan untuk mengubah pendirian adinda kerana kekanda tahu kekentalan
adinda sukar dilenturkan, tetapi untuk menyatakan kepada adinda bahawa
perjuangan kita lebih besar dari perasaan dan emosi kita terhadap apa
sahaja yang berlaku di hadapan kita.
Siapalah kita hanya zarah kecil membentuk harapan manusia ke arah Malaysia dengan dunia yang lebih baik.
Kenderaan
kami menghampiri Toledo dan kekanda akan berhenti di sini dahulu untuk
menikmati keindahan pemandangan dari kawasan tinggi di sini. Adios.
MUJAHID YUSOF RAWA ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Naib Presiden Amanah.
Surat terbuka ini dikarang ketika penulis sedang melakukan perjalanan darat dari Cordova ke Madrid, di Sepanyol.
'Khairuddin perisik hebat sebab dapat hidu gerakan guling Dr M'
Pemimpin PKR Johari Abdul secara sinis menyifatkan Khairuddin Abu Hassan sebagai spy (perisik) hebat kerana berjaya menghidu gerakan menggulingkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah itu berkata, bukan calang-calang
individu yang mampu mengesan gerakan sebegitu hebat.
"Saya amat
terpegun dengan kebolehan beliau (Khairuddin) kerana tahu ada gerakan
untuk menjatuhkan perdana menteri. Dia seorang spy yang hebat, mana dia
dapat latihan pun saya tak tahu.
"Untuk orang yang tahu ada cubaan jatuhkan Mahathir dia semestinya seorang yang hebat.
"Ini
bukan cubaan menjatuhkan ketua kampung, tetapi jatuhkan perdana
menteri. Dia (Khairuddin) boleh tahu bermakna dia seorang yang hebat,"
katanya kepada Malaysiakini.
Johari yang merupakan anggota parlimen Sungai Petani juga menyifatkan Khairuddin sebagai individu yang penuh dengan kejutan.
"Khairuddin
orang yang suka buat kejutan. Saya ucap tahniah pada dia kerana berjaya
menghidup gerakan menjatuhkan perdana menteri," katanya.
Semalam,
Khairuddin yang juga Anggota Jawatankuasa Biro Komunikasi dan
Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) mendakwa beliau menghidu "gerakan
biadab" yang cuba menjatuhkan Mahathir.
"Saya dapat menghidu
tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat
jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Mahathir selaku perdana
menteri.
"Namun, puak-puak 'tahi kucing' ini terlalu kerdil bagi
saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh
dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.
"Mereka ini 'pot tin' kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja," kata Khairuddin.
Meskipun
tidak menyebut secara spesifik, kenyataan Khairuddin itu dipercayai
sebagai mengulas kenyataan Johari terhadap kepimpinan Mahathir.
Johari
sebelum ini mendakwa Mahathir seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan
hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas PH memenangi pilihan raya
umum (PRU) lalu.
Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.
Berdasarkan
data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia
(BNBP) setakat 4 petang ini, korban akibat tsunami itu kini seramai 222
orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.
Menurut Ketua
Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho,
sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami
kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.
"Tidak
ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan
kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang,
Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya akibat susulan berlakunya gempa bumi.
“Ini
suatu kes yang tidak biasa, bahawa tsunami tanpa gempa. Jadi gejalanya
ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau,"
katanya.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam
satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam tadi itu
disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan
di Gunung Anak Krakatau.
BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.
Tsunami
itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut
akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan air pasang
serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku
secara tiba tiba.
19 individu ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di kondominium mewah di Bukit Ceylon, Rabu lepas. (Gambar Facebook)
Datuk ,Pelakon Wanita diantara 19 ditahan terlibat pesta liar
Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti peranan
seorang individu bergelar Datuk yang merupakan antara 19 individu
ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di sebuah kondominium
mewah di Bukit Ceylon, awal pagi Rabu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Rudy Abdullah berkata
polis sedang menyiasat sama ada individu berkenaan merupakan pengedar
dadah atau sekadar penganjur pesta berkenaan seperti yang didakwa.
“Mengenai penganjuran parti liar itu, kita perlu siasat sebelum
membuat sebarang rumusan kerana terdapat ramai individu yang terbabit
ketika itu yang perlu disoal siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita
hari ini.
Rabu lepas, media tempatan melaporkan, 19 individu ditahan termasuk
seorang pelakon wanita berusia 40-an dan seorang individu bergelar Datuk
ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di sebuah
kondominium mewah di Bukit Ceylon.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah
Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam itu, mendapati terdapat 11
lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an berada
dalam salah satu unit kediaman di tingkat 8.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 daripada mereka positif dadah.
Saya tidak masuk politik untuk play safe. Saya tidak masuk
politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan
mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.
Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. Saya tidak akan memohon maaf hanya kerana berterus-terang.
Saya
cadangkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy juga ambil
tindakan ke atas Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin yang turut
menyuarakan kebimbangan yang sama (mendesak P Waythamoorthy letak
jawatan). Bukankah beliau rakan sekerja anda di Pulau Pinang?
Saya
cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Pemuda Amanah
Terengganu kerana “menghina kebijaksanaan Tun” apabila mencadangkan P
Waythamoorthy digantikan dengan Nurul Izzah.
Jangan lupa "sekolahkan" Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin sekali.
Sayap pemuda parti tuan sendiri mendesak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar letak jawatan (nota editor: Pemuda DAP Sarawak telah menarik balik desakan itu).
Tapi bila ada pimpinan pemuda Bersatu buat desakan yang sama, kita
dituduh mengkhianati Pakatan Harapan (PH), dituduh memainkan sentimen
perkauman, dituduh seperti Umno dan PAS.
Ini tiada kaitan dengan
kaum. Ini tentang setuju untuk tidak bersetuju, untuk tidak menekan hak
mana-mana pihak menyuarakan pandangan.
Sebagai ketua pemuda
Bersatu, saya bertanggungjawab bagi membenarkan rakan-rakan saya untuk
bersuara dan tidak membukukan perasaan mereka. Kita percaya dengan
slogan “berani kerana benar”.
Jadi YB, jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini.
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN adalah ketua pemuda Bersatu dan menteri belia dan sukan.
PENYANYI popular sekitar era 90-an, Shima mengakui gara-gara keadaan semasa membuatkannya terpaksa untuk berniaga tepi jalan.
Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, berkata, meski ada yang
mengutuk di belakangnya namun demi rezeki dia akur dengan peluang yang
ada di depan mata.
“Apa yang boleh saya buat, sudah itu sahaja peluang yang ada ketika
ini. Keadaan memaksa saya berniaga demi mencari sesuap rezeki.
“Kalau nak diharapkan undangan persembahan, mungkin saya terpaksa ikat
perut dan tidak makan kerana sejak beberapa tahun lalu saya sudah
jarang menerima undangan persembahan,” katanya kepada sebuah media
hiburan lain.
Ujar penyanyi Luka Dilukai itu, dia baru sahaja beroperasi kira-kira dua minggu lalu.
Selain mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang awam, ada juga peminat yang sanggup datang dari jauh.
Sedap jugak komen dan jawapan Hanipa Maidin perihal bantuan kerajaan pusat dalam menangani banjir khususnya di negeri negeri pantai timur.
Anyway semua tu sekadar jenaka antara pihak kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang...kikiki
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin hari ini
menggunakan ruang sesi soal jawab di Dewan Negara untuk menyindir
perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala
Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Dis
lalu.
Hanipa sebelum itu menjawab soalan senator dari Terengganu
yang bertanya berhubung persiapan kerajaan dalam isu banjir memandangkan
Monsun Timur Laut bermula 27 Okt lalu.
Ketika memperincikan
tentang kelengkapan kenderaan untuk membantu meminimumkan kesan banjir,
Hanipa berkata pihaknya menyediakan lori "tapi tidak termasuk lori
Kassim Baba yang digunakan pada perhimpunan Icerd".
Kassim Baba merupakan watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang dilakonkan S Shamsuddin.
Dalam satu babak filem itu, Kassim Baba membawa lori ke gua yang menyimpan harta rompakan yang ditunjukkan adiknya, Ali Baba.
Dalam
hantaran di Facebook, Hanipa turut memuat naik gambar pemimpin PAS dan
Umno yang sedang duduk di atas lori ketika perhimpunan bantah Icerd.
Sementara
itu, berdasarkan hansard Dewan Negara, anggota parlimen Sepang it juga
menjelaskan bahawa bagi Terengganu, kerajaan persekutuan telah
meluluskan 31 projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang
melibatkan RM283 juta.
"Semua agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana telah pun bersiap-siaga untuk menghadapi banjir kali ini," katanya.
Memperincikan
secara lanjut, antara lain, Hanipa berkata sebanyak 1,464 kenderaan
pacuan empat roda, 15 aset udara, 425 ambulan, 859 lori, dan 1,138 bot
polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah diaktifkan.
Selain itu, tambah Hanipa, kerajaan juga sudah bersiap sedia dari segi bantuan perubatan melalui Kementerian Kesihatan.
Berbeza daripada kenyataannya tiga minggu lalu, Perdana
Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gemar mempunyai
majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Secara peribadi, saya tidak
suka majoriti dua pertiga. Saya mahu pembangkang yang kuat, " kata
Mahathir ketika ditanya sama ada langkah Bersatu mengalu-alukan mereka
yang meningglkan Umno adalah satu usaha untuk meningkatkan bilangan MP
Pakatan Harapan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kemasukan
Ahli Parlimen Umno yang telah ditapis ke dalam Bersatu akan mengukuhkan
parti itu dan Pakatan Harapan.
Pada 28 Nov, ketika Ahli Parlimen
Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan empat bekas senator Umno menyertai
Bersatu, Mahathir berkata mereka diterima kerana kerajaan tidak
mempunyai majoriti dua pertiga, dan tidak dapat menunaikan beberapa
janjinya.
"Jadi dengan kemasukan mereka, kita mungkin mendapat angka yang kita perlukan," kata Mahathir ketika itu.
Bercakap dalam satu temu bual semalam, PM berkata beliau
percaya tentang perlunya pembangkang sejak pertama kali beliau menjadi
perdana menteri sebelum ini.
"Ketika saya mengetuai BN, saya pernah mengatakan bahawa kita memerlukan pembangkang.
"Tanpa
pembangkang, ia seperti tidak mempunyai cermin untuk melihat diri
sendiri. Anda fikir anda cantik tetapi sebenarnya anda sangat hodoh,"
kata Mahathir.
Bagaimanapun, katanya, pembangkang telah berkecai,
dengan MIC dan MCA "tidak berfungsi", sementara Umno telah berpecah
kepada pelbagai puak.
"Jadi tidak ada lawan yang berwibawa pada masa ini," katanya.
Mahathir kemudian berkata bahawa Bersatu tidak mampu untuk mengabaikan semua mereka yang meninggalkan Umno.
Ini
kerana pemimpin-pemimpin itu mempunyai sokongan orang Melayu yang besar
di kawasan luar bandar, yang mana kerajaan perlukan sokongan mereka.
Mahathir juga berkata bahawa beliau tidak bimbang dengan MP Umno cuba berjumpa dengannya dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim.
Perdana
Menteri berkata dalam 'Malaysia Baru', semua orang dialu-alukan untuk
berjumpa sesiapa sahaja, sama ada dirinya atau anwar.
Terdahulu,
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa beliau
telah menemui Anwar untuk memastikan Umno tidak dibatalkan
pendaftarannya.
Sebagai pertukaran, Nazri berikrar bahawa semua
Ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau akhirnya
menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Tekanan supaya meletak jawatan semakin memuncak buat Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, apabila ia turut disuarakan
pemimpin dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) sendiri.Exco Pulau
Pinang Dr Afif Bahardin misalnya hari ini berkata senator terbabit sudah
gagal membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
Untuk rekod Waythamoorthy dilantik kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri bagi hal ehwal perpaduan.
"Perkara
terhormat yang anda boleh lakukan ialah meletak jawatan dan ke tepi
daripada Menteri Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Masyarakat. Anda
teramat gagal membentuk perpaduan ketika ia diperlukan dan menyebabkan
suasana tidak harmoni.
"Ada orang Malaysia yang lebih baik untuk melaksanakan tugas berkenaan," katanya melalui Twitter.
Afif turut menanda Mahathir dalam ciapan berkenaan, dan mengulang ciap berita Malaysiakini, "Adib berani dan dedikasi, kata Waythamoorthy".
Ciapan
Afif itu dibuat ekoran kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim, malam tadi kesan kecederaan dialami
semasa kekecohan berlaku di kuil Sri Maha Mariamman 27 Nov lalu.
Polis
mendakwa Muhammad Adib ditarik keluar dari kenderaannya sebelum dipukul
ketika keadaan di kawasan kuil terbabit tegang ekoran pertikaian
mengenai tapak di antara pihak pemaju dan penganut Hindu.
Wahthamoorthy dipersalahkan pelbagai pihak - bersama beberapa
pemimpin parti politik lain - kerana dianggap memburukkan keadaan ketika
ketegangan baru bermula.
Sebelum ini Mahathir berkata, jika aspek
perpaduan yang sepatutnya menjadi keutamaan dan portfolio senator itu
tidak diutamakan, sejarah boleh berulang.
"Dan kita akan tengelam seperti orang sebelum kita.
"Meminta
maaf adalah perbuatan yang dihargai orang ramai, begitu juga dengan
peletakan jawatan," kata perdana menteri dalam satu kenyataan.
Muhammad Adib disahkan meniggal dunia jam 9.41 malam tadi
Polis mengklasifikasikan semula kes kecederaan anggota bomba Muhammad
Adib Mohd Kassim sebagai kes membunuh, kata Timbalan Ketua Polis
Selangor Ab Rashid Ab Wahab.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Muhammad
Adib, 24, merupakan salah seorang anggota bomba yang dikejarkan ke
lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada
27 Nov lalu.
Bagaimanapun, dalam insiden itu, Muhammad Adib
diserang perusuh menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain
mengalami kecederaan dalaman.
Beliau menerima rawatan lanjut di
Institut jantung Negara (IJN) sejak 28 Nov lalu sehingga disahkan
meninggal dunia 9.41 malam tadi.
Jenazah akan diuruskan malam ini
di IJN dan terus dibawa menggunakan ambulans ke kampung halaman
Allahyarham di Kedah untuk dikebumikan.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tidak terganggu dengan
perkembangan semasa yang menyaksikan ramai pemimpin Umno meninggalkan
parti masing-masing untuk bersama kerajaan.Naib Presiden Amanah
Dr Mujahid Yusof berkata pemimpin dan anggota parti yang bergabung dalam
PH harus memberi fokus kepada rancangan asal, iaitu membawa wajah baru
buat Malaysia.
Perlu mengelak panik, Mujahid berkata, langkah
terbabit itu wajar disambut dengan 'pelantar' Malaysia Baru untuk
dijadikan asas mereka bertapak.
"Apa yang harus dibimbangi PH
ialah sekiranya penghijrahan secara berjemaah orang Umno itu bukan di
atas pelantar kita, tetapi membawa bersama pelantar mereka yang sudah
reput lantas membahayakan Malaysia Baru," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata apa yang dilakukan PH sekarang ialah membawa naratif baru untuk negara ini.
Secara berkias, Mujahid berkata apa yang berlaku sekarang seperti ular bersalin kulit.
"Ular
- apabila ia bersalin kulit - dikatakan menanggung kesakitan yang amat
sangat, namun ia dilakukan untuk haiwan itu mendapat kulit baru.
"Demikianlah
perumpamaan bagi negara kita semasa proses menukar wajahnya. Ia akan
melalui sedikit keperitan demi memunculkan citra baru selepas PRU
ke-14," katanya.
Baru saja bermula
Justeru
kata Mujahid semasa proses berkenaan berlangsung pemimpin PH harus
menanganinya sebagai langkah membina harapan rakyat kepada kemunculan
Malaysia Baru dan sepatutnya menjadi tarikan penghijrahan Umno secara
jemaah.
"Hanya dengan semangat Malaysia Baru, kemasukan mereka dapat memperkukuhkan PH.
"Jika tanpa faktor tarikan ini, PH perlu berhati-hati terutama dengan kemungkinan munculnya BN 2.0 dan Umno 3.0," katanya.
Selepas menjadi pembangkang buat kali pertama dalam sejarah lebih 61
tahun kedudukan Umno dilihat terancam apabila satu demi satu pemimpinnya
meninggalkan parti berkenaan.
Di Sabah misalnya pada 12 Dis lalu
sekurang-kurangnya lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan
undangan negeri dan dua senator mengumumkan keluar dari Umno.
Seramai
22 ketua bahagian turut mengambil langkah sama. Antara mereka termasuk
tokoh yang selama ini menjadi penyokong tegar Najib Razak.
Ia
kemudian merebak ke semenanjung apabila enam anggota parlimen menjadi
wakil rakyat bebas. Pada masa sama anggota Umno memberi tekanan kepada
Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan presiden.
Apa yang
berlaku itu tidak disenangi sebahagian pemimpin dan penyokong PH,
termasuk beberapa menteri yang berpendapat penerimaan bekas pemimpin
Umno itu akan menjejaskan sokongan terhadap kerajaan.
Mujahid
berkata pada masa sama PH mesti kekal memberikan tumpuan kepada proses
membawa pembaharuan selepas lebih enam dekad berada di bawah BN.
Katanya penghijrahan bekas pemimpin Umno itu tidak boleh mencemarkan alasan mengapa PH diterima rakyat semasa PRU lalu.
"Kita jangan hilang arah. Kerja untuk PH belum selesai, malah baru sahaja bermula," katanya.
Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin memuji tindakan Pengarah
Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang memohon maaf berhubung
kenyataan beliau berkaitan manifesto dengan menyandarkannya kepada Nabi
Muhammad.
“Tahniah kerana berjiwa besar. Setiap kita membuat
kesilapan ataupun tersasul, namun yang penting kita akur, memohon
keampunan dan membetulkannya.
“Orang politik sukar mengakui
kesilapan atas kepentingan sokongan. Justeru, jika ada yang mudah
mengakui kesilapan bila terbukti maka kita patut hormati sikap yang baik
itu.
“Elakkan memaki hamun dan mencerca orang lain. Itu bukan
ajaran Islam. Itu amalan golongan politik yang mempergunakan Islam,”
kata Asri di Facebooknya, hari ini.
Semalam Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memohon maaf berhubung salah faham berkaitan kenyataan yang dibuat.
Katanya,
beliau tidak berniat menyandarkan kelemahan Pakatan Harapan (PH) kepada
peribadi Rasulullah atau menuduh baginda mungkir janji.
Jelasnya,
apa yang ingin disampaikan adalah manusia hanya mampu berusaha, namun
bukan semua yang diusahakan akan dapat terlaksana sepenuhnya.
“Saya menerima segala teguran yang dibuat dengan hati terbuka dan terima kasih.
“Jika
ada yang faham begitu (seolah Rasulullah mungkir janji), saya memohon
maaf dan memohon ampun kepada Allah SWT dan Rasulnya,” kata Khalid.
Asri
melalui kenyataan awalnya tanpa menamakan sesiapa menggesa pihak yang
tersilap atau tersasul untuk membetulkan kenyataan tersebut.
Menurut Asri, ketika tahun perjanjian Hudaibiyah, tiada sebarang janji Nabi Muhammad dalam peristiwa itu yang tidak tertunai.
“Ada
akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang
Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji
kemudian tidak dapat berlaku.
“Di samping itu, hendaklah kita tahu
bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada Muslim yang kurang
berpengetahuan dan masyarakat bukan Muslim yang boleh tersalah faham
terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat,”
katanya.
Isu pertemuan dua anggota parlimen PAS dengan Perdana
Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin menjadi menimbulkan tanda
tanya.
Ia susulan kenyataan dua pimpinan kanan parti itu saling bercanggah antara satu sama lain.
Bagi
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara itu tiada isu yang
berbangkit kerana pertemuan dua anggota parlimen itu sudah dimaklumkan.
Malah beliau menegaskan, kedua-dua MP itu juga tidak perlu dipanggil untuk sebarang penjelasan.
"Tak (dipanggil). Ia bukan isu pun, (pertemuan) dalam makluman parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
PAS akan kenal pasti MP jumpa Dr M
Sebelum
ini isu tersebut tular di media sosial dan Tuan Ibrahim yang juga MP
Kubang Kerian mengakui terdapat dua anggota parlimen PAS yang mengadakan
pertemuan dengan Mahathir.
Katanya, pertemuan itu satu perkara
biasa memandangkan Mahathir adalah pemimpin yang mempunyai banyak
pengalaman dan sering menjadi rujukan banyak pihak.
“Saya pun ada
dengar begitu (pertemuan). Tapi Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dia
memang terbuka menerima kunjungan siapa sahaja. Saya pun pernah jumpa
tiga, empat kali dengan beliau," katanya.
Sementara itu nada sebaliknya disuarakan Setiausaha Agung PAS,
Takiyuddin Hassan yang menyatakan pihaknya akan mengenal pasti dan
memanggil dua ahli parlimen berkenaan.
MP Kota Bharu itu berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai pertemuaan itu dan ia tidak dimaklumkan kepada parti.
"Pihak
saya memang tidak tahu menahu adanya pertemuan seperti yang
diuar-uarkan. Adakah betul mereka jumpa? Jika betul mereka jumpa kita
akan panggil dan dapatkan kepastian.
“Sekiranya ia perjumpaan atas
hal individu atau peribadi, ia bertentangan dengan pendirian PAS dan
mereka melanggar disiplin, tindakan mereka menimbulkan pelbagai persepsi
dan seharusnya perjumpaan itu dibuat melalui parti, apapun kita akan
siasat dulu," katanya, petik Sinar Online.
Menurut laporan
itu, beliau berkata sekiranya benar (ada pertemuan) sebagai seorang ahli
parlimen dan atas apa jua urusan, pertemuan itu perlulah dimaklumkan
kepada parti.
Malaysiakini juga menghubungi Takiyuddin
untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, bagaimanapun setakat
ini beliau belum memberi sebarang maklum balas.
Ya,Baginda Rasul SAW menangguhkan untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut kerana dihalang oleh musyrikin Mekah.
Setekah perjanjian Hudaibiah dipersetujui pada tahun berikutnya Baginda Rasul dan kaum muslimin berjaya masuk dan menawan kota Mekah dan dikenali sebagai peristiwa Fathul Makkah tanpa sebarang pertumpahan darah.
Ucapan penggulungan dari Ketua Komunikasi parti AMANAH Negara
Nabi pun penah tidak
dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa - itu jawapan Menteri
Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap cakap-cakap mengenai
janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan
sepenuhnya.
Kata Khalid, kegagalan menunaikan janji itu bukanlah
disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak
mempunyai sumber kewangan mencukupi.
“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji.
"Nabi
SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda)
berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak
dapat.
“Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa," katanya.
Khalid
yang juga anggota parlimen Shah Alam menegaskan PH memang komited mahu
melaksanakan semua janji yang diikrarkan mereka sebelum pilihan raya
umum lalu.
“Memang kita nak buat, tapi tak boleh, duit tak cukup.
"Bukan
kerana Mat Sabu (Mohamad Sabu) belikan beg tangan Birkin untuk Kak
Normah (isteri Mohamad),” katanya disambut tawa hadirin.
Beliau
berkata demikian ketika sesi penggulungan sebagai pengarah komunikasi di
Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan menteri-menteri sendiri terpaksa
mengorbankan gaji dan elaun sebagai langkah penjimatan memandangkan
keadaan kewangan negara yang teruk.
“Menteri sudah potong 10
peratus (gaji), elaun kita dalam parlimen kita dah potong. Banyak lagi
kita dah potong. Ada rumah (sekalipun), duduk di kuarters dan potong
RM4,000 sebulan.
"Kerana apa? Nak jimatkan duit. Duit tak ada. BN
kata hutang hanya RM600 bilion, tetapi PH kata hutang ialah RM1
trilion. Kalau nak percaya BN, percayalah,” katanya.
Malah
menurut Khalid, ada sesetengah pihak mempunyai tanggapan salah bahawa
menteri menikmati kehidupan mewah sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.
“Janganlah buat andaian (bahawa) menteri-menteri sedang berseronok- elaun banyak, gaji banyak.
“Saya bagitahu tuan-tuan, tiap-tiap bulan gaji saya tak sampai RM1,000 (yang) tinggal.
“Kerana apa? Kerana parti hendakkan duit, orang hendakkan duit. Semua hendakkan duit,” katanya lagi.
Kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur. Gambar hiasan
Kadar jenayah di
Kelantan pada amnya masih terkawal namun jenayah rogol dilihat pada
agak membimbangkan, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.
Katanya, bagaimanapun kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur.
Walaupun berlaku atas kerelaan, polis terpaksa melakukan siasatan
mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol melibatkan remaja bawah
umur, katanya kepada pemberita selepas Majlis Townhall "Jenayah Di
Kelantan, Adakah Serius?" anjuran bersama Penjara Negeri Kelantan dan
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di sini hari ini.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga November lalu sebanyak 92 kes
rogol dilaporkan berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
"Meskipun berkurangan sebanyak 14.8 peratus namun ia tetap dilihat membimbangkan," katanya.
Dalam pada itu katanya jenayah samun berkawan tanpa senjata api
menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 130 kes dalam tempoh 11 bulan
pertama tahun ini berbanding 126 kes pada 2017.
"Keseluruhan jenayah menunjukkan penurunan iaitu daripada 559 kes
tahun lalu kepada 470 kes dalam tempoh Januari hingga November iaitu
penurunan sebanyak 15.9 peratus," katanya.
Hasanuddin juga berkata, kebanyakan kes jenayah berpunca daripada
dadah termasuk yang paling banyak berlaku iaitu pecah rumah.
ULAT tiket (kiri) berurusan dengan pelanggan di luar Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, hari ini. - Foto Aziman Rosdi
GEJALA ulat tiket di Hanoi nampaknya lebih teruk berbanding di Malaysia.
Mereka
ibarat lintah darat apabila menjual tiket final kedua Piala AFF antara
Vietnam dan Malaysia di Stadium Nasional My Dinh berlipat kali ganda
untuk mengaut keuntungan.
Ada ulat tiket yang menjual sekeping tiket mencecah AS$400 (RM1,673) berbanding harga sebenar berjumlah 200,000 dong (RM36).
Tinjauan Sukan NSTP mendapati ulat tiket mencari pelanggan di tepi jalan besar di luar stadium.
Penyokong
Vietnam agak terdesak untuk mendapatkan tiket memandangkan Persekutuan
Bolasepak Vietnam (VFF) hanya menjual 16,000 tiket menerusi dalam talian
dan baki selebihnya diedarkan kepada penaja, syarikat korporat dan ahli
gabungan mereka.
Jumlah sebenar tiket yang dijual tidak diketahui namun kapasiti stadium adalah 40,192 orang.
Sebelum
ini isu ulat tiket timbul pada final pertama Selasa lalu meskipun
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 80,000 tiket.
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Malaya seri 2-2 dengan Vietnam.
Seramai 36 anggota parlimen BN telah menandatangani surat sebagai
tanda sokongan kepada perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sejak sebulan
lalu, kata anggota parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.
Hamzah dalam satu temubual ekslusif dengan NSTP hari ini berkata langkah itu tidak dibuat tergopoh-gopoh.
Sebaliknya,
beliau yang turut berbuat demikian menegaskan keputusan itu dibuat
bersama anggota Parlimen BN yang lain dan mengambil masa hampir sebulan.
Menurut
Hamzah, seramai 33 anggota parlimen Umno, seorang dari Parti Bersatu
Rakyat Sabah (PBRS) dan dua dari MIC menandatangani sokongan tersebut.
"Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.
“Kumpulan
yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang
dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM
sebab kita ada dengar ura-ura.
“Kita beri sokongan kepada PM untuk
memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur
perpecahan sehingga rakyat keliru, inikan pula pelabur luar kerana bila
pelabur lihat politik tidak stabil, mereka tidak mahu melabur dalam
negara ini," katanya.
Menurut Hamzah politik yang tidak stabil akan memberikan kesan lebih besar terutama kepada rakyat.
"Itu
sebab kita mahu bagi kestabilan dan kita menyokong PM untuk meneruskan
kepemimpinannya. Semua ini demi kepentingan negara, rakyat supaya kita
dilihat sebagai sebuah negara yang ada masa depan,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan akan menyokong Dr Mahathir jika Perdana Menteri menerima desakan daripada mana-mana pihak.
Ditanya
adakah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa
mereka beralih sokongan kepada Dr Mahathir, Hamzah memberitahu bekas
‘bos’ tidak tahu.
Katanya, beliau ‘bersepakat’ bersama yang lain untuk tidak memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid.
Beliau juga menegaskan, tiada syarat yang dikenakan dalam proses pengalihan sokongan daripada Ahmad Zahid kepada Dr Mahathir.
Tahniah kepada pemimpin parti AMANAH kerana berani bersuara.
Pakatan Harapan (PH) bukan ‘kem pelarian’ bagi mana-mana Ahli Parlimen mendapatkan ‘perlindungan’.
Timbalan
Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, berkata PH perlu memperincikan
sebab dan tujuan seseorang Ahli Parlimen yang mahu menyertai PH.
“PH
tidak harus sewenang-wenangnya menerima kemasukan pemimpin yang
melompat parti hanya atas dasar personaliti dan kepentingan peribadi
semata-mata.
“Semua
itu harus kita cermati kerana saya tidak mahu PH menjadi tempat
perlindungan ‘pelarian politik’,” katanya kepada pemberita di Lobi
Parlimen, hari ini.
Beliau
yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PH mesti
bertegas mempertahankan prinsip yang menjadi pegangan parti.
“Kita akan bincangkan semua isu ini dalam mesyuarat majlis Presiden PH minggu depan,” katanya.
Memang parti umno da nak kojol pon...Lihat video wak Jahid di PWTC ...
Hari ni bekas Ketua Puteri Umno Mas Ermiyati yang jugak MP Masjid Tanah sertai parti BERSATU pimpinan Tun Dr Mahathir.
Nazri boleh saja mengkisahkan tentang apa pun berkenaan perjumpaan beliau dengan Anwar,sumber yang diperolehi oleh wartawan malaysiakini berkenaan perjumpaan Nazri bersama umno Selangor juga dianggap sah tetapi keabsahan butiran pertemuan Nazri dan Anwar tidak dapat disahkan kerana belum ada jawapan balas dari pihak Anwar.
Manakala semalam bila anggota pimpinan umno Sabah keluar beramai ramai itu telah disahkan press statement mereka dan sebelumnya oleh penasihat komunikasi PM iaitu A,Kadir Jasin.
Episod ini akan lebih menarik lagi kerana ada jugak Boom News dari pihak parti Pas yang mengadakan pertemuan dengan Anwar...
Inilah politik gaya Malaysia...what's the next? kikiki...
Demi survival Umno, Nazri minta bantuan Anwar
Umno kini berdepan krisis besar.
Bilangan kerusi parlimennya kian berkurangan sejak PRU ke-14 dan usaha
perbincangan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak berpihak
kepada parti itu.
Ini kerana Mahathir mahu Umno dibubarkan sebelum
menimbang soal kerjasama dengan pemimpin tertinggi parti itu. Anggota
Umno bimbang parti mereka akan dibatalkan pendaftarannya.
Keadaan suram ini membuatkan seorang pemimpinnya, Nazri Abdul Aziz, pergi kepada bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.
Anggota
Padang Rengas itu memperincikan perbincangan dengan Anwar yang didakwa
berlaku itu, ketika mesyuarat dengan anggota Umno Selangor semalam. Malaysiakini mendapat rakaman ucapannya.
Ketika dihubungi, Nazri mengesahkan rakaman itu.
"Ini
bukan benda baru, ia rahsia umum bahawa kebanyakan (anggota parlimen
Umno) mahu jadi sebahagian dalam kerajaan...Tiada apa-apa (yang
berunsur) jahat," katanya kepada Malaysiakini.
Empat permintaan Nazri
Dalam
mesyuarat dengan Umno Selangor semalam, Nazri yang juga setiausaha
agung BN berkata beliau telah bertemu Anwar ketika minggu kedua sidang
parlimen yang lalu.
Menurutnya, beliau meminta empat perkara dan Anwar menyatakan persetujuannya. Antaranya adalah agar Umno tidak dibubarkan.
"Anwar kata, 'Nazri, saya tak akan bubar Umno. Kita kena sporting dalam politik, macam mana nak lawan kalau seteru dibubarkan? Kita perlu gentleman'," dakwanya.
Permintaan kedua agar Anwar tidak menganiaya (harass) bekas perdana menteri Najib Razak apabila beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
"Saya beritahu dia (Anwar), apa sekalipun kesalahan (Najib), dakwalah. Tapi jangan harass dia, jangan aibkan dan menyusahkan...dengan kenakan ikat jamin banyak kali.
"Anwar kata, 'saya sudah lalui perkara ini (dakwaan di mahkamah dan hukuman penjara) dua puluh tahun.
"'Saya
tak mahu seteru saya lalui perkara sama, apatah lagi kawan saya. Najib
dulu timbalan saya (dalam Pemuda Umno), Zahid dulu 'macai' saya'," dakwa
Nazri lagi.
Najib kini berdepan sejumlah dakwaan berkenaan
skandal 1MDB dan SRC International. Zahid pula dihadapkan dengan dakwaan
rasuah dan pengubahan wang haram.
Permintaan ketiga Nazri adalah agar Anwar mengembalikan semula sistem ketua kampung.
Permintaan
keempatnya agar anggota parlimen Umno menerima peruntukan yang sama
dengan anggota parlimen kerajaan agar mereka boleh "memberinya kepada
rakyat".
Balas dengan sokongan
Sebagai
pertukaran untuk empat permintaan itu, Nazri berkata anggota parlimen
umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam
masa "satu setengah tahun" lagi.
Bagaimanapun Nazri menegaskan wakil rakyat Umno hanya akan menjadi mesra-kerajaan, bukan sebahagian dalam pentadbiran.
"Kita tak mahu berada dalam kabinet. Susah untuk kita apabila pilihan raya umum nanti.
"Kita
nak bertanding di kerusi Bersatu (Amanah dan Warisan), kita nak ambil
balik kerusi kita, jadi kita kena lawan. Jadi kita tak boleh jadi
menteri (dalam pentadbiran PH).
"Kita hanya jadi blok yang menyokong semua dasar kerajaan yang menguntungkan rakyat," katanya lagi.
Sementara
itu, Nazri mendakwa Anwar juga memberitahunya dengan PKR, DAP dan
Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau memiliki 110 kerusi di Parlimen.
"Jadi
dia beritahu saya, 'saya hanya perlu dua lagi. Jika campur anda (Nazri)
dan anda cari seorang lagi, jumlahnya 112, dan saya perdana menteri',"
dakwa Nazri.
Menurutnya, Anwar membayangkan beliau tidak memerlukan Amanah, Bersatu atau Warisan untuk membentuk kerajaan.
Kata
Nazri lagi, Anwar juga memberitahunya yang beliau akan mematuhi
persetujuan PH bahawa beliau hanya menggantikan Mahathir selepas dua
tahun.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Anwar bagi meminta respons berhubung dakwaan Nazri.
Dalam penjelasannya kepada Malaysiakini,
Nazri berkata ucapannya hanya untuk memberi penerangan kepada akar umbi
Umno tentang isu semasa dan rancangan parti itu di masa depan.
Beliau
berkata tidak pelik untuknya berbincang dengan Anwar selaku bakal
perdana menteri, memandangkan syarat yang ditetapkan Mahathir "terlalu
ketat".
"Jadi apa yang kita perlu buat sekarang adalah menunggu (Anwar menjadi perdana menteri)," katanya lagi.
Beberapa sumber parti mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin
Hussein adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti
itu yang berpaling tadah.
Sumber berkenaan memberitahu Malaysiakini demikian
selepas diminta menerangkan kenyataan
bekas Pemuda Umno, Khairy
Jamaluddin di laman sosial Twitter ketika mengulas tindakan puluhan
pemimpin dan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu.
Khairy sebelum itu ditanya oleh seorang pengguna Twitter mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti.
"Dah cuba tapi ada puak 'bangsawan' yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai," ciap Khairy di laman sosial itu.
Meskipun tidak menyebutkan nama, sumber memberitahu ia merujuk kepada Hishammuddin.
"Pastinya dia, tapi dia (Hishamuddin) sendiri tidak berani untuk melakukannya (keluar Umno).
"Sama
seperti dia tidak berani bertanding semasa pemilihan parti. Dia lebih
suka berada di tepi seperti beberapa 'Yoda' yang berunding dengan
kerajaan hari ini," kata seorang pemimpin parti itu yang enggan namanya
disiarkan.
Pemimpin Umno itu mendakwa Hishammuddin mungkin "diperkudakan" oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Hishammuddin untuk mendapatkan respon beliau.
Satu
lagi sumber parti, yang juga enggan namanya didedahkan menyebut
mengenai dua senario yang mungkin dalam perancangan Hishamuddin.
"Dia
mahu menunjukkan kepada Mahathir bahawa dia boleh membawa anggota
parlimen melompat dan lepas itu boleh menuntut jawatan kanan dalam
kabinet malah sebagai timbalan perdana menteri sekalipun.
"Selain
itu untuk meneruskan agenda anti-Anwar Ibrahim sementara mendapatkan
keuntungan untuk dirinya sendiri. Dia betul-betul melihat dirinya
sebagai bakal perdana menteri.
"Pilihan lain adalah
dengan menjadi anak jantan dan bertanding untuk jawatan presiden Umno
nanti. Kedua-dua pilihan itu menjelaskan mengapa dia berdiam selama ini.
"Dia
tidak mahu dilihat membahayakan dengan menyatakan perkara-perkara yang
sukar mengenai pembaharuan parti. Dia juga tidak mahu menyerang kerajaan
sama sekali, "katanya.
Pemimpin parti itu menuduh Hishammuddin sengaja mengalihkan perhatian kepada kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno.
"Jadi
orang tahu tapi tak nak cakap mengenainya. Itulah yang dia mahukan
dengan membawa orang-orang ini menyeberang demi memenuhi cita-cita
sendiri," katanya.
Sementara itu, seorang lagi ahli Umno menolak
dakwaan terhadap Hishammuddin dengan mengatakan sesetengah pihak
termasuk mereka yang bersekutu dengan Zahid, mempunyai agenda sendiri.
"Hishammuddin tak akan keluar Umno. Dia jumpa MP Umno sebab nak kasi semangat dan redakan (keadaan).
"Melarat orang-orang presiden cakap Hisham nak bawa (MP) keluar (Umno) dan ada cluster lain cuba nak bawa keluar walhal dia bantu presiden agar MP semua jangan keluar," katanya.
Langkah meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank
Negara Malaysia (BNM) penting ke arah menumpukan semula kepada tujuan
asalnya, kata Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi kawal selia, tetapi tidak mengulas lanjut.
Bercakap
kepada pemberita pada Majlis Simposium Tahunan mengenai Kewangan Islam
Kali Keempat di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata TH merupakan
institusi yang baik, tetapi telah disalah urus oleh pihak yang
menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi.
“TH merupakan satu contoh bagaimana pengurusan yang 'goblok' (bodoh) yang merosakkan dan mengkhianati amanah.
“Ia
bukan salah institusi, bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang
telah menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat dan tindakan harus
diambil ke atas mereka,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata TH akan diletakkan di bawah
kawal selia BNM bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir
urus organisasi berkenaan.
Beliau berkata Kabinet telah memberikan
sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat
tujuan khas (SPV) pada bulan ini.
Fungsi SPV ialah mengambil alih,
memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi
lemah selain menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik untuk
memulihkan kedudukan kewangan TH.
Sementara itu, Anwar berkata
sistem kewangan Islam perlu mempunyai peralihan yang jelas dan
membincangkan isu-isu, termasuk kemiskinan.
“Sejak beberapa dekad
ini, isu ini telah diketepikan. Bagaimanapun, pada masa ini, ia agenda
utama institusi kewangan Islam, termasuk bank-bank yang memberi tumpuan
kepada komuniti pada amnya.
“Menjana pertumbuhan bukan hanya mempunyai sistem yang halal, tetapi ia juga perlu adil dan menggalakkan kesaksamaan," katanya.